Khamis, 18 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 13

BAB 13
SEMINGGU berlalu benar-benar merusuhkan hati si ibu. Puas ditanyakan kepada anak-anaknya yang lain. Tiada seorang pun punya jawapan ke mana menghilangnya Rauf. Hari pertunangan Rauf hanya tinggal sehari. Membuatkan hatinya gusar. Bimbang anak lelakinya membuat onar, memalukannya!
Namun awal pagi itu, beberapa jam sebelum majlis pertunangan itu berlangsung, Rauf muncul semula di rumah itu. Biarpun lega, si ibu terasa mahu mengamuk dengan perangai anak lelakinya itu.
“Pergi mana sampai seminggu baru balik???”
Rauf hanya memandang ibunya dengan pandangan kosong. Sebetulnya dia keletihan. Pertanyaan si ibu tidak dijawabnya. Dia harus segera bersiap.
“Rauf mandi dulu, ma...” ucap Rauf lantas mencapai tangan ibunya. Belakang tangan wanita itu dikucupnya tanda hormat.
“Mama tanya ni, Rauf!”
“Ain, sudahlah tu! Dia dah balik, apa lagi yang awak nak bising?” tegur Tan Sri Rafael dari tingkat atas.
Puan Sri Nur Ain mendengus geram. Sebal dengan perangai Rauf. Sukar dijangkanya.
Di atas Rauf berbaring di katil seketika. Terbayang lagi raut wanita seorang itu. Baru sekejap dia menghantar Diane pulang ke rumahnya, dia sudah diasak oleh rindu. Namun kemudian dia bangkit dengan keluhan.
Jam 9 pagi mereka bertolak ke kediaman Tengku Muzaffar Shah. Upacara meminang dan pertunangan akan diadakan serentak hari ini. Biarpun jasad ada bersama, namun terujanya tiada langsung. Majlis serba mewah itu diikutinya tanpa keikhlasan. Sekadar menunaikan janji kepada ibunya semata-mata.
Orang yang paling gembira setelah disarungkan cincin mengikat janji, sudah tentulah Marina. Mekar senyum manisnya saat bergambar dengan bakal ibu mentua. Namun hampa apabila Rauf menolak tatkala diajak bergambar berdua.
Tidak kisahlah. Yang penting lelaki itu bakal menjadi miliknya nanti. Biarpun jelas di wajah lelaki itu yang dia masih tidak sudi, Tengku Marina tidak kisah. Yakin Rauf akan berubah setelah mereka berkahwin nanti.
Panas punggung! Sehingga ke jam dua petang keluarganya masih berada di rumah itu. ketika orang tuanya masih rancak berbual, Rauf mencari sudut yang sesuai. Agak jauh dari orang. Telefon dikeluarkan dari poketnya.
“Sayang...” sapa Rauf setelah panggilannya bersambung.
“You dah balik ke?”
“Belum. You dah makan ke?” tanya Rauf perlahan.
“Dah. You?” balas Diane rendah. Sedih hatinya. Tetapi terpaksa ditahan. Dia tahu Rauf baru sahaja diikat sebagai tunang orang.
“Dah. You buat apa kat rumah tu?” tanya Rauf lagi.
“Tak ada apa. I tak tahu nak buat apa-apa sekarang,” ujar Diane rendah.
“Jangan banyak fikir. I tak mahu you stress. Apa terjadi sekalipun I tetap sayangkan you,” ujar Rauf separuh memujuk.
“Lelaki yang I sayang jadi tunang orang hari ni, apa yang patut I rasa?”
Rauf menghela nafas perlahan. “Antara you dan dia, you lebih bertuah sebenarnya, Diane. I pilih you. Kasih sayang I hanya pada you.”
Diane diam di hujung talian. Ya. Seharusnya dia cuba untuk reda sahaja. Tidak meminta apa yang tidak mampu diberikan oleh Rauf. Ini peluang untuk dia memujuk hatinya. Bertunang apalah sangat. Beberapa bulan lagi, Rauf akan menikahi Tengku Marina. Itu sudah tentu lebih sakit!
“Sayang, jangan kerana keadaan ini kita jadikan hidup kita seolah-olah telah terhenti. Sabar ya? I sayangkan you,” pujuk Rauf lembut.
“Ya. I tak apa-apa.” Diane menjawab akur.
“Kalau sempat petang nanti I jumpa you,” ujar Rauf lagi.
“Tak apalah. I tak mahu mama you marahkan you lagi. Lagipun sebelum ni you selalu ada dengan I,” jawab Diane perlahan.
“Kalau tak sempat, esok I datang ofis. Kita lunch sama ya?” ujar Rauf lagi.
“Okay. I tunggu.”
“Bye, sayang. I love you.”
Usai perbualan Rauf, berpaling untuk masuk ke rumah semula. Namun dia terpaku melihat seseorang berdiri di belakangnya sambil memegang gelas air. Tengku Marina!
“Siapa tu, abang?” tanya gadis itu pantas. Sempat mendengar Rauf berbisik-bisik di talian tetapi tidak mendengar apa yang dibualkan oleh lelaki itu.
“Diane...” jawab Rauf selamba.
Berubah sedikit wajah Tengku Marina. “Abang masih ada hubungan dengan dia???” tekan Tengku Marina benar-benar tidak suka. Dan sudah tentulah dia cemburu.
“Ya.”
“Mar tunang abang. Mar tak suka abang berhubung dengan dia lagi!” tegas Tengku Marina mula sakit hati. Kejam benar lelaki ini. Melayan wanita lain di hari pertunangan mereka.
“Hati abang tak boleh dipaksa-paksa, Mar. Abang masih sayangkan dia,” ujar Rauf jujur.
“Keluarga abang tak suka dia. Kenapa abang masih nak biarkan perempuan tu ada dalam hidup abang? Kenapa tidak abang lepaskan saja dia? Atau abang nak Mar beritahu mama abang?”  
Eah-ewah! Baru beberapa jam menjadi tunangannya, gadis ini sudah mula menunjuk perangai pula. Sengaja mahu menggunakan kelemahannya sebagai senjata.
“Beritahulah kalau Mar nak beritahu. Abang dah lali kena marah dengan mama,” jawab Rauf selamba.
“Selagi abang tak beri peluang kepada diri abang untuk terima Mar, selagi itulah abang akan begini. Mar cuma nak abang setia pada tunang abang. Mar lebih berhak berbanding Diane!”
“Ingat apa yang abang kata dulu? Diane isteri pertama. Mar nak mengadu pada mama abang, pergilah. Abang dah tak pedulilah, Mar. Hidup abang sekarang memang dah berserabut kerana semua ni,” jawab Rauf selamba. Berubah wajah Tengku Marina mendengar bicara lelaki itu.
“Abang hanya peduli tentang perasaan abang dan dia. Mar macam mana?”
“Okaylah. Dua-dua abang ambil jadi isteri. Sama-sama menang, kan? Kita boleh bahagia sama-sama,” jawab Rauf selamba. Malas hendak bertelagah. Seterusnya dia berlalu dari situ.
Tengku Marina mendengus saat memandang lelaki itu berlalu ke dalam rumah semula. Sedap saja lelaki itu bercakap hendak madukan dia dengan Diane. Manalah dia mahu!
Tengku Marina ikut masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu Rauf hanya selamba duduk di sebelah Tan Sri Rafael. Dua lelaki itu masih rancak berbual. Ikutkan hatinya, hendak sahaja dia mengadu tentang perangai Rauf kepada orang tuanya. Tetapi dia tahu perangai ayahnya itu. Jika ayahnya tahu tunangannya itu mencintai orang lain, alamatnya pertunangan ini terpaksa diputuskan. Itu dia tidak sanggup!
Jam empat barulah mereka bertolak pulang dari kediaman Tengku Muzaffar. Sambil memandu, Rauf mula berkira-kira hendak mengelat pula. Hendak ke rumah Diane. Tambah pula mood emaknya sedang cukup baik saat ini.
“Ma, Rauf nak keluar sekejap. Nak pergi ambil baju di rumah sana,” ujar Rauf setelah mereka tiba di rumah.
“Dah nak keluar pulak? Esokkan kerja?”
“Sebab esok kerjalah Rauf nak keluar ni. Penting. Rauf tak ada baju kerja,” ujar Rauf sambil memandang ke hadapan.
“Hai... baju yang berlambak-lambak dalam bilik tu, apa bendanya? Jangan-jangan kamu nak pergi jumpa perempuan tu tak?”
“Ma, Rauf dah lupakan dia. Mama janganlah risau. Kan Rauf ni anak kesayangan mama. Mestilah Rauf dengar cakap mama. Apa yang mama cakap, semua Rauf akan buat. Bukannya susah sangat nak lupakan seseorang. Macam tekan suiz aja,” jawab Rauf. Lagaknya macam orang tak beremosi saja.
“Ni bersungguh ke... atau perli mama?”
Rauf menghela nafas perlahan. Namun dia hanya membisu sahaja. Tan Sri Rafael segera mengajak isterinya masuk.
“Biarlah dia. Dia bukan budak kecil lagi!”
“Entah-entah dia nak pergi jumpa perempuan tu,” cebir Puan Sri Nur Ain tetap tidak puas hati selagi tidak dapat mencongkel rahsia anaknya itu. Dia masih tidak tahu ke mana Rauf menghilang selama seminggu ini.
 “Sudahlah tu! Jangan bising-bising waktu saya ada di rumah. Saya tak suka!” tegas Tan Sri Rafael serius.
Puan Sri Nur Ain berdiam pula. Minta-minta janganlah anaknya itu masih tergila-gilakan Diane.

SETIBA di kediaman Diane, Rauf segera menghubungi wanita itu. Meminta Diane segera turun. Hampir lima minit duduk di dalam kereta, kelibat wanita itu muncul.
“Hey, beautiful...” sapa lelaki itu sambil memandang wanita itu masuk.
Diane menoleh setelah menutup pintu kereta. Terpandangkan renungan lunak lelaki itu, leher lelaki itu segera dipautnya. Dan pipi sang lelaki dikucupnya.
“I rindu,” ucap Diane perlahan.
“Ni I nak bawa you pergi leraikan rindulah. Di kedai makan. Jom?” ajak Rauf mesra. Diane ketawa kecil. Biarpun tidak lapar, dia rela diangkut lelaki ini ke mana saja.
Sambil memandu, lelaki itu mula teraba-raba mencari sesuatu yang boleh digentel. Sudahnya ketemu pula jemari perempuan itu. Terus diambil lalu diletak di atas pahanya.
“Hari ni I happy sangat,” ucap Rauf sebelum jemari itu dibawa ke bibirnya. Dikucupnya lembut.
“Sebab dah bertunang ke?”
“Wrong! Sebab I dapat angkut makwe kesayangan I ni ke mana-mana saja yang I suka,” jawab Rauf lantas tersenyum.
“Mama you?”
“Mama? Kat rumahlah. Kita kat sini,” ujar Rauf biasa. Malas mahu memikirkan semua itu buat masa ini.
“Kita singgah kat sini?” ajak Rauf setelah terlihat satu restoran yang sudah memulakan operasi perniagaannya. Lebih senang singgah di restoran atau gerai tepi jalan. Potensi untuk dijumpai oleh mana-mana ahli keluarganya amat tipis.
“Boleh.” Kebetulan pula di situ belum ramai pengunjung.
“You tak makan ke di rumah tunang you tadi?” tanya Diane hairan melihat lelaki itu memesan banyak makanan.
“Janggal rasanya bila you sebut begitu.”
“Tak betul ke?”
“I rasa janggal bila you yang sebut. Macam perli I aja?” balas Rauf. Namun Diane tersenyum entah kenapa.
“I nak cemburu. Tapi you ajar I yang kedudukan I lebih istimewa berbanding dia. Jadi, tiada sebab untuk I perli you,” balas Diane. Rauf mengangguk sedikit. Sekali lagi jemari wanita itu diraihnya.
“I tak mahu fikiran you fikir yang bukan-bukan bila I tak ada dengan you. Kita terpaksa berhadapan dengan segala macam kerenah, kalau kita tidak bersedia... kita akan kalah. I cuma nak you ingat sampai bila-bila yang I sayang you. You seorang saja,” ujar Rauf lembut.
Diane diam merenung tampang lelaki itu. Seminggu yang lalu hidupnya seperti telah hancur musnah. Tetapi seminggu kemudian segalanya telah berubah. Namun apa yang dia tahu, setelah seminggu berlalu hatinya semakin menginginkan lelaki ini di dalam hidupnya.
“Kata orang sebelum kita bercinta perasaan sayang tu rasanya lain. Dan selepas kahwin perasaan tu jadi lain,” ucap Diane perlahan. Tetapi keindahannya memang luar biasa. hidup merasa terisi. Dia merasakan dirinya seperti telah berubah menjadi seorang individu yang lain.
“Ya. Perasaan tu lebih dalam. Hanya orang yang reda akan dapat merasai nikmat kasih sayang tu,” ujar Rauf lembut. Terbayang semula ketika berada di dalam Kilbirnie Mousqe di Wellington beberapa hari lalu. Dia dinasihati oleh kadi. Nasihat yang masih melekat utuh di benaknya sehingga kini.
Tiada lagi jalan untuk dia berpatah balik setelah keputusan nekad itu dibuatnya. Dia membawa Diane pulang ke tempat kelahirannya dan menikahi kekasih hatinya di sana. Disaksikan oleh kadi dan keluarga sebelah ibu kandung Diane. Dia hanya ditemani oleh abangnya, Raid Zuhayr dan kakak iparnya ketika di sana.
“Tak ada apa yang ingin I kesali dengan keputusan yang I dah buat,” ujar Rauf perlahan. Jemari wanita itu diramas lembut. Isteri itu amanah buat suami dan dia berjanji akan menjaganya selagi ada hayatnya.
“Kita teruskan hidup seperti biasa. Soal keluarga I, biar I yang selesaikan. You jangan susah hati tentang itu,” ucap Rauf lantas mengusap pipi buah hatinya itu. Diane hanya tersenyum membalas pandangan sang lelaki.
Usai makan bersama, Rauf singgah seketika di rumah isterinya. Menghabiskan masa berdua tanpa kehadiran orang lain. Semakin banyak masa berlalu, semakin melekat punggungnya di situ.
“You nak balik pukul berapa?” tanya Diane. Sudah jam 11 malam.
“Sekejap lagi,” jawab lelaki itu lantas mengusap lengan sang perempuan yang terdedah. Namun kemudian dia mendekatkan dirinya kepada wanita itu. Tanpa meminta izin pipi wanita itu dikucupnya beberapa kali. Diane hanya membiarkan sehingga lelaki itu kian liar kepadanya.
“I need you,” bisik lelaki itu perlahan. Diane bangkit dari sofa itu dengan senyum mesra. Tangan lelaki itu ditariknya.
Rauf akur seperti lembu dicucuk hidung. Hanya terbayang perempuan itu akan dimilikinya lagi, lagi dan lagi. Dan dirinya terlalu inginkan belaian yang membuatkan dia merasakan dirinya adalah lelaki sejati.
Namun ketika jam sudah menunjuk ke angka satu pagi, telefonnya berbunyi. Rauf segera bangkit sebaik sahaja terlihat nama di skrinnya.
“Abang...”
“Nak apa call malam-malam macam ni?” tanya Rauf dalam bisikan. Namun agak kasar nadanya. Sempat memandang ke arah wanita di sebelahnya. Diane sudah tidur.
“Abang belum tidur?” tanya Tengku Marina lembut.
“Ada apa ni???” Rauf membalas dalam nada kasar lagi. Tiada masa mahu mendengar nada lunak berbasi basa itu.
“Mar nak berbual dengan abang pun tak boleh?”
Rauf menghela nafas perlahan. Hendak dimarah, kasihan. Terasa zalim benar dia kepada gadis itu. Tetapi kalau tidak dimarah, dia yang seksa dibuatnya.
“Dah pukul 1 pagi ni. Abang penat ni, Mar. Sepanjang hari ni abang terpaksa buat apa yang abang tak mahu buat. Malam macam ni biarlah abang rehat.”
Tengku Marina diam seketika di hujung talian. Terdengar helaan nafasnya. Kecewa agaknya.
“Okaylah. Good night,” ucap Tengku Marina perlahan.
Rauf segera mematikan talian tanpa membalas. Kemudian dia memandang isterinya itu. Mujurlah Diane tidak sedar. Seterusnya wanita kesayangannya itu didekati oleh Rauf.
“Sweetheart...” bisik lelaki itu sambil tubuh itu dipeluknya dari belakang.
“Hmm...” keluh perempuan itu mula terjaga semula setelah tubuhnya dihimpit sang lelaki. Tanpa perlu dipaksa tangan lelaki itu ditarik lalu dipeluknya.
Rauf tersenyum sendiri memerhatikan gelagat Diane. Sekadar memandang wanita ini lena, hatinya semakin membuak-buak oleh rasa sayang. Sayang yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Setiap kali dia memandang Diane, setiap kali itulah hatinya berbisik... inilah teman hidupnya. Wanita yang dipilih oleh hatinya ini. Ingin dijaganya seperti mana dia menjaga hatinya ini.
Namun kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi. Kali itu Diane juga ikut terjaga lalu menoleh. Rauf segera mencapai telefonnya. Namun terbuntang matanya melihat panggilan itu adalah dari mamanya.
“Ma...”
“Bila nak balik??? Kata nak pergi sekejap aja?”
Spontan bahu Rauf melurut jatuh mendengar nada ‘veto’ itu. Diane hanya terkebil-kebil memandang belakang lelaki itu setelah Rauf usai bercakap dengan mamanya. Terdetik sedikit rasa kasihan kepada Rauf.
“Pergilah. Nanti mama you marah you lagi,” ucap Diane lembut.
Rauf menoleh kepada isterinya. Lama mereka berpandangan berdua.
“I tak apa-apa. Jangan bimbang. Kita jumpa nanti,” ucap Diane lantas mengusap belakang suaminya.
Mahu tidak mahu Rauf akur juga. Jika tidak gegak gempita hidupnya dibuat oleh mamanya nanti. Namun sebelum berlalu Rauf menarik sang isteri lalu dipeluknya erat.
“I love you so much,” bisik Rauf perlahan. Diane tersenyum bahagia.
“Walaupun hanya diberikan sedikit ruang dalam hidup you, I tetap bahagia. Sebab I tahu you sayangkan I,” jawab Diane lunak.
Rauf meleraikan pelukan. Raut wanita itu ditatap seketika sebelum bibir mungil itu dipagutnya lama. Namun kemudian wanita itu menolak tubuh sang lelaki.
“Pergilah. Nanti mama you bising you balik lambat,” ucap Diane lembut.

Rauf hanya mampu mengangguk akur. Biarpun hati berat, terpaksa juga dibiarkan wanita ini bersendirian di sini. Dia terpaksa pulang... pulang kepada hidupnya yang sebenar!

2 ulasan:

  1. wah dah kahwin ... best... tgk sapa yg lebih pandai haha..

    BalasPadam