Selasa, 16 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 7

BAB 7
JAM 9 malam itu, kelibat kereta Audi merah itu sudah kelihatan terpakir di sisi bahu jalan sebaik sahaja Rauf turun dari rumahnya.
“Hai...” sapa lelaki itu sebaik sahaja membuka pintu.
“You nak drive?”
“Tak apalah. Kita pergi makan dekat-dekat sini aja. Seberang flyover tu banyak restoran,” ucap Rauf lantas duduk di sebelah gadis itu.
Diane segera menggerakkan kenderaan itu pergi. namun dalam pada itu ruangan kereta itu sudah dipenuhi oleh bau parfume lelaki itu. Baunya agak keras. Tetapi menyenangkan. Bau maskulin kata orang.
“So, you selalu singgah sini untuk makan?” tanya Diane sekadar mahu melenyapkan fikirannya dari memikirkan parfume jenis apa yang dikenakan lelaki itu.
“Selalu. Bila I seorang. Kawan-kawan yang lain busy dan I pun malas nak keluar jauh-jauh,” jawab Rauf sambil memandang sekeliling. Tidak lagi begitu sesak kawasan PJ Old Town ini berbanding ketika hari siang. Malam hari banyak gerai untuk mereka singgah.
Sekadar memilih restoran masak panas di tepi jalan. Agak meriah memandangkan tempat itu lebih terbuka dan dimeriahkan lagi dengan kemudahan karaoke untuk pengunjung. Malam hari begitu, mereka memilih masakan thai. Sebetulnya, Diane sendiri lebih suka makanan yang pedas-pedas.
Sedang suasana diisi oleh perbualan biasa-biasa, telefon Diane berbunyi. Gadis itu mendengus sedikit setelah melihat nama si pemanggil.
“I jawab sekejap. Bisinglah,” ucap Diane lantas bangun. Rauf sekadar mengangguk memandang gadis itu menjauh. Hanya seketika. Diane kembali semula ke meja itu.
“Tan Sri?” tanya Rauf sambil memandang telefon yang diletakkan di atas meja itu. Diane hanya mengangguk.
“You belum beli tukar skrin tu?”
“Belum. I tak sempatlah,” jawab Diane lantas mencapai semula telefonnya. Skrinnya masih berkeadaan sama. Retak.
“You tahu... I sepatutnya minta maaf. I yang sebabkan telefon tu jadi begitu,” ujar Rauf rendah.
“Maksudnya?”
“Malam tu, kita bukannya tak sengaja terserempak. I dah nampak you semenjak dari restoran tu. Tapi waktu you pergi tu, I tak perasan. Sedar-sedar you dah tak ada.”
“Jadi sebenarnya you ikut I ya?”
“Ya. Lepas tinggalkan restoran tu, I nampak you berjalan di tepi jalan. I ingat you sengaja jalan di situ. I tak tahu yang kereta you rosak. I sengaja park di depan dan buat-buat terserempak dengan you. Budak yang langgar you tu, I yang suruh dia buat begitu. I minta maaf. I tahu phone tu jadi begitu disebabkan budak tu langgar you.”
Diane terdiam memandang Rauf agak lama. Terkejut. Tidak sangka.
“I boleh gantikan semula telefon tu. I betul-betul minta maaf,” ujar Rauf lembut.
“Okay. I akan maafkan lepas you gantikan dengan brand yang sama tapi model yang terbaru!” jawab Diane selamba.
Rauf tersengih serta merta. “I janji I akan gantikan. Insya-Allah,” jawab Rauf bersungguh.
Mahu marah. Tapi menyedari lelaki ini jugalah yang bersusah payah membantunya malam itu, apa salahnya jika dia memaafkan saja.
“Tak apalah. I tak harap pun you akan gantikan semula,” ujar Diane lembut.
“It’s okay. I memang nak gantikan. Itu memang salah I, Diane.”
“You dah tolong I malam tu. You pinjamkan kereta you. Itu dah lebih dari cukup, Rauf. Lebih baik I bertolak ansur.” Diane membalas lembut tanda keikhlasannya untuk membiarkan sahaja hal itu tanpa dibesarkan lagi.
Rauf menghela nafas perlahan. Kepalanya ditolehkan ke arah hadapan restoran itu. Bunyi bising set karaoke menganggu mereka sedikit. Diane ikut memandang ke arah sana. Ada pengunjung ingin menyumbangkan suara.
Namun sebaik sahaja kedengaran musik alunannya, beberapa pengunjung lain bertepuk tangan. Lagu bertajuk Love Story nyanyian Andy Williams itu dinyanyikan oleh seorang lelaki tua. Suaranya kedengaran hampir serupa dengan penyanyi asalnya.
“Fuh! Legend, pak cik!” jerit Rauf. Diane tersenyum sedikit melihat gelagat lelaki itu. Terhibur juga dek kerana suara lelaki tua itu lunak. Tidaklah sakit telinga mendengarnya.
“Suara dia sedaplah,” komen Diane setelah lelaki itu selesai menyanyi.
“Lagu tu sesuailah dengan dia. Orang lama,” balas Rauf masih lagi memandang ke arah lelaki itu.
“I suka semua lagu Andy Williams,” ucap Diane lembut. Dengan suara sesedap itu dia berharap lelaki itu menyanyikan pula lagu kegemarannya, Speak Softly Love.
Rauf kembali memandang gadis itu. “Tak menahan. Suka lagu orang tua. Jiwang.”
“Eh! Lagu lama lagi best berbanding lagu sekarang yang entah... I tak tahu lagu ke apa tu,” ucap Diane lantas tergelak kecil.
“I suka kebanyakan lagu Sudirman Haji Arsyad.”
“Itu tak legend ke? Sama juga, kan?” balas Diane saat memandang raut lelaki itu.
“Kebetulan pula kita suka lagu-lagu lama. Maknanya kita ni serasilah, kan?” ujar Rauf lantas menyengih. Kertas tisu di atas meja itu dicapainya.
Diane diam pula sambil memandang lelaki itu agak lama. Cuba membaca karakter dan keperibadian lelaki ini dengan pandangan mata hatinya.
“You selalu bercakap seolah-olah berbanding Fattah, you lebih berhak berada dengan I sekarang. Lelaki suka berbicara yang manis-manis. Dulu dia juga berkata apa saja sehingga dapat apa yang dia nak.”
“Sesetengah lelaki suka mempermainkan perasaan perempuan. I tak kata itu tak benar. Tapi I tak macam tu,” ucap Rauf sambil dia khusyuk melipat tisu itu. Diane sekadar memandang apa yang dikerjakan lelaki itu.
“Bukan selalu hati akan merasa indah kepada seseorang. Apatah lagi sayang. Selagi ada, I akan cuba hargai sebaik-baiknya. I mahu jadi lelaki yang terbaik untuk perempuan yang I sayang.”
Diane terdiam memandang lelaki itu pula. Sehingga lelaki itu selesai melipat tisu berwarna pink itu, dia masih terus memandang raut sang lelaki. Namun kemudian lelaki itu menoleh. Tisu di tangannya tadi sudah berubah kepada bentuk hati.
“Wow... macam mana you buat?” tanya Diane sambil menyambut huluran lelaki itu.
Rauf sekadar tersenyum. “Itu tandanya hati I ni dah ada di tangan you. Jagalah baik-baik. Jangan koyakkan,” ucap Rauf lembut.
Diane yang sedang membelek hati itu, kembali memandang Rauf. Tidak terjawab dia akan kata-kata itu. Hanya tisu itu diletakkan ditengah-tengah telapak tangannya lalu dihimpit dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Biarkan hati itu berada di situ. Di ruang yang tidak kelihatan pada mata orang lain. Dan terlindung dari apa saja yang bakal melukakannya.
“Sweet talker,” desis Diane lantas membelek semula kertas tisu itu.
“Pertama kali dalam hidup ni I rasa lost. I tak pernah rasa sepanjang hidup ni, bila I bangun awal pagi semata-mata untuk fikir tentang you. You tak pernah sedar ada ketikanya you telah datang ke dalam hidup seseorang begitu saja. You tak akan tahu sehingga I ada depan mata you sekarang dan I beritahu tentang ini semua. Tetapi sehingga ke saat itu, I menanggung rasa seksa melihat you lepas bebas begitu saja. Bersama dengan seorang lelaki yang berjanji tetapi entah bila dia akan menunaikan janji. Sedangkan jika diberikan peluang, I akan berusaha untuk jadi lebih baik berbanding dia. Cuma I harap diberikan peluang untuk menjayakan apa yang I impikan.”
Diane terdiam memandang tampang lelaki ini. Kata-kata itu benar-benar membuatkan dia tidak tahu apa yang hendak dibalasnya.
“Diane, pertama kali I jadi begitu berani dengan perempuan. Selama ni I tak begitu peduli dengan perempuan yang ada di sekeliling I. Seolah-olah mereka tidak wujud dan tidak penting untuk I ambil tahu. Tapi keadaan tu berubah waktu I ternampak you dulu. Jauh di sudut hati I sekarang ni, hanya you seorang perempuan yang I mahukan berada di dalam hidup I.”
“Di sebalik perangai you yang pelik-pelik, you memang pandai bercakap, Rauf.”
“I hanya cakap apa yang ada dalam hati ni, Diane. I tak create ayat romantis begitu sahaja supaya you terbuai. Apa yang you dengar, itulah suara hati I ni.”
“Susah I nak percaya yang hati manusia itu tak akan berubah.” Diane menjawab rendah.
“Siapa kata hati manusia tidak akan berubah? Kerana hati kita tidak sepenuhnya hak kita. Berapa ramai orang yang berubah hati sedangkan suatu masa dulu berjanji separuh mati untuk setia. Manusia tidak kuasa tentang masa depan. Tetapi hanya janjikan keperibadian I, I bukan lelaki yang lekas jemu. I tak dekati you sekarang ni untuk sakiti you, Diane.”
Diane diam lagi sambil memandang raut lelaki itu. Entah kenapa tidak jemu matanya memandang tampang sang lelaki.
“You tahu... kadang kala I rasa I sukakan seseorang kemudian perasaan tu akan tenggelam begitu saja. Apa yang I rasa biasa-biasa aja.” Diane diam seketika. Cuba mencari bicara yang sesuai. Sebetulnya tidak mudah untuk dia merasa jatuh cinta separuh gila, seperti mana dia merasa perasaannya kepada kekasih pertamanya itu. Setahun dulu memang indah. Tetapi kini semuanya samar-samar sudah kini.
“Hakikatnya, I yang lekas jemu, Rauf.”
“Mungkin apa yang you ada pada dia itu sebenarnya bukan cinta.”
“Really? Jadi apa?” balas Diane lantas tersenyum sedikit.
Rauf hanya tersenyum sedikit sebelum dia menoleh. Pelayan sedang membawakan hidangan mereka.
“Kita makan dulu?” ucap lelaki itu lembut. Diane mengangguk akur. Lapar terus perutnya melihat hidangan di atas meja.
Sepanjang makan hanya perbualan biasa terhias. Namun Rauf terpaksa mengajak Diane berlalu, dek kerana suasana sudah mula bising dengan bunyi orang berkaraoke di situ. Agak menganggu. Diane terus akur.
Sebelum kembali ke kereta, Rauf mengajak wanita itu singgah di kedai Seven-E.
“You nak aiskrim?”
“Tak nak. I hanya suka makan ais krim di kedai atau di rumah,” jawab Diane sambil membelek mejalah di rak. Tiada apa yang menarik. Sudahnya dia mendekati Rauf yang sibuk membelek ais krim.
“You suka aiskrim ya?”
Rauf mengangguk. Segera mencapai Magnum berperisa coklat.
“So sweet of you. Suka makan aiskrim. Selalunya perempuan yang suka aiskrim ni,” ujar Diane.
“Sebab tu you nampak I ni manis aja. Sejuk mata memandang. Lelaki macam I ni rare. Rugi perempuan yang tolak cinta I,” ujar Rauf biasa. Diane tersenyum juga akhirnya.
Sambil perempuan itu memandu, Rauf sibuk mengerjakan plastik aiskrimnya. Namun kemudian dia menghulurkan aiskrim itu kepada Diane.
“I tahu you teringin sebenarnya,” ucap Rauf biasa.
“I tak suka makan dalam kereta. Melekitlah,” balas Diane.
“I yang pegang. You cuma perlu gigit saja.”
Dek kerana Rauf masih sibuk menghulur aiskrim itu, Diane akhirnya membuka mulut dan menggigit hujungnya. Kemudian lelaki itu menggigit bakinya.
“Hmm... manis macam you,” ujar Rauf perlahan. Diane sempat menoleh ke sebelahnya. Melihat mimik wajah Rauf, dia rasa macam nak cubit saja lelaki itu. Muka orang miang!
Sehingga mereka berhenti di kawasan kondominium lelaki itu, Rauf masih belum habis menikmati aiskrimnya. Sudahnya Diane hanya bersandar di kerusi memandang lelaki itu.
“You memang tak pernah ada girlfriend sebelum ni? 30 tahun you hidup atas dunia ni, tak pernah sekali pun ada teman wanita?” tanya Diane dalam pada lelaki itu masih ralit dengan aiskrimnya. Rauf terus menggeleng.
“Perlu ada teman wanita sekali sekala ke? Macam trend, orang lain ada... I pun perlu ada seorang. Bila-bila rasa jemu, putuslah.”
“Susah nak jumpa lelaki macam you ni,” balas Diane lembut.
“I tak rasa memiliki seorang perempuan sebagai kekasih itu satu keperluan sehingga I rasa waktunya sudah sampai,” balas Rauf sambil mengelap tangannya dengan tisu.
Kemudian dia memandang ke tempat duduk di belakang. Cuba mencari air mineral ditempat selalu. Dia ternampak air itu berada di atas kerusi. Rauf memanjangkan tangan untuk mencapai. Tetapi botol itu terjatuh pula ke tempat kaki. Malah hilang dari pandangannya.
“Mana pulak dia pergi ni?” ucap Rauf sendiri. Bersusah payah cuba mencapai botol air itu. Namun tangannya tidak sampai.
“Ambilkan sekejap. I tak dapat capai botol tu.”
“Mana?”
“Ni. Belakang ni,” ucap Rauf sambil terus cuba mencuit botol itu dengan hujung jarinya. Sayangnya botol itu bergolek lebih jauh pula. Sudahnya Diane pula cuba menghulurkan tangan untuk mengambil botol itu. Tetapi secara tidak sengaja kepala mereka terhantuk.
“Aduh! You ni... biarlah I ambil,” ucap Diane sambil memegang dahi. Sakit! Rauf pula mengusap tepi kepalanya.
“Orang kata kalau kepala terhantuk, kita kena hantuk sekali lagi. Kalau tak kita akan kena nasib buruk.”
“Tipu!”
“Iya.” Rauf menjawab bersungguh.
“Perlahan aja,” ucap Rauf macam bersungguh sahaja. belakang kepala Diane ditarik ke arahnya. Sudahnya mereka berlaga dahi pula. Namun agak perlahan. Diane seperti orang bodoh, akur sahaja dengan perbuatan lelaki itu.
“Sekarang baru nasib kita baik. Bila kita berlaga dahi, jodoh kita pun berlaga sama.”
“You tipu I!” getus Diane lantas mencubit lengan lelaki itu.
“Iya. Mana ada tipu. Ini kawan I yang cakap waktu I umur tiga tahun dulu,” ujar Rauf selamba.
Diane ternganga. “Kawan you ajar waktu umur you tiga tahun? So, berapa umur kawan you waktu tu?”
“Tiga tahun juga.” Rauf menjawab dengan muka selamba memandang ke hadapan. Diane terkedu memandang lelaki itu. Sahihlah dia kena tipu!
“Kadang-kadang I rasa macam nak tarik aja rambut you tu. Geram dengan perangai you ni,” ucap Diane setelah lelaki itu ketawa dengan reaksi bengangnya.
“I suka usik you sebab I suka beri perhatian pada you. Janganlah ambil hati,” ucap lelaki itu lembut.
“Meriah hidup I semenjak kenal you ni. Entah apa-apa you buat. Kadang-kadang I tergelak bila teringat you. Bila you suka buat muka naughty, I rasa macam nak cekik-cekik aja you ni.”
Rauf tersengih sedikit sebelum menoleh kepada perempuan itu. Namun dia terpandangkan wanita itu sedang merenungnya.
“Beri I peluang. You boleh cekik I, tarik rambut I atau apa-apa saja yang you nak buat,” ujar Rauf lembut.
Really? Demi mendapatkan seorang perempuan you sanggup janji apa saja?”
“Lelaki kan selalu jadi tempat perempuan melepaskan geram?” ujar Rauf selamba. Diane tergelak pula.
“Diane, I tak pandai pujuk perempuan dengan bunga atau sesuatu yang lain. Apa yang you nampak I sekarang, inilah I. I akan usahakan sampai kita berjaya. Keadaan tak akan sama seperti yang pernah you lalui dulu. I tahu semua perempuan takut dilukai. Lelaki pun begitu, Diane. Kita tak mampu baca apa yang akan terjadi masa depan nanti. Tapi I tak akan biar you lalui hidup ni sendiri lagi,” ujar Rauf lembut. Kali ini nadanya lebih serius.
Bicara yang terakhir itu membuatkan raut wajah sang perempuan berubah sedikit. Hatinya terusik. Bertahun-tahun setelah kehilangan ibu kandungnya, dia melalui hidup ini sendiri. Susah atau senang, dia hanya sendirian menelan setiap kesakitannya.
Diane tiba-tiba mengambil dompetnya. Dari dalam dompet itu diambilnya kepingan hati yang diperbuat dari tisu itu. Kertas tisu itu ditayangnya kepada lelaki itu. Rauf mengambilnya lalu dibeleknya.
“You jaga hati ni baik-baik, I akan jaga you baik-baik, sayang. You tak akan menyesal, I yakin,” ucap Rauf sambil dia menunduk memandang kertas itu.
Diane terus memandang susuk paras lelaki itu. Paling menyenangkan saat terpandangkan bulu yang tumbuh jarang-jarang di rahang sang lelaki. Memikat. Tidak selalu dapat melihat lelaki ini membiarkan wajahnya ditumbuhi buluan itu.
“Bagaimana kita boleh membiarkan orang yang kita perlukan itu terluka, Diane? I perlukan you untuk lengkapi kehidupan I dan you perlukan seorang lelaki yang mampu memimpin tangan you sepanjang hidup ni,” ujar Rauf lantas memandang ke arah wanita itu semula.
Diane terdiam lantas menyandarkan kepalanya di kerusinya. Fikirannya ralit bermain dengan andaian dan persepsi sendiri. Bagaimana jika suatu hari nanti dia merasa jemu?
“Setiap kali I pandang you, hati ni seolah-olah merayu... agar perasaan ni pun akan ada dalam hati you.”
“That’s enough,” ucap Diane pantas. Rauf terpempan seketika. Berubah sedikit wajahnya. Diane tiba-tiba mengambil semula hati tisu di tangan Rauf itu lalu disimpan semula ke dalam dompetnya.
“You tak faham lagi?” tanya Diane perlahan.
Sekali lagi wajah lelaki itu berubah. Gembirakah dia? Sudah tentu!
“I tak pernah jadi macam ni bila dengan Fattah sebab dia tak pernah layan I macam ni. I sedar I tak perlukan lelaki yang hanya tahu beri hadiah untuk memujuk bila dia sakitkan hati I. I perlukan lebih dari itu. I tahu selama ni you berusaha untuk buat I happy. Dan I happy, Rauf. Honestly, I memang happy.”
Kalau sebentar tadi, dia yang banyak bercakap. Kali ini Rauf kelu seribu bahasa. Namun seketika kemudian dia tersandar ke kerusi dan ketawa. Entah kenapa dia terasa mahu ketawa untuk menggambarkan rasa gembiranya ini.
“Beritahu I perempuan mana yang tak terpikat kalau lelaki macam you ni datang merayu-rayu?” ucap Diane lagi.
Rauf ketawa kecil sambil menoleh kepada perempuan itu. Mereka berpandangan seketika sebelum Rauf kembali memandang ke hadapan. Lembik lututnya dek kerana dia tahu Diane masih memandang kepadanya. Bimbang entah apa-apa yang dibuatnya kepada perempuan itu dalam keadaan mereka berdua-duaan di dalam kereta.
“Jangan goda I,” ucap Rauf tanpa memandang ke arah Diane.
“Lebih baik you naik sekarang, Rauf.”
“Ya. Sebaiknya macam tu. Sebelum dalam ni ada parti liar,” balas Rauf. Namun belum sempat dia membuka pintu ada jari mencubit lengannya. Rauf menoleh semula.
“You cubit I?”
“Lelaki kan tempat perempuan melepaskan geram?” balas Diane selamba. Namun kemudian dia ketawa melihat mimik muka lelaki itu. Geramkan dia.
“See you tommorow,” ucap Rauf.
Diane ikut keluar dari kereta. Namun dia sekadar bersandar di kereta itu sambil memandang Rauf berjalan ke arah kediamannya. Dan saat lelaki itu menoleh semula kepadanya, dia tersenyum. Mengangkat tangan melambai dengan lambaian lembut.
“Adui... menggodanya,” keluh Rauf sambil dia meneruskan langkah. Namun dia terlanggar sesuatu yang lembut. Saat dia memandang ke hadapan, seorang lelaki Singh agak tinggi sedang berdiri di hadapannya. Rauf sempat memandang ke bawah. Perut buncit lelaki itu berlaga dengan dadanya.
“Tarak nampak ini perut?” tanya pengawal itu sambil bercekak pinggang.

“Saja mahu rasa uncle punya perut.” Rauf tersengih sambil mengusap perut buncit lelaki itu. Namun saat dia menoleh semula kepada Diane, gadis itu ketawa serta merta. Rauf benar-benar melucukan!

2 ulasan: