Sabtu, 20 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 16

BAB 16
“SAYANG, I terpaksa hantar Mar balik. You tunggu sekejap ya? Nanti I datang,” ucap Rauf lembut.
“Take your time,” balas Diane senang.
Sebelum kembali ke meja itu, Rauf menyimpan telefon itu ke dalam poket seluarnya.
“Jom,” ajak Rauf lembut. Segera dia melambai pelayan untuk melunaskan bil. Tengku Marina sekadar memandang lelaki itu meletakkan dua not 50 di atas folder hitam itu. Seterusnya dia menggamit tunangnya itu untuk keluar.
Di lobi hotel mereka menunggu seketika kereta Rauf dibawa kembali kepadanya. Lelaki itu membukakan pintu buat si tuan puteri sebelum dia masuk ke tempat pemandu.
“Hari Ahad ni jangan lupa pulak. Kita kena pergi tempah cincin,” ujar Tengku Marina setelah lelaki itu memandu pergi.
“Ya. Abang tak lupa,” jawab Rauf lembut. Sebelum memasuki lebuhraya lelaki itu singgah seketika di stesen minyak.
“Tunggu kejap. Abang nak isi minyak,” ucap Rauf setelah menarik brek tangan.
Tengku Marina sekadar mengangguk. Setelah Rauf keluar dari kereta, dia terpandangkan telefon bimbit lelaki itu terbiar di atas tempat duduknya. Tanpa berfikir panjang telefon itu segera dicapainya.
Sempat memandang ke arah cermin sisi. Dia lihat Rauf sedang memasukkan kad ke dalam mesin slot kad di pam tersebut. Dia memberanikan diri menekan abjad untuk mematikan kekunci telefon itu. Penglihatannya tajam. Kerap memerhatikan abjad yang ditekan Rauf. sekali mencuba, telefon itu berjaya diselongkarnya.
Pertama sekali dia memeriksa kotak perbualan What’sApp. Membaca setiap perbualan Rauf dengan teman-temannya. Namun matanya terpasak pada satu kotak perbualan. Perbualan itu seperti antara lelaki dan lelaki.
Namun yang membuatkan jantungnya seperti hendak gugur, Rauf berbual tentang wanita bersama temannya itu. Sebahagiannya agak lucah membicarakan tentang punggung dan payudara rakan sepejabat mereka. Malah terselit pengakuan Rauf tentang kejayaannya meniduri beberapa wanita yang baru dikenalinya.
Tengku Marina kembali meletakkan telefon itu di atas ribaannya. Dadanya mula turun naik menahan marah.
Dan entah bagaimana, dia membuka pula peti simpanan barang di bawah papan pemuka di hadapannya. Terpandangkan satu kotak termuat di dalam situ. Tengku Marina mengambilnya. Betapa terkejutnya dia melihat kotak itu adalah kotak alat perlindungan seksual bagi lelaki.
Tengku Marina menoleh sebaik sahaja pintu di sebelahnya dibuka. Rauf terus masuk. Namun lelaki itu terpaku melihat apa yang dipegang oleh tunangnya itu.
“Apa semua ni?” tanya Tengku Marina.
“Jangan usik barang peribadi abang,” ucap Rauf sambil dia cuba mengambil kotak itu semula. Namun Tengku Marina tiba-tiba mencampakkan kotak itu ke wajah Rauf. Hilang sudah kewarasannya dek kerana terlalu marah.
Terkumpal-kumpal Rauf memandang tunangnya itu. Tengku Marina memandang ke luar jendela. Rauf mengutip semula kotak itu lalu dicampaknya ke belakang.
“Berapa ramai perempuan yang abang dah sentuh?”
“Buat apa nak ambil tahu semua tu? Buat sakit hati sendiri aja,” ujar Rauf perlahan.
“Jadi betullah abang memang bawa perempuan ke bilik hotel hari tu???” tekan Tengku Marina semakin berang.
Rauf diam pula. Sengaja ditayang riak wajah macam orang yang baru terkantoi curang.
“Diane ke yang abang bawa ke hotel hari tu?”
“Err... Orang lain.”
“Orang lain? Berapa ramai perempuan yang abang dah sentuh ni???”
“Mar, abang ni lelaki. Kadang-kadang susah nak kawal nafsu. Abang dah cuba tapi kadang-kadang terbabas juga. Sebab tu abang tak suka jumpa Mar. Entah apa-apa abang buat pada Mar nanti.”
“Really? Depan keluarga... abang berlagak macam orang baik-baik, di belakang rupanya kaki betina! Dengan Diane entah macam manalah agaknya, kan?” tekan Tengku Marina. Mula rasa hendak menangis pula. Hampa benar hatinya. Baru tahu siapa lelaki ini sebenarnya.
Rauf diam sambil menghela nafas. Kereta terus dipandu pulang ke rumah Tengku Marina.
“Cakaplah! Dengan Diane macam mana pulak?” bentak perempuan itu.
“Err... takkan nak cerita? Malulah.”
“Malu konon! Waktu buat benda tak senonoh tu tak malu???” marah Tengku Marina.
Rauf menghela nafas perlahan. “Abang nak nikah dengan Diane. Tapi dia tak mahu selagi Mar tak setuju. Abang pun tak suka macam ni. Abang rasa bersalah pada Mar. Tapi macam mana? Takkan abang nak biarkan dia macam tu saja? Abang dah janji akan bertanggung jawab. Macam nilah senang... abang nikah dengan Diane. Lepas tu abang nikah dengan Mar.”
Tengku Marina ketawa sinis. “Ah! Senangnya abang bercakap. Tak boleh! Dia yang serah diri pada abang. Siapa suruh???”
Rauf menghela nafas perlahan. Kepalanya disandarkan ke kerusi. Namun tiba-tiba telefon milik Rauf yang sedang dipegang Tengku Marina berbunyi. Marah punya pasa, telefon itu dicampaknya ke atas ribaan Rauf.
“Amboi... kasarnya?” rungut Rauf. Panggilan itu segera dijawabnya.
“Hello, siapa ni?” Rauf menjawab kuat sambil memandang ke hadapan.
“Oh... Rose ke? Sorry. Abang tak call malam tadi. Abang busy sikit,” ujar Rauf biasa. Kemudian dia berdiam mendengar bicara di hujung sana.
“Ha? Nak pergi klinik? Nanti abang masukkan duit ya? Abang tengah ada masalah sekarang,” ucap Rauf lagi.
Tengku Marina mula menoleh kepada tunangnya. Wajah Rauf nampak begitu kusut.
“Yalah... abang janji nanti kita kahwinlah. Bukannya abang sengaja nak lari dari Rose. Takkanlah abang nak buat macam tu pada Rose. Janganlah risau. Perut Rose tu belum nampak lagi.”
Tersandar! Rasanya ingin saja dia terjun dari kereta itu. Sungguh gelap masa depan dirasakannya. Selain dia, selain Diane... ada lagi rupanya! Rose pula! Telinganya ditekup. Sudah tidak sanggup mendengar perbualan yang memualkan itu. Nada bicara Rauf seperti tidak bersalah langsung!
Usai berbual, Rauf menoleh kepada tunangnya itu.
“Err... nampaknya Diane isteri pertama. Mar isteri kedua. Rose isteri ketiga.”
“Kenapa tak cukupkan empat aja???” balas Tengku Marina meninggi.
“Err... yang nombor empat, yang Mar jumpa kat butik tu? Dia dah janji nak lupakan tunang dia. Dia nak kahwin dengan abang.”
“Stop here! Mual dengar semua ni!” ucap Tengku Marina tajam.
“Ha?” Rauf ternganga.
“Tak ada perasaan bersalah langsung. Bangga simpan ramai perempuan, menyundal dengan ramai perempuan. Berhenti sini!”
“Sini mana? Bahaya kita berdua-duaan kat sini. Abang ni alergik sikit tempat macam ni. Tempat sunyi macam ni selalu buat abang bernafsu. Sebab tu terpaksa standby benda yang Mar jumpa tadi tu,” ujar Rauf.
“Shut up! Berhenti sekarang. Aku benci tengok muka kau! Jantan murahan! Kau dah sentuh ramai betina, kau nak sentuh aku pulak? Pergi mampus!” desis Tengku Marina benar-benar berang.
Mahu tidak mahu Rauf berhenti juga. Tengku Marina keluar dari kereta lalu menahan kereta belakang yang melintasi kereta Rauf. Rauf hanya memandang gelagat gadis itu dari dalam keretanya. Tengku Marina masuk ke bahagian belakang kereta itu dan terus pergi.

Seketika kemudian Rauf mencapai kotak kondom di atas tempat duduk belakang. cermin diturunkan sebelum kotak itu dihumbannya keluar. Seterusnya dia memandu pergi. Namun entah kenapa dia ketawa pula. Lucu mengenangkan apa yang terjadi tadi! 

4 ulasan: