Isnin, 15 Mei 2017

MAWAR BERDURI-BAB 6

BAB 6
AMBOI... merah menyala kereta. Siapa punya?” tegur Tan Sri Fattah sebaik sahaja Diane keluar dari kereta itu. Terangkat keningnya sedikit.
“Pakwe baru I punya. I pinjam aja. You nak apa, tan sri?” jawab Diane selamba. Berubah sedikit wajah lelaki itu mendengar jawapan Diane.
“Main-main!” rengus lelaki itu tidak senang dengan jenaka kekasih hatinya itu.
Diane hanya mencebik sambil mendekati pintu sebelah sana. Pintu itu dibukanya lalu dia duduk dengan kaki sengaja dibiarkan di luar. Tan Sri Fattah tersenyum sendiri memerhatikan betis tidak bersalut apa-apa itu. Diane memang suka mengenakan skirt separas lutut semata. Ketika duduk, sudah tentulah skirt itu tersingkap ke atas.
Namun sedang dia ralit merenung betis Diane, sebuah motor menderu ke arahnya lalu berhenti mengejut. Hampir sahaja terlanggarnya.
“Kau dah kenapa??? Buta ke apa???” marah Tan Sri Fattah kepada si penunggang motor itu. Wajahnya tidak kelihatan dek kerana topi keledarnya bertutup penuh. Diane keluar semula dari kereta untuk melihat apa yang berlaku.
“Tan Sri duduk tengah jalan ni kenapa? Nak bunuh diri ke apa?” ujar Rauf setelah menaikkan cermin penghadang. Hanya kelihatan mata sahaja. Diane mengulum senyum mendengar bicara itu. Dari suaranya, dia tahu lelaki itu adalah Rauf.
“Kurang ajar!” Tan Sri Fattah sempat menolak kepala yang bersalut helmet itu.
“Janganlah! Ingat ni kepala alien starwars ke?” marah Rauf.
“Kau jangan nak main-mainlah, budak! Aku pecat kau nanti!” ucap Tan Sri Fattah agak keras. Kolar jaket anak muda itu dicekak lalu ditariknya.
“Hei! Orang tua... tak payahlah nak pegang-pegang! Koyak nanti baju aku ni. Ingat baju ni free ke?” ucap Rauf lantas menepis tangan lelaki itu kasar. Terlepas pegangan Tan Sri Fattah serta merta. Terbeliak mata lelaki itu melihat keberanian si penunggang motor itu.
“Bukak helmet kau! Bukak! Aku dapat tahu kau siapa, memang kau nahas!”
Rauf hanya buat tidak peduli. Tangan lelaki itu ditepisnya. Sebaliknya dia memandang ke arah Diane dan membuat isyarat agak menutup telinga. Diane mengerut kening tidak mengerti. Namun saat dia melihat Rauf meletakkan tangan di kemudi motor itu, dia segera menutup telinganya.
Rauf menolak sedikit motornya ke hadapan seolah-olah mahu pergi. Sengaja dihalakan corong asap motor itu ke arah Tan Sri Fattah. Dan... prengg... prengggggg....
“Hoi! Jahanam punya budak. Memekak!!!” pekik Tan Sri Fattah. Namun dia segera melibas wajahnya. Asap motor itu terasa seperti sudah ditelannya tadi! Rasa petrol!
Setelah puas membuat bising, Rauf segera memecut pergi. Puas hatinya dapat mengenakan lelaki tua itu. Diane mengulum tawa saat berpandangan dengan Tan Sri Fattah.
“You kenal siapa budak tadi tu?”
“Entah. Tak cam siapa.” Diane sekadar menjawab biasa.
“Kalau I tahu tu siapa, memang nahaslah dia! Kurang ajar.”
Bebelan lelaki itu sekadar didengari sahaja oleh Diane. Pintu kereta ditutup wanita itu lalu dia menekan butang. Seterusnya lelaki itu ditinggalkannya begitu saja.
“Sayang...” Tan Sri Fattah tetap mengekori gadis itu. 
“You jangan panggil I macam tu lagi. You tak ingat ke apa yang I cakap hari tu???” marah Diane. Meluat pula mendengar nada merayu-rayu begitu.
“Sayang, dengar dulu. Itu semua fitnah nak menjatuhkan I.”
“Whateverlah. I dah malas,” ucap Diane sambil terus berjalan menuju ke lif. Malang nasibnya, tiada sesiapa di antara mereka menyebabkan dia terpaksa terus menadah kepada pujuk rayu lelaki itu.
“Diane, dengar dulu... I dengan budak tu tak ada apa-apa. I tak pernah tidur dengan dia. Itu semua fitnah.”
“Ya. Waktu begitulah elok untuk you cabut lari, biarkan I handle masalah yang you dah buat, kan? Apa jadi pada I, you tak peduli. You balik sini, you mesej I, minta I jangan ganggu you sebab you dengan wife you. Okay. Sekarang I takkan ganggu you lagi sebab I dah muak. Tugas I di sini adalah untuk syarikat. Bukan untuk selesaikan masalah skandal you sedangkan you hanya tahu menghirup nikmatnya!” marah Diane. Terkedu sekejap Tan Sri Fattah mendengar bicara gadis itu. Sinis dan kasar.
“I tahu I dah kecilkan hati you. I akan tebus semula, sayang. Janganlah buat macam ni.”
“I serius dengan apa yang beritahu hari tu, Fattah. I dah jemu macam ni.”
“No. No. No. I tak boleh terima. You tahu betapa sayangnya I pada you?”
“Kalau you sayang, you tak akan buat I macam ni! You ingat I tak ada perasaan ya? you keluar pergi berfoya-foya sana, isteri you marah I. Segala macam habit buruk you, itu pun I yang nak kena jaga ke?” balas Diane meninggi.
“Sayang, I’m so sorry...” lelaki berusia 47 tahun itu mendengus apabila Diane terus meluru keluar dari lif. Laju berjalan meninggalkan dia di belakang. Nampak Diane marah benar kepadanya.
Diane terus menuju ke kamar kerjanya. Tirai dikembangkan agar tiada siapa dapat melihat dia di dalam kamar itu. Namun ketika dia mendekati mejanya, dia terpandangkan sesuatu di atas meja. Diane mencapai kad itu selepas beg tangannya diletakkan di atas mejanya. Kad itu dibukanya. Keningnya berkerut.
Rauf,
Youlah lelaki yang paling romantis, paling baik, paling sesuai jadi bakal suami I. Sudi tak kiranya I melamar you untuk jadi kekasih I? I love you.
Yang mabuk cinta,
Diane Rose.
(Okay. Boleh hantar pada I sekarang...)
Diane segera mendekati tirai yang menjadi penghadang dinding kamarnya itu. tirai itu ditarik ke bawah, cuba mengintai Rauf. Dan entah bagaimana, timbul sepasang biji mata dari persembunyiannya di sebalik partition meja lelaki itu. Dan dia tahu dari alias mata itu, lelaki itu sedang tersengih di sana.
Geram! Diane melepaskan tirai itu. Dia kembali semula ke mejanya. Punggungnya dihempas ke kerusi. Ganggang telefon diangkat, lalu nombor sambungan ke meja lelaki itu didailnya.
“Rauf...” sambut suara satu lelaki setelah talian bersambung.
“You ni memang sengal, tahu tak! I rasa macam nak renyuk-renyuk aja muka you ni,” ucap Diane serta merta. Namun Rauf ketawa.
“I love you too...” balas Rauf dengan bibir termuncung. Kemudian dia menyeringai bahagia.
Diane menghela nafas panjang. Namun sudahnya dia tergelak entah kenapa. Entah bahagian mana pula yang lucu. Semenjak dari bawah tadi hatinya tercuit gelihati dengan gelagat Rauf mengenakan Tan Sri Fattah. Sungguh berani.
“Rauf, you ni memang tak reti mengalah ya?”
“Tak. Selagi you bukan isteri orang, I tak akan mengalah.”
“You tahu... I masih ada teman lelaki, Rauf.”
“Tan Sri tu? I tak peduli. I tahu I lebih berkeyakinan berbanding dia. I sanggup jadi kekasih gelap you,” ujar Rauf bersungguh. Sekurang-kurangnya dia bukan lelaki yang menumpang harta isteri biarpun dia tidaklah sehebat lelaki itu dalam soal kekayaan.
“Okaylah. Disebabkan kegigihan you mengurat I tak habis-habis, I nak belanja you dinner malam ni,” ucap Diane lembut.
“Haa... macam tulah. Okay. Walau jauh di negeri China sekalipun, I akan berusaha untuk datang demi you.”
Diane tergelak lagi. “You ni ada-ada ajalah! Tak ada siapa nak ajak you dinner di negeri China pulak. You nak I ambil you atau you nak datang sendiri?”
“Kalau you sudi datanglah jemput teruna pemalu ni. I tunggu,” ujar Rauf lembut. Bicara itu membuatkan gadis itu tersenyum pula.
“Okaylah. I datang jemput. Jam 9 ya?”
“Okay, sayang. Eh! Bilik tu janganlah dikandang macam tu. Bukalah sikit tirai tu. Barulah semangat I nak kerja kalau nampak buah hati I ni.”
“Dahlah. Malas nak layan!” ucap Diane lantas meletakkan ganggang. Namun kemudian dia bangun juga. Tirai yang bertutup itu dikembangkan semula. Sekaligus dia terlihat lelaki itu sedang memandang ke arah kamarnya.
Rauf menunjukkan ibu jarinya. Diane sekadar tersenyum. “Pakwe senget!” ucapnya seorang diri.
Baru hendak memulakan kerja, kedengaran suara Tan Sri Fattah memanggil dia ke kamarnya. Diane menghela nafas panjang. Bosan!
“Diane, I panggil ni!” sekali lagi interkom berbunyi.
“Ya, tan sri. I datang sekarang,” jawab Diane mendatar. Pantas dia bangkit dari duduknya untuk keluar. Sempat terpandangkan Camille, setiausaha lelaki itu merenung kepadanya sebelum dia menolak pintu kamar CEO.
“Sayang... I nak bawa you pergi lunch hari ni,” ujar lelaki itu lembut.
“Ada apa?” tanya Diane sekadar acuh tidak acuh.
“Ada hal penting yang I nak bincang.”
“Kalau pasal kita, I tak nak, Fattah. Cukuplah. I dah tak berminat,” ujar Diane bersungguh.
“Beri peluang pada I sebelum you buat keputusan, Diane.”
“I dah beri peluang banyak kali tapi keadaan masih sama. Ini bukan tentang isteri you tapi you! You yang paling bermasalah sekarang,” jawab Diane tanpa nada mesra lagi.
Tan Sri Fattah menghela keluhan perlahan. “I tak boleh terima keputusan you. I masih perlukan you, Diane. I tak main-main. Sayang, maafkanlah kesilapan I. I tak ada niat nak abaikan you.”
“Whateverlah. I bosanlah bercakap tentang ini,” balas Diane lantas berpaling semula. adakah lelaki itu fikir dia terasa hati kerana Puan Sri Engku Ameenah? Sama sekali tidak! Apa pulak haknya untuk merasa cemburu? Sebaliknya dia sakit hati apabila lelaki itu melarikan diri dari gosip itu sedangkan dia terumbang ambing, terpaksa menguruskan semua itu.

Itukah tanda sayang? Atau dia sekadar dipergunakan atas dasar hubungan cinta? Dia sudah tahu jawapannya. Dan dia sudah jemu dipergunakan. Jadi, cukuplah mereka setakat ini sahaja.

3 ulasan:

  1. yyeesss.. cukup2 sudah diane... abaikan org tua tu... rauf sedia menanti...

    BalasPadam
  2. Adui..47 tahun kut..gatal nah org tua tu..cik author..handsome tak atau boroi ke TS Fattah? Hehehe..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ella, handsome sebagai orang tua. Biasalah... Segak orang berduit.

      Padam