Isnin, 22 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 20 BHG 2

BAB 20 BHG 2 
TIBA di wad yang dinyatakan, hanya Diane sendirian sedang berbaring di atas katil. Sebaik sahaja menyedari kehadiran tetamu itu, Diane cuba bangun.
“Jangan bangun. Baring aja. you kena banyak rehat untuk baby you. Kenalkan, ini anak kawan I... Tunku Najihah. Princess of Tunku Imranuddin.”
“Tuanku Imranuddin?” terbeliak mata Diane seketika. Teringat yang suaminya ada memberitahu tentang nama itu sebelum ini.
“Diane...” ucap Diane lantas menghulurkan tangan kepada Tunku Najihah. Gadis itu tersenyum merenung wajah wanita itu.
“Kalau tak salah I... sebelum ni husband I ada bercakap tentang salah seorang anak Tunku Imranuddin. Putera Mahkota... I tak ingat namanya.”
“Tunku Iskandar.” Tunku Najihah menyampuk.
“Ya. Dia jumpa Tunku Iskandar di Prada, Crystal Palace.”
“Eh! Itu husband you??? Jihah pun ada kat situ waktu tu! Rauf ya?”
“Ya... ya... betul. Rauf tu husband I. I pun ada kat situ sebenarnya.”
Tunku Najihah memandang Puan Sri Engku Ameenah dengan mulut terbuka. Mahu tergelak dengan kebetulan itu. Rupanya mereka hampir bertemu sebelum ini. Kemudian pandangannya singgah lama di wajah Diane. Pertanyaan itu berlagu lagi di hatinya. Adakah wanita ini kakak kandungnya?
“Kebetulan ya?” Puan Sri Engku Ameenah tergelak kecil. Namun tanpa dilihat Diane, dia mencuit sedikit tangan Tunku Najihah. Namun Tunku Najihah menggeleng pula. Entah kenapa, dia tidak berani untuk bertanya.
“Apa kata doktor tentang baby you?”
“Tak ada apa yang pelik selain dari I kena duduk atas katil ni sampailah gynea I berpuas hati dengan keadaan kesihatan I. Alahan teruk sangat. I selalu lemah,” jelas Diane perlahan.
“Ini lumrah, Diane. kalau bukan anak pertama... anak yang lain you mesti kena macam ni.”
“Susah juga jadi ibu ni ya?” balas Diane rendah.
“Yang penting husband you selalu ada beri support.”
Diane mengangguk perlahan. “Kesian juga dengan Rauf. I tak ada mak nak tanya apa-apa. bila tengok I lain macam, dia yang panik.” Emak mentua? Langsung tidak mahu ambil tahu keadaannya.
“Biasalah ni... sabar banyak-banyak. Semua perempuan lalui keadaan ni. So, nanti nak bersalin di sini atau di Wellington?”
“Eh! Kat sinilah. Jauh sangat nak balik sana.”
“Mana tahu granny you nak jaga you masa berpantang nanti.”
“Granny tu dah tak ingat cucu dia ni. Dia dah nyanyuk, puan sri.” Diane ketawa perlahan. Apalah yang hendak diharapkan kepada neneknya itu. Berjalan pun tak lalu.
“So, you asal dari Wellinton sebenarnya?” Tengku Najihah pula menyampuk.
“Yup. I lahir di Wellington. Mummy pun orang sana. Tapi ayah kandung I orang Malaysia.”
Tengku Najihah mengangguk sedikit. “Ayah kandung you di mana sekarang?”
Pertanyaan itu membuatkan riak wajah Diane berubah sedikit. Agak kurang senang orang luar bertanya tentang ayah kandungnya. Tetapi hakikatnya, soalan itu adalah lumrah.
“I tak berapa kenal ayah kandung I. Mummy dengan daddy I dah lama bercerai. Semenjak I kecil lagi. Sebetulnya dulu waktu I masih kecil pun, I jarang sangat jumpa dia. So, memang tak kenallah. Lepas mummy I bawa I balik ke New Zealand, mummy I tak mahu bercakap pasal dia. Dia pun tak pernah cari kami. Mungkin dah benci sangat kut.” Diane ketawa kecil seolah-olah itu semua perkara biasa kepadanya.
“So, you memang tak kenal siapa Tunku Imran?”
“Tak kenal. Kenapa?” tanya Diane hairan dengan soalan itu. Apa pula kena mengena hal ini dengan Tunku Imran?
“Tak ada apalah. You nampak familiar macam seseorang. Mungkin I salah orang,” ujar Tunku Najihah biasa.
“I dah lama nak tanya soalan ni. Alang-alang dah sebut pasal ni. Siapa nama mummy you, Diane?” celah Puan Sri Engku Ameenah pula.
“Sarah Jane McLachlan...”
Dua wanita itu berpandangan berdua serta merta.
“Kenapa? Macam penting sangat sejarah keluarga I ni?” tanya Diane hairan. Telatah dua tetamunya itu amat memelikkan.
“Tak ada apalah. Saja tanya.”
Lama Diane merenung tampang dua wanita itu. Rasa aneh dengan semua soalan itu. namun Puan Sri Engku Ameenah segera menukar topik lain. Seterusnya persoalan itu mati begitu saja.

DALAM perjalanan pulang semula ke IJN, gadis itu sering mengelamun sendiri. Tiba di pintu seorang lelaki memandangnya.
“Tuanku...” sapa lelaki itu sambil menunduk sedikit.
“Bonda I ada?” tanya Tunku Najihah kepada lelaki itu.
“Tak ada. Tuanku Raja Perempuan Budriah dah balik ke hotel petang tadi. Tuanku Sultan ada temankan bondanya di dalam.”
Tunku Najihah mengangguk semata. Pintu itu dibukakan untuknya oleh pengawal itu. Tunku Najihah menjengah neneknya seketika. Seorang wanita setia menunggu di sisi katil.
“Nenda belum sedar?” tanya Tunku Najihah kepada wanita itu.
“Belum lagi, tunku.”
“Daddy I mana?” tanya Tunku Najihah lagi sambil memandang sekeliling.
“Ada kat hall sana.”
Tunku Najihah segera berpaling untuk ke ruangan keluarga itu. Terpandangkan ayahnya sedang memandang tv. Ralit seperti tidak sedar akan kehadirannya.
“Daddy... kenapa duduk seorang ni?” tegur Tengku Najihah sambil mendekati ayahnya.
Tunku Imran menoleh kepada anaknya. “Tak ada apa,” jawab Tunku Imran perlahan.
“Daddy, I want to show you something,” ucap Tunku Najihah lantas melabuhkan duduk di sebelah ayahnya.
Tunku Imran memandang seketika gelagat anak bongsunya itu. tiba-tiba Najihah menunjukkan dia gambar di dalam telefon bimbitnya.
“Daddy kenal tak siapa ni?” ucap Tunku Najihah lembut.
Tunku Imran merenung lama gambar itu. Tiba-tiba perasaannya berubah riak. Lama dia berdiam.
“Daddy kenal?” tanya Tunku Najihah sambil cuba melihat riak wajah ayahnya.
“Siapa ni?” balas Tunku Imran lantas buat-buat tersenyum.
“Takkan daddy tak kenal. Cuba tengok sekali lagi...”
Liur ditelan payah oleh lelaki itu. Matanya melekap lama pada raut wanita muda itu. Sekali memandang dia tahu siapa gadis ini. Biarpun sudah berpuluh tahun tidak berjumpa, mana mungkin dia dapat melepaskan seraut wajah yang sentiasa ada dalam memorinya.
“Diane...” bisik Tunku Imran perlahan.
“Siapa, daddy?” tanya Tunku Najihah. Seperti terdengar ayahnya menyebut nama seseorang.
Tunku Imran hanya diam sambil mengalihkan pandangan ke arah tv semula.
“Daddy?”
“Mana kamu dapat gambar tu?” tanya Tunku Imran tanpa memandang anaknya. Tidak ingin anak perempuannya melihat, matanya sudah mula berkaca-kaca sendiri.
“Jihah ada jumpa dia.”
Spontan lelaki tua itu memandang ke arah anaknya. Terkejut.
“Di mana?”
“Dekat aja dengan kita...”
Terkebil-kebil mata sang ayah memandang raut anaknya itu. Fikirannya jadi kosong.
“Betul. Jihah dah jumpa dia,” ucap Tunku Najihah bersungguh.
“Di mana?”
“Dia di Pantai Medical Centre. Dia dah bersuami, daddy.”
Sang ayah terpaku merenung tampang sang anak. Sekoyong-koyong bayangan bekas isterinya hadir dalam fikirannya. Wanita pertama yang dicintainya dan dikahwininya sebelum dia menikahi Raja Perempuan Tunku Budriah. Perkahwinan aturan keluarga. Bondanya tidak menerima wanita bernama Sarah itu kerana dia orang kebanyakan sedangkan Tunku Budriah itu berdarah raja dari sebelah ibu dan ayahnya. Demi kuasa seorang ibu, dia terpaksa melepaskan wanita itu.
Malah Sarah McLachlan tidak pernah diiktiraf sebagai isterinya biarpun dia berhak memberikan gelaran Sultanah kepada isteri pertamanya itu. Tetapi memberi gelaran sultanah kepada orang kebanyakan dan mengiktiraf wanita itu sebagai bakal pemaisuri... satu penghinaan kepada Raja Perempuan Tunku Budriah yang sememangnya berdarah raja asli.
Sarah itu adalah isteri pertamanya... bukan isteri kedua seperti yang diceritakan bondanya dulu.
“Daddy tak mahu jumpa dia? Jihah tahu daddy masih ingat pada dia, kan?” ucap Tunku Najihah perlahan.
Tunku Imran tunduk seketika. Mana mungkin dia tidak mahu berjumpa. Sudah tentu dia mahu! Dia mahu mendakap anak itu erat-erat. Agar rindunya selama ini terpadam segera. Tetapi mahukan anak itu memaafkan kekhilafannya?
“Nenda cakap apa dengan daddy sebelum ni?”
“Hmm?” Tunku Imran menoleh semula kepada anaknya.
“Nenda bercakap tentang Tunku Diane Rose, kan?”
Lambat-lambat Tunku Imran mengangguk. Ibunya meminta dia mencari semula anak itu. Itu menimbulkan kemarahan isterinya. Akibatnya mereka bergaduh besar.
“Tuanku, Ampuan Besar dah sedar...”
Spontan Tunku Imran menoleh kepada wanita yang berdiri di hujung ruangan itu. memandang kepadanya. Tunku Najihah juga ikut menoleh kepada wanita itu.
“Sembunyikan gambar itu dari mummy kamu,” ucap Tunku Imran perlahan. Seterusnya dia bangun untuk melihat keadaan ibunya.

Tunku Najihah menghela nafas perlahan. Terkenangkan ibunya itu. Dia tahu ibunya sukar untuk menerima kehadiran Tunku Puteri Diane Rose ke dalam keluarga mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan