Ahad, 21 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 17

BAB 17
PERTEMUAN semula dua keluarga. Namun kali ini bukanlah untuk membincangkan tentang majlis perkahwinan Rauf dan Tengku Marina yang dijangka bakal berlangsung dua bulan lagi. Sebaliknya pemulangan cincin dari pihak perempuan.
“Kita ni hanya merancang. Tapi Tuhan yang menentukan. Seandainya keputusan dari pihak saya ini mengguriskan hati mana-mana orang... saya mohon maaf banyak-banyak,” ujar Tengku Muzaffar perlahan.
Tan Sri Rafael hanya tenang mendengar itu.
“Sebab musababnya, rasanya tak perlulah kita ceritakan di sini. Sebaiknya kita masing-masing tanya pada anak-anak kita apa masalah mereka. Saya tak salahkan mana-mana pihak. Semua ni ada hikmahnya. Sebagai ayah, sudah tentu saya mahu yang terbaik buat puteri bongsu saya. Dan Marina juga terima keputusan saya. Soal jodoh ni... kita paksa macam mana pun, kalau tak jadi maka tak jadilah. Cuma harapan saya, janganlah kerana hal ini... kita sekeluarga terputus silaturrahim,” ujar Tengku Muzaffar lembut.
Tan Sri Rafael mengangguk setuju. Puan Sri Nur Ain tunduk menahan rasa hampa dan terkilan. Sebaliknya Rauf hanya tenang mendengar itu.
“Saya reda dengan ketentuan. Soal jodoh bukan kuasa kita yang menentukan.”
Namun usai pertemuan dua keluarga itu, Tengku Muzaffar meminta untuk bercakap dengan Rauf. Berdebar dada anak muda itu.
“Marina ada bercakap dengan uncle tentang perangai kamu. Sesuatu yang uncle susah nak hadam.”
Rauf hanya tunduk mendengar bicara lelaki tua itu.
“Kamu mahu Marina yang memutuskan pertunangan ini. Kenapa?” tanya Tengku Muzaffar. Nadanya cukup tenang biarpun keluarganya dipalitkan kisah luka ini.
“Saya boleh putuskan. Tetapi saya tak mahu dia menanggung rasa terhina sekiranya saya yang memutuskan. Sedangkan ini bukan salah dia,” jawab Rauf perlahan.
Tengku Muzaffar terdiam merenung anak muda itu. Sudah diagaknya. Namun jawapan Rauf cukup-cukup melegakan hatinya.
“Kamu tak berterus terang yang kamu tak ada hati pada Marina selama ini?”
Rauf menghela nafas perlahan. Hanya tinggal belum dijeritkan kepada dunia ini yang dia tidak ingin mengahwini Tengku Marina. Selebihnya sudah berkali-kali dia meminta keluarganya mempertimbangkan semula keputusan agar tidak meneruskan ikatan pertunangan ini. Tetapi suaranya tidak ingin didengari.
“Uncle, saya minta maaf. Saya tahu perbuatan saya memalukan kedua-dua belah keluarga.”
“Keluarga kamu tahu yang kamu tidak mencintai Marina?”
Perlahan Rauf mengangguk. Tengku Muzaffar tersandar mendengar bicara anak muda itu.
“Kamu dipaksa?”
Sekali lagi Rauf mengangguk.
“Jadi cerita Marina tentang perangai kaki perempuan kamu itu benar atau tidak? Atau kamu buat begitu supaya Marina berhenti berharap kepada kamu?”
Rauf mengangkat pandangan kepada lelaki itu.
“Saya nikahi seorang perempuan sebelum saya dipaksa bertunang dengan Marina. Saya terpaksa buat begitu. Mama tak terima wanita pilihan saya.”
“Siapa yang paksa kamu terima Marina?”
“Mama...” ucap Rauf perlahan.
“Marina tahu semenjak awal lagi yang kamu tidak sukakan dia?”
“Tahu.”
Tengku Muzaffar menggeleng sedikit. Sudah diagaknya. Dan sudah tentu isterinya juga itu ikut bersekongkol sama bagi menunaikan kehendak puteri bongsunya itu. Bukannya dia tidak tahu isterinya dan Puan Sri Nur Ain itu memang akrab selama ini.
“Kamu sepatutnya beritahu uncle semenjak awal lagi,” ucap Tengku Muzaffar.
“Saya terpaksa. Kalau saya tidak menurut, saya akan dibuang keluarga. Apa pilihan yang saya ada?” balas Rauf rendah.
“Astaghfirullah... mengapa perlu sampai begitu?” ucap Tengku Muzaffar kesal.
“Keadaan ni tak sama seperti Amanda dan Nasimuddin. Uncle tak pernah paksa Nas menikahi kakak kamu. Sebaliknya Nas sendiri juga sukakan Amanda. Uncle tak pernah membayangkan keadaan sehingga begini sekali. Ini bukan yang uncle mahukan. Macam mana uncle mampu membiarkan kamu menikahi Marina sedangkan hati kamu ada pada orang lain?” ujar Tengku Muzaffar lembut. Sudah tentu dia tidak ingin membiarkan anaknya menikahi seorang lelaki yang tidak cinta kepadanya. Apatah lagi lelaki itu sudah pun menikahi wanita lain.
“Saya minta maaf banyak-banyak, uncle. Saya tak sampai hati. Saya tahu Marina sayangkan saya. Tapi saya tahu saya tak mampu jadi suami yang baik untuk dia.”
“Uncle nak marah kamu, Rauf. Dah tentu uncle marah kamu melukai hati Marina. Tapi dalam soal perasaan, uncle tak boleh komen banyak. Itu bukan hak kami. Tak mungkin uncle mampu paksa kamu menyayangi Marina. Jauhkan diri kamu dari Marina agar mudah untuk dia lupakan semua ini.”
Rauf mengangguk akur kepada permintaan lelaki itu. Tengku Muzaffar menepuk bahu anak muda itu lembut.
“Teruskan hidup kamu. Uncle tak mahu kerana hal ini ada antara kita yang bermusuhan. Itu tak bagus,” ucap Tengku Muzaffar bersungguh.
Rauf mengangguk. “Terima kasih banyak atas pengertian uncle. Saya sangat hargai,” ujar Rauf perlahan.
“Putus tunang, putus cinta itu lumrah dunia. Dunia masih belum kiamat,” balas lelaki tua itu bersungguh.
Sungguh hatinya kian tenang dengan keputusan dari Tengku Muzaffar. Hanya dia berharap keadaan Tengku Marina baik-baik saja kemudian nanti. Lebih dari itu dia berharap akan ada seorang lelaki yang akan hadir merawat luka di hati gadis itu.
Namun setelah keluarga Tengku Muzaffar berlalu, Puan Sri Nur Ain bingkas bangun sebaik sahaja terlihat Rauf masuk semula ke dalam rumah.
“Mama...” panggil Rauf. Namun panggilan itu tidak dipedulikan oleh wanita itu. Rauf segera mengekori ibunya.
“Mama, maafkan Rauf. Rauf terpaksa buat begini demi kebaikan Marina.”
“Kebaikan Marina atau betina tu???” jerkah Puan Sri Nur Ain serta merta naik hantu.
“Kau fikir mama kau ni nak terima perempuan tu lepas Marina putuskan hubungan dengan kau... fikir sekali lagi. Jangan bermimpi di siang hari! Kalau bukan disebabkan dia, keadaan tak akan jadi begini. Muka tak malu punya persempuan! Orang dah tak sudi, masih nak menghimpit anak teruna orang!” ucap Puan Sri Nur Ain meninggi.
“Rauf sayangkan dia, ma. Biarlah buruk pada pandangan orang, Rauf tetap sayangkan dia. Mama, dia tak sempurna sebagai seorang yang berdarjat tinggi. Memang Diane tak sehebat Tengku Marina. Tapi dia tetap perempuan yang baik untuk Rauf, ma. Tolonglah jangan buang Rauf dari hidup mama semata-mata kerana Rauf sayangkan dia.”
“Jangan kau tunjuk muka depan mama selagi nama perempuan tu bermain di bibir kau, Rauf. Begini sekali keaiban yang perlu diterima oleh keluarga ni demi kerana cinta kau pada dia, maka pergilah pada dia. Tapi jangan balik lagi pada mama kau ni.”
“Ain!” tegah Tan Sri Rafael meninggi. Terkejut mendengar bicara isterinya itu kepada anaknya.
“Ini anak yang awak lahirkan 30 tahun dulu. Awak sayang dia melebihi dari anak-anak awak yang lain. Hari ni awak buang dia semata-mata kerana dia tak mampu ikut kehendak awak! Di mana nilai kasih sayang seorang ibu jika semudah itu awak semudah itu memberi hukuman begini pada dia???”
“Dia anak yang paling saya harapkan. Tapi dia juga yang paling banyak menghancurkan hati saya!”
“Jadi ambillah nyawa dia sekarang supaya dia tidak perlu hidup tanpa keredaan awak!” jerkah Tan Sri Rafael kepada isterinya.
Puan Sri Nur Ain sekadar menggeleng sebelum dia berpaling semula untuk naik ke atas.
“Mama...” Rauf cuba mengejar lagi.
“Rauf...” panggil Tan Sri Rafael dari hujung tangga. Anak muda itu memandang ayahnya semula. Sang ayah berdiri memandang kepada anak lelakinya itu dengan pandangan sayu.
“Mama tak mahu maafkan Rauf.”
“Biarkan mama sejuk dulu,” ucap sang ayah perlahan. Susah hatinya dengan keadaan keluarganya ini. Sang anak tersepit antara kehendak diri dan ibu. Si ibu pula tetap berkeras dengan keinginannya.
“Rauf tak ada niat nak lukai hati mama. Rauf hanya...”
“Rauf...” pintas sang ayah lembut. Bahu anaknya itu dipegangnya. Anak itu seperti sudah mula hilang arah.
“Jangan putus asa. Beri mama masa. Papa akan pujuk mama nanti. Bersabarlah, nak. Ini dugaan untuk keluarga kita,” ucap lelaki tua itu tenang.
“Rauf tak mahu jadi anak derhaka, pa. Rauf pun sayangkan mama.”
“Papa tahu, nak. Sabar... sabar.” Anak muda itu terus dipeluk oleh ayahnya. Rauf hanya terkebil-kebil. Bicara ibunya tadi bagaikan satu hentaman kuat kepada dirinya. Tiba-tiba fikirannya jadi kosong. Tiadalah erti hidupnya ini tanpa keredaan ibunya. Bayangan isterinya hadir lagi. Membuatkan hatinya kian merana.
“Papa akan pujuk mama,” ucap Tan Sri Rafael bersungguh.
Rauf terduduk di sofa sambil memegang kepalanya. Sungguh dirinya terasa begitu rendah nilainya. Sebagai anak, dialah anak yang tidak mampu membahagiakan hati ibunya. Dialah anak yang tidak berguna itu!

RESAH bersendirian di rumah. Hatinya dapat meneka ada sesuatu yang tidak elok berlaku di rumah keluarga Rauf. Semenjak pagi tadi Rauf tidak ada memanggil atau memberi mesej kepadanya.
Duduk tidak kena. Berdiri pun tidak kena. Sudahnya Diane mencapai kunci kereta lalu keluar dari rumah. Kereta dipandu ke rumah keluarga mentuanya. Namun setiba di sana, Diane kaku di dalam kereta. Dia lihat kereta Rauf ada di hadapan rumah itu. terkumpal-kumpal di dalam kereta, tidak tahu apa yang perlu dibuat.
Tok! Tok! Diane menoleh pantas ke arah cermin di sebelahnya. Berderau darahnya melihat kakak iparnya sedang berdiri di sebelah sana. Seorang lelaki turut ada di belakang Amanda. Mahu tidak mahu dia menurunkan cermin.
“You buat apa di sini?” tanya Amanda sebaik sahaja cermin diturunkan.
“Err... I cari Rauf,” jawab Diane perlahan.
“Diane, you ni masih tak reti bahasa ya? Keluarga kami sedang berpecah belah disebabkan you! Adik I baru saja putus tunang. Mama I mengamuk dalam sana. You dengan muka tak malu datang cari Rauf di sini!” jerkah Amanda terus naik hantu.
Diane terdiam. Tidak mampu menjawab apa-apa. hilang semangatnya entah ke mana.
Why don’t you go and get a life, lady! Jangan ganggu adik I lagi. Tak boleh ke you lupakan saja Rauf??? Tak cukup-cukup menggoda suami orang. Sekarang kau nak jadi perosak dalam keluarga ni!”
“Amanda, sudahlah...” tegur Tengku Nasimuddin. Isterinya cuba ditarik agar menjauhi kereta itu. Namun Amanda menepis tangan suaminya.
“Sudahlah tu!” tekan Tengku Nasimuddin. Isterinya dipaksa menjauhi Diane.
“Biar I bahasakan perempuan muka tak malu tu! I tak puas hati lagi ni!”
“Sudah! Jangan kusutkan lagi keadaan!” jerkah Tengku Nasimuddin mula berang dengan kerenah isterinya. Wanita itu tetap ditarik ke arah rumah mentuanya.
Diane segera memasukkan gear dan berlalu dari situ. Tidak betah rasanya untuk berada di situ dalam keadaan dirinya tidak diterima. Namun baru sahaja kereta itu berlalu, Rauf berlari keluar. Hanya sempat terlihat kelibat kereta Diane setelah kereta itu menjauh.
Hampa. Rauf kembali semula ke dalam rumah. Mahu pergi mencari isterinya.
“Rauf nak ke mana???” meninggi suara Amanda akibat bengang.
“Rauf nak cari Diane.”
“Mama lebih penting atau Diane???” marah Amanda.
“Dia isteri aku!!! Stay away from my life! Aku hidup hanya untuk tunaikan kehendak kau orang semua ke ha???” meledak suara Rauf di ruang tamu itu. Amanda terpempan dijerkah adiknya itu.
“Demi perempuan tu kau sanggup jadi begini ya?” ucap Amanda sebal.
“Beristerikan Marina itu impian mama dan Kak Amanda. Itu bukan impian Rauf. Terima kasih kerana menjadikan Rauf sebagai alat di sini. Terima kasih banyak-banyak!” ucap Rauf meninggi. Seterusnya dia keluar dari rumah.
“Rauf!” Amanda terus mengejar adiknya. Namun suara Tengku Nasimuddin mematikan perbuatannya.
“Cukup-cukuplah mengusutkan keadaan, Amanda. Biarkan dia! Kerana Diane keluarga ni jadi begini atau kerana Marina sebenanrnya???” marah Tengku Nasimuddin kepada isterinya.
“Perempuan tu porak perandakan hidup adik you. You masih nak beri muka???”
“I tak pernah terfikir Marina akan mengahwini Rauf selama ni, Amanda. You yang berangan ke arah itu. I tahu you sayangkan Marina. Tapi dengan akal fikiran yang waras, I tak mahu adik I ambil risiko mengahwini lelaki yang I tahu tak cintakan dia! I buat begini kerana sayangkan Marina. I tak mahu dia merana kemudian nanti. Tapi you buat apa untuk adik you? Paksa dia menerima orang yang dia tak mahu, itu tanda sayang?” ujar Tengku Nasimuddin bersungguh.
Amanda terdiam mendengar bicara suaminya. Tengku Nasimuddin menggeleng sendiri.
“Kalau I tahu keadaan akan jadi seteruk ini, I tak akan benarkan Marina bertunang dengan Rauf. Sepatutnya kita reda. Ini semua sudah ketentuan Allah!”

Amanda terduduk di sofa menahan sebal. Geramkan Rauf dan Diane masih juga tidak surut. Tambah lagi keadaan mamanya di atas sana. Masih berduka cita. Sungguh dia sakit hati mengenangkan Rauf lebih rela pergi mengejar isterinya berbanding memujuk mama mereka.  

2 ulasan: