Jumaat, 12 Mei 2017

MAWAR BERDURI-BAB 2

BAB 2
 “PSTT... nama syarikat kita masuk dalam berita awani,” ucap orang sebelah.
Rauf mengangkat pandangan. “Berita apa?” tanya Rauf perlahan.
“Tengoklah sendiri,” ujar Yuszar separuh berbisik.
Rauf segera melarikan tetikus komputernya. Membuka laman sesawang untuk mencari berita itu. Beberapa detik berlalu, dia hanya pegun membaca berita yang sudah tersebar di media masa.
‘CEO Garuda Groups berhadapan dengan tuduhan hamili gadis remaja.’
“Really?” Rauf memandang orang di sebelah. Menanyakan kesahihan berita itu.
Yuszar hanya menjungkit bahu. Permainan orang-orang kaya bukanlah urusan mereka. Mereka hanya mampu membaca berita itu untuk pengetahuan mereka.
Spontan Rauf memandang ke arah kamar kerja wanita itu. Diane sedar berdiri di tepi mejanya sambil bercakap di telefon. Semacam sibuk benar. Masakan wanita itu tidak tahu tentang berita itu?
Namun kemudian Rauf lekas-lekas pura-pura sibuk. Mengagak yang Diane akan keluar dari kamarnya sebaik sahaja meletakkan ganggang. Dan seketika kemudian...
“Amy!!!” jerit Diane dari hadapan kamar kerjanya.
Terkejut sebahagian pekerja yang berada dekat dengan kamar wanita itu. Rauf ikut memandang ke arah Diane. Seterusnya Diane masuk semula ke dalam kamarnya. Tirai dikembangkan membuatkan pandangan Rauf terhalang kepada gadis itu.
“What the hell! Terjerit-jerit macam mat lampir! Dah tebiat ke apa?” Amy merengus saat melintasi tepi meja Rauf.
Rauf hanya mampu menggeleng. Malas mahu mengambil tahu, dia kembali mengerjakan tugasnya yang masih berlambak.
Gadis bernama Amy itu menolak pintu kamar kerja Diane. Sudah terbiasa dijerkah begitu, dia hanya berlagak selamba. Sudah tahu apa sebabnya. Diane dilihatnya sedang menekup wajah ke meja.
“Diane...” tegur Amy perlahan.
“I’m so sorry,” ucap Diane setelah mengangkat wajah.
“It’s okay. I’m cool. Ada apa?”
Diane mengeluh sambil bersandar di kerusinya. Terngiang-ngiang lagi perbualan tadi. Puan Sri Engku Ameenah mengamuk kepadanya tentang berita di media itu. Hairan bagaimana berita itu sampai begitu cepat kepada orang luar.
How stupid I am. Dia buat hal lagi! Sekarang I yang kena selesaikan,” keluh Diane perlahan.
“Siapa? Tan sri ke?” tanya Amy hairan.
“Who else?” balas Diane cukup jengkel.
“So, betul ke berita tu?” tanya Amy lantas duduk di kerusi hadapan meja Diane.
“Entahlah. I rasa memang betul tapi dia tak mahu mengaku. Dia kata tak kenal pun budak tu. Tapi kebetulan budak tu kata dia ada di Sunway Club malam tu. Setahu I memang tan sri ada pergi sana.”
“Dia orang terserempak di sana?” tanya Amy lagi.
“Dia kenal budak tu di sana. Tapi dia kata dia setakat berbual. Rubish!” ucap Diane separuh merengus.
“How old is he?”
“Baru 17. Budak-budak dah boleh masuk club ya? I pun tak pandai masuk club. I tak tahu apa yang seronoknya di situ,” ujar Diane lantas mengangkat ganggang setelah telefon di atas mejanya berbunyi. Amy sekadar memandang Diane melayan bosnya yang lain.
Tertanya-tanya dia. Tidakkah dia sakit hati dengan keadaan ini? Masih mahu menunggu lelaki tidak berguna itu? Masing-masing sudah tahu Tan Sri Fattah itu kaki perempuan. Janji-janjinya kepada Diane hanya sekadar janji yang entah bila dapat dikotakan. Apa lagi yang hendak ditunggu? Apa yang hebat benar lelaki tua itu sehingga Diane begitu setia? Entahlah. Dia cukup hairan.
Usai berbual di talian, Diane mengeluh lagi. Pangkal hidungnya dipicit bagi melegakan kepala yang rasa sesak dengan pelbagai beban tugas.
“What now?” tanya Amy terus ingin tahu.
“Ada press kat lobi. Tan Sri Anuar suruh I selesaikan. It’s my job katanya!”
Amy ketawa pula melihat Diane mengajuk kata-kata Tan Sri Anuar dengan riak jengkel di wajah.
“Nak I temankan ke?” tanya Amy. Dia tahu Diane tertekan. Tugas ini memang tidak semudah yang disangka.
“Come. Kita pergi lunch lepas ni. Apa nak jadi, lantaklah. I dah penat. I nak tenangkan fikiran,” ujar Diane lantas bangun.
Amy tersenyum sebelum ikut bangun. Sempat mencapai ID dan dompetnya.
“ID I ni tak okaylah,” ucap Diane ketika mereka tiba di pintu utama.
“Give it to me,” balas Amy sambil mengambil kad itu dari tangan Diane. Ketika tiba di meja salah seorang pekerja, Amy berdiri di sebelah meja itu.
“Rauf, right?” sapa Amy kepada pemilik meja itu.
“Yup,” balas Rauf lantas membetulkan duduk. Namun matanya terkerling lagi wanita di belakang Amy itu. Gugup tiba-tiba.
“Tolong hantar kad ni pada HR. Minta yang baru. By today ya?”
“Okay.”
“Thank you,” ucap Amy lantas tersenyum ramah kepada lelaki muda itu. Rauf sekadar mengangguk.
Namun saat tiba di pintu, Amy berbisik kepada Diane. “Handsome you...”
Diane ketawa lantas mencubit pinggang Amy. “Miang you ni, Amy.”
“Opss! Untuk you. I dah ada tunang.”
“No way! Dia budak-budak lagi, Amy!” Diane ketawa besar ketika di hadapan lif.
“Budak you cakap? Itu kalau ditinggalkan berdua dengan you dalam bilik, I percaya... dia boleh buat you pregnant.”
“What??? Amy!!!” terjerit kecil mendengar bicara Amy. Diane sempat mencubit pinggang Amy. Amy tergelak besar sebelum memuatkan diri ke dalam lif. Diane merengus.
“I tengah stress ni you sempat lagi buat lawak tak kelakar macam ni.”
“Diane, you yang cari masalah. You tahu dia suami orang. Apa-apa hal pun nanti, you juga yang akan dipersalahkan. Bukannya I tak pernah ingatkan. Masih ada masa untuk you fikir semula. Jangan tempah neraka untuk diri sendiri, Diane. Dia bukan orang yang tepat untuk you bergantung harap. Dia pergunakan you, takkan you tak nampak lagi?” ujar Amy bersungguh.
Diane diam pula. Mengeluh. Sejauh ini hubungannya dengan lelaki itu, dia tahu harapan yang ada hanya sirna. Dahulu dia merasakan lelaki itu adalah lelaki yang tepat, yang mampu menjaga dia yang keseorangan. Lelaki yang matang. Tetapi sekarang andaiannya sudah meleset sedikit demi sedikit. Kata-kata manis hanyalah sekadar kata-kata.
“Diane, lebih baik sendiri daripada kita memikul beban yang tak sepatutnya digalas. You ingat mudah ke untuk dia bawa you masuk dalam famili dia? Macam mana dengan puan sri?”
“You ingat I tak pernah cuba tinggalkan dia? You belum pernah tengok perangai dia bila dia frust. I rasa macam nak gila, Amy.” Diane membalas perlahan. Kata orang nak seribu daya. Tak mahu seribu dalih. Untuk dia, biar seribu daya yang dia ada untuk meninggalkan kekasih gelapnya itu, tetap akan ada seribu dalih dari lelaki itu yang akan membuatkan dia terpaksa kembali semula kepada Tan Sri Fattah.
Amy mengeluh sendiri sambil menggeleng. “Lelaki tu memang pandai memujuk rayu,” komen Amy perlahan.
Diane membisu sehinggalah tiba di lobi. Sebaik sahaja keluar dia terlihat beberapa orang lelaki sedang duduk-duduk di sofa. Mereka berdua berjalan ke arah pintu utama tanpa mempedulikan kumpulan wartawan itu. Namun beberapa lelaki itu lebih cepat mengecam Diane. Mereka berdua diburu sehingga ke tempat dia memakirkan kereta. Soalan tetap diajukan biarpun tidak dilayan.
“No comment! None of your business. Get the hell out of my way!” jerkah Diane mula hilang sabar apabila seorang lelaki menahan dia dari masuk ke dalam kereta. Melihat lelaki-lelaki itu masih berasak-asak meminta jawapan darinya, terpaksa dia melambai ke arah pengawal keselamatan.
“I tak akan jawab sebarang soalan lagi. Tanya sendiri kepada orang yang menyampaikan cerita ini,” ujar Diane lantas masuk ke dalam kereta. Lega sedikit setelah melihat lelaki-lelaki itu bersurai dengan bantuan pengawal keselamatan.
“Gila betul. Dah macam paparazi,” komen Amy sambil menggeleng sendiri. Terteleng-teleng ke belakang untuk melihat kumpulan wartawan itu. Masih ada yang menunggu di tempat parkir kereta.
“Let’s get out from here.” Diane mendesis perlahan sambil mengundurkan keretanya keluar dari ruangan parkir.
Sambil memandu, Diane hanya membisu. Terfikir-fikir ke mana hendak pergi untuk lari dari kekusutan itu. Namun kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Sempat dikerling ke skrin. Tan Sri Fattah yang memanggil.
“Do you want me to...”
“No need!” Diane memintas cepat. Sebetulnya dia tidak ingin bercakap dengan lelaki itu buat masa ini. Sakit hati!
“Okay,” balas Amy perlahan.
Diane diam semula. Kereta terus dipandu menjauhi pejabat mereka. Sudahnya dia tersandar sambil memicit dahi pula.
“Tak ada apa yang I dapat bila I berikan kesetiaan.”
“You setia pada orang yang salah, Diane. Hanya itu yang silap.”
Diane diam semula. Memikirkan semula tindak tanduknya selama ini. semenjak awal dia memang sudah silap. Tapi hatinya ini kadang kala tidak ingin mengikuti jalan yang benar. Bukan pintanya untuk jatuh cinta kepada suami orang. Sukar untuk mengelak sementelah mereka selalu bertemu. Sudahnya dia terjerat juga.
“Kalau I tanya sesuatu, jangan marah ya?”
“Apa?” Diane menoleh ke sebelah.
“Are you still virgin... err...”
“Of course I am, Amy! You ingat I senang sangat nak tidur dengan dia ke?” Diane membalas cepat. Amy dijelingnya pula.
“Sorry. I tanya aja.” Amy menyambut rendah. Kesal pula kerana bertanya soalan itu.
“You ingat I tak takut kalau I beri semuanya dan dia akan gunakan itu untuk perbodohkan I? Belum sejauh itu, Amy. I tak berani,” ujar Diane mula kembali lembut nadanya. Cinta sebanyak mana pun, dia masih takut membiarkan hubungan itu berlanjutan ke ranjang. Masih ada sebahagian dalam dirinya percaya yang lelaki itu hanya memuja keindahan paras rupa dan bentuk tubuhnya semata-mata. Bukannya Tan Sri Fattah tidak pernah mengumpannya ke arah itu. Cumanya, lelaki itu tidak pernah memaksa.
“Err... Diane, kita nak pergi mana ni?” tanya Amy tidak lama kemudian. Kelihatan kenderaan itu sudah dipandu jauh meninggalkan Kuala Lumpur.
“Entah.” Diane menjungkit bahu. Amy terdiam pula. Teringat yang mereka hanya ada sejam lebih untuk waktu makan tengahari.
“You perasan tak, semenjak kita mula kerja di Garuda kita tak pernah ponteng kerja,” ujar Diane lagi.
“Meaning?”
“Sesekali I teringin nak buat perangai gila-gila. Kita ponteng kerja nak?”
Amy tergelak tiba-tiba. Namun tawanya memudar. “Serius?”
“Bukan lagi serius. Ni dah ‘duarius’, Amy.” Diane ketawa kecil entah kenapa.
“So, kita nak ponteng ke mana?”
“Kita pergi PD nak?” ucap Diane lantas menoleh ke sebelah.
“Why not?” balas Amy ceria. Kali itu Diane pula yang kaget.
“Serius ke you setuju ni?” tanya Diane bersungguh dengan kerutan di kening.
“Ni bukan serius lagi, Diane. Ni dah duarius. Kita makan dan mandi puas-puas!”
Spontan dua sahabat itu ketawa berdua. Sehati dan sejiwa. Kesukaan mereka selalunya sama. Memonteng kerja pun sama-sama!

SEDANG dia ralit mengerjakan tugasnya, Rauf terperasan ada panggilan video masuk ke komputernya. Gambar Amy tertera di skrin. Lelaki itu segera memasang headphone di telinganya.
“Hello, handsome...” sapa wanita di sebalik video itu.
“Hai...” sapa Rauf lantas tersenyum sedikit.
“ID yang I bagi tadi dah ada ke?” tanya Amy.
“Tak tahu. I tak ada tanya,” jawab Rauf.
“Oh... sorry. Kalau ada sesiapa tanya pasal I atau Diane, cakap aja tak tahu ya?”
“I memang tak tahu pun,” balas Rauf sambil memandang wanita di dalam skrin itu. namun dia terpandangkan seorang perempuan melintas di belakang Amy dengan jubah mandi semata-mata. Lekas-lekas dia memandang ke arah lain.
“Amy...” suara wanita itu kedengaran memanggil.
Tanpa dapat ditahan Rauf kembali memandang ke arah skrin. Wanita tadi kelihatan duduk tidak jauh dari Amy dengan tuala putih berbalut di pinggang.
“Okaylah. I cuma nak tanya itu aja.”
“You all di mana ni?” tanya Rauf dengan kerutan di kening.
“PD. Shtt... rahsia ya? Jangan beritahu sesiapa. Kalau ada sesiapa beri ID Diane pada you, you tolong simpan. Nanti hari Isnin I ambil. I belanja you lunch ya?” jawab Amy ceria.
“Okay.” Rauf tersenyum lagi. Namun senyumannya memudar saat terpandangkan ada seorang perempuan menghimpit Amy.
“Who is that?” tanya suara wanita itu lantas merenung ke arah skrin. Namun wajahnya berubah sebaik sahaja terpandangkan lelaki di skrin itu. Lekas-lekas dia menutup lensa gadjet itu dengan tangannya.
Buat seketika Rauf hanya pegun mendengar dua perempuan di dalam talian itu berbalah kecil. Suara Amy ketawa jelas kedengaran.  
“Okaylah, Rauf. Thank’s for your help. Cik kak tu malu dengan you. Chow...”
Rauf tidak sempat menjawab. Talian sudah terputus. Namun kemudian dia menggeleng sambil tersenyum sendiri. Terbayang apa yang dipandangnya tadi. Latar belakang di dalam video tadi seperti dia tahu.
Rauf mengangkat ganggang. Port Dickson Resort segera dihubunginya. Tidak lama menunggu, seseorang menjawab taliannya.
“Rauf Zuhayr sini...”
“Ya, Encik Rauf.” Suara di sana membalas.
“I nak you periksa ada tak mana-mana guest mendaftar atas nama Diane Rose atau Amy Eisyatul,” ucap Rauf dalam nada perlahan.
“Saya periksa sekarang,” jawab wanita di hujung talian. Rauf hanya pegun menanti wanita itu membuat kerjanya.
“Err... Diane Rose McLachlan. Bilik 0425.”
“You ada ambil adress dia?”
“Ya, ada. Kenapa, encik?” tanya wanita itu hairan.
“Tak ada apa-apa. Beri adress tu pada I sekarang.”
“Err...” wanita itu agak ragu. Maklumat tetamu itu adalah sulit. Tetapi yang bertanya itu bukan pula sembarangan orang. Anak kepada majikannya. Serba salah mahu menolak permintaan Rauf.
“Adress,” tegur Rauf lagi.
“Okay.”
Rauf segera mengambil pena. Alamat yang disebutkan oleh wanita di hujung talian segera disalinnya.
“Siapa nama you?” tanya Rauf kepada pekerja itu.
“Syahada,” jawab wanita itu lembut.
“Syahada, sekarang ni I nak you buat apa yang I suruh. Bilnya berikan pada I nanti,” ujar Rauf.
“Baik, encik.”
Buat seketika Rauf terus bergayut di talian bersama wanita itu. Seketika kemudian ganggang dikembalikan ke tempatnya. Rauf merenung memo pad di atas meja itu. Alamat yang diberikan oleh Syahadah tadi terletak di Seputeh, tidak jauh dari kediamannya. Tiba-tiba Rauf tersenyum sendiri. Terbayang pula olehnya raut tanpa alat solek tadi. Seraut itu melekap erat di benaknya.
‘Diane... Diane... milik siapakah gadis ini?’ Hati Rauf berbisik sendiri.

TING! TONG!
Petikan loceng itu sedikit mengejutkan dua perempuan itu.
“You ada order apa-apa ke?” tanya Diane sambil dia bangkit dari duduknya. Amy segera menggeleng.
Diane segera mendekati pintu. Dari intaiannya seorang pekerja hotel berdiri di hadapan pintu, menanti pintu dibuka. Diane segera membuka sedikit pintu.
“Yes?”
“Miss McLachlan?” tanya pekerja lelaki itu sambil membaca nama pada sampul kad yang terselit di celahan coklat yang digubah seperti jambangan bunga.
“It’s me.” Diane segera membuka kunci berantai pada pintu. Jambangan coklat itu disambutnya dengan kerutan di keningnya.
“It’s for you and your friend. Have a good weekend, Miss McLachlan,” ujar pekerja itu lantas meninggalkan Diane terpinga-pinga di situ.
“It’s Diane! McLachlan tu nama keluarga mak I lah!” laung Diane setelah lelaki itu menjauh.
“Kenapa, babe?” Amy ikut menjengah ke luar. Sudah tiada sesiapa di situ. Diane hanya menjungkit bahu.
“Wow! Siapa bagi ni?” mata Amy membuntang teruja melihat jambangan coklat itu. Menyelerakan.
“Entah.” Diane segera mengambil sampul di celahan bunga itu. Jambangan itu diserahkan kepada Amy. Berbanding dia, Amy lebih berminat dengan coklat itu. Diane segera mengeluarkan kad itu sementara Amy sudah kembali ke dalam bersama hadiah itu.
Andainya pintu hati masih terbuka, ingin aku bersamamu dan menemanimu untuk selamanya. Walaupun mungkin hanya dalam angan-angan.
Diane terpacak begitu sahaja saat membaca apa yang tertulis kad itu. Tulisan itu dibacanya berkali-kali. Tiada tertera nama pengirimnya. Membuatkan keningnya berkerut sendiri.
‘Siapa?’ Bisik hati Diane sendiri. Tidak pernah pemberian seperti ini mengusik hati kecilnya biarpun ini bukanlah pertama kali. Tetapi apa yang tertulis di kad itu membayangkan si pemberi ini berada dekat dengannya selama ini.
Diane menghempas punggung di sebelah Amy. Kad itu disimpannya semula. Tidak berhasrat untuk membiarkan temannya itu tahu isi kandungannya. Diane memandang Amy. Nampaknya Amy macam sudah tidak sabar untuk membaham coklat itu.
“Siapa yang bagi, babe?” tanya Amy.
“Entah. Siapa peduli, Amy. Yang penting... jom kita menyental sampai gemuk!” jawab Diane lantas merenggut hadiah itu dari tangan Amy. Coklat itu dileraikan rakus oleh mereka berdua.

Jerit pekik, hilai tawa dua perempuan itu kedengaran amat kuat sehingga ke hadapan pintu. Tanpa mereka sedar... seorang lelaki berdiri di hadapan pintu menyentuh pintu itu. Menelinga tawa dua perempuan itu sambil tersenyum sendiri.

3 ulasan:

  1. Sis kena edit ni..How old is she? Chapter ni ada
    2 error.😀😀 Sentiasa nantikan ur upcoming novels.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Harap maaf... Editing hanya sy buat pada manuskrip saja. Di blog sy tidak edit.

      Padam