Isnin, 22 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 21

BAB 21
“DIANE Rose McLachlan?”
Diane yang baru keluar dari kereta segera menoleh.
“Ya. You ni siapa?” balas Diane sedikit terkejut disapa dua lelaki itu.
“Saya diarahkan oleh Tunku Imranuddin untuk membawa puan bertemu dengan Ampuan Besar Tunku Zanariah yang sedang sakit di IJN.”
“Siapa tu?” balas Diane agak terkejut.
Dua lelaki itu saling berpandangan. “Ibunda Tunku Imranuddin. Saya harap puan sudi pergi bersama kami. Kerana hal ini agak penting,” ujar salah seorang lelaki itu.
“Kenapa pulak nak jumpa I?”
“Puan kena pergi bersama kami. Baru puan akan bertemu jawapannya.”
“Takkanlah I nak ikut you macam tu aja? entah-entah you ni orang jahat.”
“Puan boleh pandu sendiri kalau puan tidak percaya kepada kami. Yang penting puan mesti tiba di IJN segera,” ujar lelaki itu lagi.
Diane tidak terus mengikut lelaki-lelaki itu. sebaliknya dia menghubungi seseorang.
“Ada dua lelaki minta I pergi ke IJN untuk berjumpa dengan bonda Tunku Imran. Ada apa ni, puan sri?”
“You pergi sana, Diane. ada hal penting tu.”
“Kenapa I?”
“You kena pergi sana barulah you tahu.”
“Tak. I nak tahu apa sebenarnya yang berlaku ni, puan sri. Ada kena mengena dengan kedatangan Tunku Najihah hari tu ke?”
“Ya. Kami rasa Tunku Imran tu ayah kandung you.”
“What???” meledak rasa terkejut Diane mendengar bicara Puan Sri Engku Ameenah.
“Tak mungkin! Takkanlah you cakap sultan tu bapak kandung I? Mimpi ke ni?” balas Diane benar-benar terkejut.
“Mereka ada segala macam dokumen yang menyokong kenyataan tu, Diane. Percayalah. Kita bukan bercakap kosong sekarang. You mesti pergi jumpa Ampuan Besar Tunku Zanariah. Ini penting,” ucap Puan Sri Engku Ameenah bersungguh.
“Oh. Okay...” balas Diane perlahan. Seketika kemudian dia memandang dua lelaki itu.
“Silakan, tuanku...” pelawa lelaki itu lembut.
“Hello... I bukan princess, okay. Dan I pergi sendiri,” ujar Diane lantas kembali semula ke keretanya.
Dua lelaki itu sekadar tersenyum sebelum masuk ke dalam kereta yang sedang menanti. Perasan kereta mewah itu terus mengerkorinya sehingga dia tiba di Institut Jantung Negara. Kedua-duanya membawa Diane naik ke wad yang menempatkan wanita ternama itu.
Namun sebaik sahaja dibukakan pintu untuknya, dia terpandangkan seorang lelaki berdiri di hadapannya.
“Tuanku Imranuddin...” ujar salah seorang lelaki itu sekadar memperkenalkan lelaki di hadapannya itu kepada Diane.
Diane terpaku entah kenapa. Kaki bagaikan terpasak di lantai. Lelaki itu merenung lama kepadanya dengan pandangan redup. Pertama kali memandang dari dekat. Biarpun usia sudah 50 tahun, lelaki ini masih segak dan beroman wajah muda.
“Why am I here?” ucap Diane cuba mematikan renungan lelaki itu kepadanya. Janggal. Puan Sri Engku Ameenah mengatakan lelaki ini adalah ayah kandungnya. Itu memang aneh sekali.
“Nenda nak berjumpa dengan kamu. Silakan,” ucap Tunku Imran sambil mendekati katil ibunya. Kerusi di tepi katil itu ditarik sedikit untuk Diane.
“Bonda, Diane ada di sini...” bisik Tunku Imran perlahan. Lambat-lambat wanita itu membuka matanya. Menoleh ke tepinya. Lama matanya merenung wanita itu muda itu. Bibirnya terbuka sedikit sambil tangannya diangkat seolah-olah menggamit Diane agar mendekatkan diri kepadanya. Diane hanya akur.
“Sarah McLachlan...” bisik wanita itu.
“Diane Rose... Sarah adalah ibu saya,” ujar Diane perlahan.
“Sarah?”
Diane diam seketika merenung tampang yang sudah uzur itu.
“Where is she?” tanya Ampuan Besar Tunku Zanariah.
“Ibu saya sudah lama tiada. Dia meninggal dunia ketika usia saya 19 tahun,” ucap Diane perlahan.
Berita itu membuatkan reaksi Ampuan Besar Tunku Zanariah berubah. Terketar-ketar memegang dadanya.
“Bonda...” Tunku Imran segera mendekati katil itu. Namun wanita itu menahan anaknya itu. Biarpun payah, dia tetap ingin berbual dengan cucunya ini.
“Nenda minta maaf kepada kamu atas apa yang berlaku. Nenda bersalah kepada ibu kamu. Dan kamu sendiri. Maafkan nenda.”
Diane hanya terpaku merenung tampang itu. Mimpikah dia saat ini? Semenjak bila pula dia ini berdarah raja?
“Kamu adalah Tunku Puteri Diane Rose... anak kandung kepada Tunku Imranuddin.”
“Saya tak ada ayah dah lama,” jawab Diane perlahan.
“Daddy kamu tak bersalah, Diane. Dia buat semua ni demi nenda. Dia terpaksa.”
Diane mengerling lelaki tua itu seketika. Terujakah dia setelah diberitahu yang lelaki itu ayah kandungnya? Langsung tidak. Malah dia rasa semua orang di hadapannya ini sedang merepek dan berkisah dogeng saja!
Ampuan Besar Tunku Zanariah memandang anaknya. Tunku Imran mengambil satu sampul surat di atas meja itu. isi kandungannya dikeluarkan lalu diserahkan kepada ibunya.
“Ketika kamu berada di Pantai Medical Centre tempohari, ada seseorang telah datang mengambil darah kamu untuk kami lakukan ujian DNA. Ini keputusannya.” Wanita itu menyerahkan slip keputusan pembandingan sampel darah itu.
Diane terpaku lama pada kertas itu. setiap bait yang tertera dibacanya. 91.7% sepadan! Pandangannya terus diangkat kepada lelaki itu. Namun Ampuan Besar Tunku Zanariah memberikan pula satu dokumen lain.
“Sijil kelahiran kamu yang asal. Kamu adalah Tunku Puteri Diane Rose, anakanda Tunku Imran.”
Sekali lagi Diane terpaku kepada dokumen yang masih utuh itu biarpun sudah kekuningan.
Nama ibu-Sarah Jane Binti Abdullah@ Sarah Jane McLachlan.
Turut disertakan dokumen-dokumen lain yang tidak pernah dilihatnya selama ini.
Longlai! Entah bagaimana dia terbayang-bayangkan raut ibunya. Suatu masa dulu dia selalu bertanya, suara siapakah yang sering terngiang-ngiang di dalam mindanya ini. Dia masih teringat samar-samar akan susuk seorang lelaki menyebut ‘honey’ setiap kali datang kepadanya. Malah suara itu masih kekal berada di mindanya sehingga kini. Ibunya hanya menjawab, itu adalah suara ayahnya.
Dadanya sebak! Setiap kali dia meminta ibunya bercerita tentang ayahnya. Ibunya hanya diam.
“Diane, maafkan nenda. Tak seharusnya nenda begitu kejam memisahkan kamu dan ibu kamu dari ayah kamu. Hidup nenda dah tak lama. Nenda tahu perbuatan itu salah. Terutamanya kepada kamu,” ucap Ampuan Besar Tunku Zanariah.
Diane hanya berdiam. Sungguh dia terkejut. Tidak tahu apa yang hendak dijawabnya.
“Nenda tak ingin membiarkan keadaan ini berlangsung seperti itu lagi. Kamu berhak mendapat kasih sayang dari seorang ayah. Tunku Imran juga kesal dengan kesilapannya kerana membiarkan kamu selama ini. Tolong beri dia peluang untuk perbetulkan keadaan.”
“Mengapa ibu saya yang diceraikan dan saya disisihkan?”
Ampuan Besar Tunku Zanariah memandang lama wajah wanita itu dengan pandangan sayu. Namun Diane tidak mengharapkan wanita ini yang menjawab deminya.
“Mengapa di dalam birth certificate yang ada pada saya, nama ayah saya tidak diletakkan?” mata Diane terarah tepat kepada Tunku Imran. Namun Tunku Imran tidak terjawab pertanyaan itu.
“Dan berapa kali ayah kandung saya pernah cuba mencari saya di Wellington?” tanya Diane.
Sekali lagi Tunku Imran berdiam.
Sungguh dia ingin menjerit sekuat-kuat hatinya. Namun segala ekspresi itu terpendam demi melihat keadaan wanita ini sedang gering. Tetapi kenyataan seperti ini tidaklah mudah untuk dihadamnya sementelah bertahun-tahun dia terputus kasih dari seorang lelaki yang seharusnya dipanggil ayah. Ironisnya, bukan sekadar wanita tua ini bersekongkol menyingkirkan dia dari hidup ayah kandungnya. Ayah kandungnya sendiri juga menyembunyikan kehadirannya. Membiarkan dia dinasabkan kepada nama keluarga ibunya.
“Maafkan saya, tunku. Saya rasa saya dah mendengar cukup banyak. Saya kena pergi sekarang. Ini semua memang mengejutkan.”
“Diane...” Ampuan Besar Tunku Zanariah cuba menyentuh wanita muda itu. Namun Diane lebih cepat menolak kerusinya ke belakang. Tanpa memandang lelaki seorang itu, Diane terus berjalan ke arah pintu.
“Tolong pujuk dia, Imran. Pergilah...”
Tunku Imran segera meninggalkan bondanya di situ. Pintu ditolaknya untuk mencari kelibat Diane semula.
“Diane...” panggil Tunku Imran agak kuat. Dua lelaki yang berada di hadapan pintu itu segera mengekori Tunku Imran.
“Diane...” panggil Tunku Imran sekali lagi. Tetapi panggilannya tidak dipedulikan.
“Tuanku...” pengawal ikut memanggil lelaki itu. Tunku Imran menoleh kepada pengawalnya.
“Leave me alone,” ucap lelaki itu serius. Mahu tidak mahu dua lelaki itu memperlahankan langkahnya. Hanya mengekori dari jauh.
“Diane....” Tunku Imran melajukan langkah untuk mendapatkan wanita itu. Sudahnya pergelangan tangan Diane dicekupnya.
“Lepaslah!” marah Diane meninggi tiba-tiba. 
“Diane...” lelaki tua itu menghela nafas perlahan.
“Daddy minta maaf, nak.”
“Anak luar nikah. Itu yang orang panggil kepada saya bila saya beritahu saya tak ada ayah! Sorry? Yeah! Me too!” ucap Diane sedikit meninggi sebelum dia kembali berjalan.
“Diane, dengarlah dulu. Daddy tahu semua ni susah nak diterima. Daddy sayangkan ibu kamu. Tapi daddy terpaksa buat macam ni.”
Diane tiba-tiba menghentikan langkahnya. “You’re the biggest loser here!” ucap Diane tajam. Tunku Imran terpaku memandang anaknya itu. Ada air mata telah gugur di pipi anak itu.
“Maafkan patik, tuanku. Mulut ni jadi lancang sebab patik terpaksa terima akibat dari perbuatan dayus dan pengecut tuanku kepada ibu kandung patik. Cinta konon! Saya beritahu suami saya yang saya tak ada sesiapa lagi dalam hidup ni selain dia. Ya! Memang benar begitu. That is because of you!” ucap Diane sambil menunding kepada lelaki itu.
Tunku Imran hanya diam memandang kepada anaknya. Marahlah dia. Dia sedia menerimanya agar diberikan peluang untuk menjadi ayah sekali lagi kepada anak ini. Biarpun sudah terlewat!
“Senang, kan? Tiba-tiba memanggil saya ke sini, dengan harapan saya akan terbeli dengan darjat dan gelaran puteri dan memaafkan tuanku kerana tuanku seorang raja yang ternama! Saya rela melupakan semuanya. Tetapi saya rasa amat terhina apabila ibu mentua saya bencikan saya kerana saya ni orang tidak tentu asal usul. Tidak kenal bapa sendiri. Sadis, kan?”
“Daddy sedia tebus semula semua kesilapan daddy pada kamu. Daddy tak pernah lupakan kamu. Daddy juga rindukan kamu. Diane, kamu anak yang pertama sekali mengajar daddy menjadi seorang ayah. Sudah tentu besar maknanya kepada daddy.”
“That is funny! Tanda sayang...” Diane ketawa kecil. Berpuluh tahun dia tidak pernah melihat wajah ayahnya di hadapan mata. Malahan khabar berita pun tiada. Langsung tiada! Itu tanda sayang!
“Perkahwinan saya dan suami saya ditentang ibu mentua kerana saya dikatakan anak luar nikah! Malah suami saya diugut akan dibuang keluarga oleh ibunya kerana saya. Tetapi dia tetap pertahankan saya. Ironisnya ibu saya dibuang begitu saja kerana tuanku mahukan kedudukan sebagai raja. Betul, kan?”
“Daddy mengaku... daddy memang lemah. Daddy tak mampu nak tanggung semuanya waktu itu. Bonda menentang. Daddy terpaksa terima tekanan dari Tunku Budriah. Daddy terpaksa sembunyikan kamu demi masa depan keluarga.”
“Sebetulnya kuasa seorang ibu tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan kehilangan kemasyuran yang tuanku ada sekarang. Betul, kan?
Tunku Imran tunduk seketika. Namun kebisuan itu seolah-olah telah memberikan jawapan yang benar kepada pertanyaan sang anak.
“Beritahu kepada Ampuan Besar Tunku Zanariah. Saya maafkan segala-galanya. Tapi ini bukanlah dunia saya. Jauh sekali saya berangan untuk berada di celahan keluarga ternama ni. Saya hanya orang kebayakan. Ibu saya, Sarah Jane McLachlan hanya seorang guru. Dan saya tiada ayah semenjak kecil dulu! Tolong jangan cari saya lagi,” ujar Diane serius. Seterusnya dia berpaling untuk berlalu.
“Diane...” Tunku Imran tetap mengejar Diane sehingga ke lif. Namun wanita itu tidak mempedulikan panggilan itu.
“Diane, dengar dulu apa yang daddy nak cakap.”
Diane menarik semula tangannya daripada lelaki itu. “Let me go!” Diane berkeras juga menarik tangannya. Tidak ingin didekati oleh lelaki ini.
“Diane, daddy cukup kesal dengan apa yang berlaku. Tolonglah beri daddy peluang untuk perbetulkan keadaan.”
“I just want to live with my husband and my baby. Why don’t you just leave me alone? Pergilah... I’m not belong to you!”
“You’re belong to me. You’re my daughter!” ucap Tunku Imran bersungguh. Sungguh dia merasa bersalah melihat air mata di pipi sang anak.
Membiarkan nama saya dinasabkan kepada keluarga sebelah ibu sudah cukup membuktikan yang tuanku telah membuang saya lama dulu! I need to go,” ucap Diane sambil menyeka air matanya. Sungguh aneh berada di sini. Seperti berada di dunia yang lain.
“Daddy nak berjumpa kamu nanti, Diane.”
Diane hanya diam sambil menekan butang lif. Cukuplah sampai di sini. Dia hanya perlu tahu lelaki ini adalah ayahnya. Dia tidak mengharapkan lebih lagi.
“Diane, daddy minta maaf,” ucap Tunku Imran sekali lagi.
“Saya maafkan. Cuma jangan cari saya lagi.” Diane membalas dingin sebelum masuk ke dalam lif.
Kali itu Tunku Imran hanya mampu memandang. Sehingga pintu lif tertutup, dia lihat Diane masih tidak jemu menyeka air matanya.

TIDAK ingin masuk ke pejabat. Diane memandu pulang ke rumahnya. Hanya ingin melupakan apa yang dilalui hari ini. Namun sekali sekala dia terbayangkan raut ibunya. Setiap kali itulah air matanya gugur lagi.
Jam empat petang itu tiba-tiba kelibat Rauf muncul di rumah. Diane agak terkejut.
“Awal you balik?” tegur Diane. Cuba menyembunyikan kemurungan di wajahnya dengan senyum manis.
“I call banyak kali you tak jawab. I call ke ofis you. Amy kata you tak masuk pejabat hari ni. Kenapa, sayang?”
“I tak berapa sihat hari ni.”
Rauf diam mendengar jawapan isterinya. Semacam ada sesuatu yang disimpan isterinya.
“You ada masalah di ofis ke?” tanya Rauf.
“Tak. I okay. I cuma nak rehat di rumah,” ujar Diane lembut.
Lelaki itu semakin mendekati isterinya. “Lain kali jangan tak jawab call. I risau,” ucap Rauf lantas mendakap isterinya.
“I minta maaf. I sibuk kemas rumah dari tadi. Tak sedar you call.” Diane menjawab sambil menoleh sedikit kepada suaminya.
“Asalkan you baik-baik saja. Tak ada apa yang I nak marah,” jawab lelaki itu lembut. Perut sang isteri diusapnya pula. Sudah terasa membukit sedikit di sana.
“Apasal dah gemuk? Semalam tak segemuk ini,” ucap Rauf lantas pura-pura hairan.
“You ni!” Diane tergelak tanpa sengaja. Jemarinya diletakkan di atas tangan lelaki itu. pelukan itu terasa mendamaikan hatinya. Seolah-olah membawa dia pulang kepada dirinya yang sebenar.
“I cuma nak hidup dengan you...” ucap wanita itu sedikit tenggelam suaranya.
“You hidup dengan I sekarang, sayang.”
Diane diam pula.
“Diane?”
“Ya...” jawab wanita itu perlahan.
“Kenapa, sayang? Selalunya you tak macam ni?” ujar Rauf lembut. Isterinya dibalikkan menghadap kepadanya.
Diane menatap raut sang lelaki agak lama. Entah dari mana hendak dimulakan ceritanya.
“I jumpa ayah kandung I.”
“What? Really?” terbuntang luas mata Rauf mendengar itu.
“Dia kata dia ayah kandung I. I tak rasa satu keperluan yang besar untuk dia beritahu I memandangkan dia pun dah bahagia dengan kehidupan dia.”
“Maksud you?”
“Ini semua seperti mimpi saja pada I. I rasa macam di awang-awangan.”
“Ceritalah. Apa yang berlaku sebenarnya?” desak Rauf sudah tidak sabar.
“Tunku Imranuddin yang pernah you ceritakan pada I dulu. Dia adalah ayah kandung I.”
Rauf terkaku serta merta. Sungguh dia terkejut dan hampir tidak percaya mendengar itu. Apatah lagi untuk menduganya.
“Pagi tadi entah siapa-siapa minta I jumpa bonda Tunku Imran di IJN. Puan Sri pun suruh I pergi jumpa bonda Tunku Imran. So, I pun pergi. tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba datang seorang lelaki dalam hidup I, mengaku yang dia ayah I. Minta maaf atas perbuatan dia pada mummy I. I rasa seperti tak hidup hari ni sampailah you balik rumah,” ucap Diane perlahan.
“Tunku Imranuddin tu ayah kandung you. Really?” Rauf terlopong. Usahkan Diane. dia sendiri pun terasa seperti di awang-awangan kini.
“I tak rasa pun dia tu macam ayah I,” jawab Diane selamba.
“Apa bukti yang dia ada sehingga dia berani mengatakan you anak dia?”
“DNA. Birth certificate.” Diane menghela nafas perlahan. Sebetulnya dia tidak ingin bercerita tentang itu.
“You macam tak happy, sayang? Dia ayah kandung you.”
“Happy sebab apa? Sebab dia seorang raja yang mampu membayar semula kesakitan yang I tanggung selama ini dengan darjah mulia dan gelaran puteri?” balas Diane sedikit sinis.
“Tapi dia ayah kandung you, sayang.”
“Dia malu nak mengaku pada rakyat jelata yang dia ada anak yang lahir dari rahim lain selain Tunku Budriah. Wanita kebanyakan. Apalah yang nak dibandingkan mummy I tu dengan perempuan yang jadi isteri dia sekarang. Berdarah raja dan berkedudukan tinggi. Dia korbankan I dan mummy I. Jadi, untuk apa dia cari I semula?” balas Diane sedikit menggigil suaranya.
Rauf terdiam merenung tampang isterinya. Mata itu sudah mula berkaca-kaca. Diane memandang ke arah lain. Enggan membiarkan sang suami melihat kesedihan yang ditahannya selama ini.
“Cukuplah I tahu sebenarnya I ada ayah. I bukan anak luar nikah. Tapi I tak harap nak menumpang kemegahan keluarga tu. I tak mahu jadi perosak keluarga orang lagi,” ucap Diane rendah.
Rauf terdiam mendengar bicara sang isteri. Sungguh hatinya sayu mendengar itu. Bahu isterinya diusap lembut agar wanita itu tenang sedikit.
“I hanya nak hidup dengan you. Hanya you yang mampu terima I seadanya. Biarpun mungkin I bukan anak raja, you tetap bersama I. Dan I harap you juga tak akan tinggalkan I demi mengahwini perempuan bangsawan,” ucap Diane rendah.
“Tak mungkin I sanggup buat macam tu pada isteri dan anak I, Diane. I tak selemah itu,” balas Rauf bersungguh.
Diane menoleh kepada suaminya. Lama mereka bertatapan sebelum dia merebahkan kepalanya ke dada lelaki itu. Tubuh lelaki itu dipeluknya erat dan mata dipejamkan rapat. Hanya ingin melupakan semua kesedihan di dalam hidupnya untuk seketika waktu.

Namun sekoyong-koyong bayangan seorang wanita yang penyayang dan begitu tabah hadir lagi di dalam mindanya. Tidak pernah dia merasakan kerinduan yang teramat-mata dalam dan menyakitkan kepada si ibu, seperti mana yang dia rasai hari ini. 


*Assalam pembaca semua... ini adalah bab terakhir. Kisah ini sedang saya siapkan untuk terbitan. Belum diketahui pada bulan berapa. Insya-Allah utk mereka yang ingin mendapatkan naskah bagi karya ini, akan saya war2kan terbitannya di laman FB saya. Terima kasih.

3 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. huwaaaaa... turut sama rasa apa yg diane rasa... dah puas disumpah seranah... tiba2 datang kebenaran yg mengejutkan... Faz,... akak doakan moga faz dipermudahkan urusan dlm menyiapkan naskah Mawar Berduri... amin... amin

    BalasPadam