Sabtu, 20 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 15

BAB 15
“SAYANG...”
“Ya,” jawab Diane perlahan. Segera mendekati lelaki itu. Membantu sang suami mengenakan butang pada lengan bajunya.
“Kita pindah tempat lain ya? Kat sini tak ada privasi,” ucap Rauf lembut.
Diane segera mengangguk. Kalau sudah Tengku Marina tahu Rauf menginap kamar ini, sudah tentu ada bahayanya untuk dia.
“I suruh Rahim ambil you nanti. Tapi I kena selesaikan sesuatu dulu. You jangan keluar dari bilik. Tunggu sampai Rahim datang. Jangan buka pintu untuk orang lain selain Rahim,” pesan Rauf bersungguh.
“Okay.” Dia tahu dia mesti akur kepada pesanan suaminya demi kebaikannya sendiri. Diane hanya menghantar lelaki itu sehingga ke pintu.
Rauf segera turun ke lobi. Awal pagi tadi dia sudah menghubungi ibu saudaranya, Datin Paduka Engku Fatimah. Wanita itu meminta dia berurusan dengan Rahim, pembantu peribadi wanita itu. Namun kelibat Rahim masih belum kelihatan. Rauf memandang jam di pergelangan tangannya. Masih awal. Mungkin Rahim sedang dalam perjalanan.
Sudahnya Rauf pergi ke restoran hotel. Memilih untuk menunggu di situ. Resah. Bimbang Tengku Marina terjumpa dia di sini. Susah untuk dia mengelak nanti.
Sepuluh minit menunggu sambil menikmati kopi, akhirnya orang yang dinantikan muncul juga.
“Encik Rauf... Datin pesan minta saya berikan kunci ni pada encik,” ucap lelaki itu sambil segugus kunci diletakkan di atas meja itu.
“Siapa lagi yang tahu?”
Lelaki itu tersenyum sedikit sebelum menggeleng. “Tak ada siapa yang tahu.”
“Good.” Rauf mengangguk akur sambil kunci itu disambarnya. Kemudian dia bangun.
“Kau hantar Diane ke sana. Aku akan pergi petang nanti. Pastikan Tengku Marina tidak tahu tentang ini. Aku tak mahu Marina dekati Diane,” ucap Rauf perlahan.
“Baik, encik...” jawab Rahim lantas mengambil semula kunci itu dari tangan Rauf.
Setelah Rauf berlalu, lelaki itu naik ke atas. Pintu kamar bosnya itu diketuk. Diane terjengul. Terkejut melihat lelaki itu semula.
“Encik Rauf minta saya hantarkan puan ke tempat lain,” ucap Rahim lembut.
“Mana dia?”
“Dia ada kerja. Petang nanti dia akan jumpa puan di sana,” ucap Rahim patuh menyampaikan arahan bosnya itu.
Diane mengangguk juga biarpun agak ragu. Bagasinya diberikan kepada Rahim. Diane dibawa ke sebuah banglo di atas bukit yang agak sunyi. Dadanya berdebar memandangkan kawasan itu agak jauh dari orang.
“Puan kena call saya jika ada sesiapa yang puan tidak kenal datang ke sini,” ucap Rahim setelah memberhentikan kereta di ruangan porch.
“Rumah siapa ni?” tanya Diane.
“Datin Paduka Engku Fatimah.”
“Dia tahu I ada di sini?” tanya Diane hairan.
Rahim tersenyum sebelum menoleh kepada perempuan itu. “Dia tahu puan isteri bos saya,” ucap Rahim sopan.
Diane terpempan seketika. Patutlah wanita itu sering tersenyum kepadanya!
“Silakan, puan. Saya akan berada di bawah ni jika puan perlukan apa-apa,” ujar Rahim lantas keluar dari kereta. Bagasi wanita itu dibawa keluar dari ruang simpanan barangan. Kemudian dia membuka pintu.
“Tak ada orang di sini?”
“Pembantu rumah hanya akan datang pada jam 2 petang nanti. Rumah ini tak selalu ada penghuni. Jadi, pembantu rumah hanya akan ada jika keluarga Datuk Seri Mikhael ada di sini. Kadang kala anak-anak dia datang menginap di sini. Lebih privasi berbanding di hotel. Saya ada belikan sedikit barang dapur tadi,” jelas Rahim. Beg wanita itu sekadar diletakkan di muka pintu.
“Silakan, puan...” ucap Rahim dengan sedikit senyuman.
“Terima kasih banyak, Rahim.”
“Sama-sama...” jawab Rahim lantas berlalu dari situ.
Bersendirian di rumah itu, Diane melilau. Setiap ceruk dijengahnya. Namun ketika berada di bahagian atas bumbung, dia tersenyum sendiri melihat permandangan selat yang terbentang di hadapan mata. Cantik! Di ruangan itu turut dilengkapi dengan kemudahan kolam renang dan ruang bersantai. Sudah tentu lebih privasi. Dan yang pastinya Tengku Marina tidak mungkin akan berjumpa dia di sini!

RALIT dengan buku di tangan sambil duduk di tepi kolam renang. Kakinya asyik bermain air. Tidak sedar ada seseorang sedang mendekatinya. Rauf berjalan perlahan-lahan ke arah isterinya.
“Huarghhh!!!”
Terkejut! Buku itu terlepas dari tangannya lalu jatuh ke dalam kolam renang.
“Rauf, itu bukan buku I!” ucap Diane panik. Buku itu hanyut segera ke tengah kolam.
“I ambil!” Rauf segera menanggalkan kasut dan kemejanya. Kemudian dengan selamba dia melondehkan seluarnya. Seterusnya Rauf terjun ke dalam air untuk mendapatkan buku itu. Namun sudah basah!
“Habislah...” gerutu Diane. Buku itu diangkat tinggi agar airnya dapat ditoskan.
“Tak apalah. Nanti I belikan yang lain. Buku Tasnif agaknya tu,” ucap Rauf sambil bergayut di tepi kolam renang. Nyaman rasanya.
“You tak busy ke hari ni? Awal you balik?” tanya Diane lantas bangun untuk memindahkan pakaian Rauf ke tempat lain. Bimbang terkena air. Namun dia terpandangkan sesuatu di dalam seluar slek lelaki itu yang sedang berlonggok. Lambat-lambat Diane mengambilnya.
Seluar dalam!  Diane segera menoleh kepada suaminya.
“You pakai apa dalam tu?” tanya Diane hairan. Seluar dalam lelaki itu diangkat tinggi.
“Eh!” Rauf segera memandang ke dalam air. Alamak!
“Bak sini seluar tu. I tak pakai apa-apalah. Patutlah sejuk aja,” ucap Rauf kalut. Tidak sedar tadi dia tertanggalkan seluar keciknya bersama seluar besar.
Diane tergelak kuat sehingga terduduk di kerusi. “You ni sengal betullah. Sakit perut I dengan perangai you.”
“Youlah... nak selamatkan buku punya pasal. Habis semua I londehkan. Baklah sini seluar tu.”
Diane bangun lantas menghulur seluar di tangannya kepada lelaki itu. Namun Rauf lebih cepat mencapai pergelangan tangannya. Sudahnya Diane terdorong ke arah air dan terhumban. Rauf tergelak besar serta merta.
“I dah agak dah!” gerutu Diane geram.
“Inilah masanya kita nak basah sama-sama,” ujar Rauf nakal. Cuba mendekati isterinya. Namun Diane berenang ke seberang sana dengan seluar dalam lelaki itu. Seterusnya dia memanjat tebing semula. Seluar dalam lelaki itu digantungnya pada pokok bunga hiasan di dalam pasu yang bersusun di sekitar situ.
“Diane, apa you buat tu???”
“Ambil sendiri seluar you,” ucap Diane selamba. Kemudian dia berlari anak ke hujung kolam. Jauh dari Rauf.
“Yang... macam mana nak ambil? Tak baik buat macam ni. Malu I tau. Sampai hati you sangkut seluar kecil I tu pada pokok bunga,” jerit Rauf sambil memandang sekeliling. Mana tahu ada galah ke apa... bolehlah dikait seluar kecil itu. Tetapi tiada!
“Tak tahu!” jawab Diane lantas tergelak lucu melihat seluar itu tergantung di situ.
“Jahat ya?” cebir Rauf lantas memanjat tebing. Nekad! Terkepit-kepit berjalan ke arah pasu bunga itu sambil menuntup apa yang perlu. Setelah mengenakan seluar kecilnya, Rauf berjalan laju ke arah tempat Diane berenang.
Tahu lelaki itu akan membalas dendam, Diane segera berenang ke tempat lain. Kemudian dia ketawa galak melihat lelaki itu memandang kepadanya. Muka tak puas hati!
“I tahu you nak balas dendam pada I,” ujar Diane.
“Memang! Mana you nak lari?” Rauf berjalan lagi di tepi kolam itu untuk mendapatkan isterinya. Diane lekas-lekas memanjat tebing. Konon mahu lari ke tempat lain. Tetapi suaminya lebih pantas berbanding dia.
“Haaa...” sergah Rauf lantas menghadang laluan wanita itu dengan tubuhnya.
“Jangan dekat dengan I!” tukas Diane. Tiada ruang untuk dia melarikan diri. Tambah pula tepian kolam itu agak licin. Sudahnya dia hanya reda sahaja saat lelaki itu mendekatinya. Rauf memeluk isterinya lalu perempuan itu didorong ke arah air. Diane menjerit kuat saat mereka jatuh ke dalam air bersama-sama.
“Dengan you I memang susah nak menang,” ucap Diane setelah menjauhi lelaki itu. Sudah terbiasa. Rauf memang suka mengusiknya.
Gegak gempita dengan tawa mereka berdua biarpun hanya mereka berdua di situ. Sungguh aman tenteram hidup tanpa gangguan orang lain. Setelah keletihan mereka duduk bersantai di tepi kolam. Rauf dengan selamba berbaring sambil beralaskan paha isterinya.
“Cantik rumah ni, kan?” ucap Rauf sambil memandang sekeliling.
“Cantik dan mewah. Siapa tak suka,” jawab Diane perlahan.
“I masih ingat tentang mak lang I. Husband dia hadiahkan rumah mewah pada dia dan anak-anak. Such a loving husband,” ujar Rauf.
“I pernah jumpa suami mak lang you tu. Datuk Fakhri tu masih handsome, kan?”
“Amboi... I ni tak handsome ke?”
Serta merta Diane ketawa. “Itu pun nak jelous.”
“Bila you jumpa dia?”
“Dah lama. Terserempak waktu lunch. Waktu tu puan sri pun ada. Datin Paduka Engku Fatimah ajak dia lunch sekali,” balas Diane perlahan. Ketika itu dia mengenali lelaki itu seorang yang agak serius dan baik. Jauh sekali lelaki itu hendak bermanis mulut dengannya.
“Kebanyakan famili you yang I kenal memang baik-baik,” ujar Diane lagi sambil mengusap rambut lelaki itu.
“Suatu hari nanti I nak kenalkan you dengan papa I. Dia idola I.”
“Mama you?” Diane tersenyum sambil memandang raut lelaki itu. Rauf menghela nafas perlahan.
“Mama nanti dululah. Tunggu masa yang sesuai.”
“Bakal isteri kedua you?” tanya Diane lagi.
“Hadoi...” Rauf bangkit semula serta merta. Teringat sesuatu. Cepat-cepat dia mengambil telefonnya. Terpandangkan berpuluh-puluh panggilan tidak dijawab dari Tengku Marina.
“Habislah I,” ucap Rauf lantas mendail semula nombor gadis itu. Diane hanya memandang lelaki itu melekapkan telefon ke telinga sambil membalut bawah pinggangnya dengan tuala.
Namun kemudian Rauf menjauhkan telefon itu dari telinganya. Lubang telinganya dikorek-korek.
“Kut ya pun marah, tak payahlah nak menjerit-jerit,” gerutu Rauf kepada orang di hujung sana.
“Yalah... abang sibuk kerja ni. Mar baliklah. Abang tak ada masalah nak temankan Mar sana sini,” rungut Rauf lantas menjauhi isterinya. Kemudian dia diam pula mendengar bebelan Tengku Marina.
“Dah siapa suruh datang? Ada abang suruh?” jawab Rauf kepada Tengku Marina. Sekali lagi dia terpaksa berdiam mendengar nada Tengku Marina meninggi kepadanya.
“Mar, maafkan abang sekali lagi. Abang tak mampu nak ikut kehendak Mar. Abang ada tanggungjawab lain. Abang sayangkan orang lain. Kenapa Mar masih nak berharap pada abang?” ujar Rauf bersungguh.
Sekali lagi Rauf ditempik oleh tunangnya. Lelaki itu mendengus.
“Abang boleh putuskan hubungan ni. Asalkan Mar setuju. Abang sedia tanggung semua kesalahan ni. Abang tak kisah, Mar. Mar, berhentilah berharap pada abang. Abang layan buruk pada Mar supaya Mar bencikan abang,” pujuk Rauf. Namun dia terdengar Tengku Marina menangis begitu kuat di talian. Sudahnya talian dimatikan begitu saja.
Rauf menoleh semula kepada isterinya. Diane masih di situ. Merenung air sambil kakinya digoyangkan di dalam air.
“Yang...” panggil Rauf lembut.
“Ya.” Diane menoleh. Terlihat mendung di wajah sang suami. Dia kasihan.
“Dia marah you?” tanya Diane.
Rauf sekadar mengangguk. Diane tiba-tiba menghulurkan tangannya kepada lelaki itu.
“Come here...” ajak wanita itu lunak.
Rauf hanya akur. Telefon bimbitnya diletakkan semula di atas meja. Kemudian dia duduk di sebelah Diane. Wanita itu memeluk lengan lelaki itu lalu diusap lembut.
“Sebab sayangkan I you terpaksa jadi kejam pada perempuan lain yang sayangkan you. Kadang-kadang I rasa bersalah,” ucap Diane perlahan.
“Jangan cakap macam tu. Ini tak ada kena mengena dengan you, sayang.”
Diane diam pula. Hatinya terus berkata-kata sendiri. Suatu hari nanti dia yang akan dipersalahkan jika Rauf dan Tengku Marina gagal ke jinjang pelamin. Dialah orang ketiga itu.
“Kalau dia sedia terima I, I sedia biarkan you berkahwin dengan dia, Rauf. Mama you pun akan happy. Tapi dengan satu syarat... bahagian hidup I, I tak mahu dia ganggu.”
Rauf menghela nafas perlahan. Tunduk. Menikahi Tengku Marina itu mudah sahaja. Tetapi menjadi suami kepada perempuan yang tidak dicintainya, mudahkah?
“Susah bagi perempuan untuk berkongsi kasih sayang. I pun rasa macam tu. I tak dapat bayangkan keadaannya tu nanti. Tapi I tahu I tak boleh tamak. You tak boleh paksa mama you terima I sebagai menantu. Dan I harap dia juga tak akan paksa you ceraikan I,” ujar Diane rendah.
Ikhlaskah dia? Tidak penting sama ada dia ikhlas atau tidak. Dia hanya tidak ingin kehilangan lelaki ini. Jika sampai Rauf terpaksa memilih, dia tahu Rauf terpaksa memilih ibunya. Kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Jadi, dia ingin bertolak ansur sahaja. Asalkan jangan suaminya dipaksa menceraikannya.
“Kita berhenti cakap pasal ni. I tak mahu fikir apa yang I tak mampu fikir,” ujar Rauf lantas memandang isterinya. Dia tahu biarpun bicara itu kedengaran tenang. Tetapi bermadu ibarat satu malapetaka bagi seorang isteri.
“Kalaulah I dapat katakan kepada mama you yang dia ada seorang anak lelaki yang terlalu baik pada I... dan I terlalu sayangkan dia,” ujar Diane lagi.

“Sayang...” Rauf segera menarik isterinya ke dalam pelukannya. Helaan nafas dilepaskan sambil matanya memandang ke langit yang membiru. Menikahi Tengku Marina? Tidak! Dia tidak ingin semudah itu mengalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan