Khamis, 18 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 11

BAB 11
PELACUR! Mungkin juga dia boleh diumpamakan seperti itu.
“Bukan ke sepatutnya urusan itu you bercakap dengan Puan Sri Engku Ameenah? Itu bukan bidang kuasa I,” ucap Diane hairan.
“Kita boleh permudahkan saja urusan kita, Diane. I suka berurusan dengan you. You tahu banyak perkara dalam dunia korporat. Perempuan macam you banyak potensi sebagai business woman.”
“I lebih sayangkan kerja I sekarang, datuk. Ni pun dah lebih dari cukup,” jawab Diane biasa. Lekas memandang jam dipergelangan tangannya. Sudah lewat.
“So, I hantar you balik?”
“No, thank’s. I boleh balik sendiri,” ucap Diane lembut menolak kebaikan ada makna itu.
Come on. I ni... kalau boleh nak dekati you dengan lebih jauh lagi. Hari Ahad ni I nak pergi main golf. You nak join?” ujar Datuk Hisyam lunak. Rasa macam dah tak sabar nak membawa sekujur tubuh milik wanita jelita itu ke katil.
Diane tersenyum membalas pandangan lelaki tua itu. Kemudian dompetnya diambil dari atas meja.
“It’s okay. Lain kali saja, datuk. I tak minat sebenarnya. Cukuplah urusan kita sampai di sini saja,” jawab Diane selamba.
“You ada teman lelaki?” tanya lelaki tua itu lagi.
“You rasa ada ke tak ada?” Diane tersenyum sedikit.
“Perempuan cantik macam you ni, takkanlah tak ada teman lelaki, kan?” Datuk Hisyam ketawa kecil.
“Bagus tekaan you, datuk. So, urusan kita ni janganlah menyimpang jauh.”
“Okaylah. I call you nanti?” ucap lelaki itu lembut. Diane sekadar mengangguk akur sebagai jalan keluar. Mahu lekas pergi sebenarnya. Bukannya dia tak tahu apa hendaknya si tua itu.
“Thank you so much, datuk...” Diane beri senyuman hambar sebelum berlalu. Melihat lelaki itu tidak bergerak menghantarnya ke luar, dia menghela nafas lega.
“Nasib akulah...” desis Diane sendiri. Kerap bertemu dengan orang kenamaan yang miang dan gatal. Itulah dunianya. Kalau dia seorang perempuan tua yang kerepot, mungkin datuk-datuk seperti itu lebih suka bertemu dengannya di siang hari. Atau mungkin juga tidak ingin berlama-lama dengannya.
Sambil menunggu pekerja jokey membawa kereta kepadanya, Diane mendail nombor teman lelakinya. Namun dia terdengar seorang perempuan yang menjawab.
“Jangan call Rauf lagi! Tak malu ya asyik mengendeng anak teruna orang???”
Terkejut! Diane terdiam serta merta diterpan nada kasar itu. Dadanya berdegup kencang.
“Ni mama Rauf. Kamu jangan call anak auntie lagi. Putuskan hubungan kamu dengan dia!” Klik! Talian dimatikan oleh wanita di sana.
Diane terkedu. Berkecai hatinya bak kaca mendengar itu. Tiba-tiba dia rasa dirinya terawang-awangan begitu sahaja. Hilang arah. Diane terus terpaku biarpun ditegur oleh pekerja jokey.
“Ha?” Diane menoleh kepada lelaki itu.
“Your car, mem...” ucap lelaki itu sambil menunding ke arah kereta yang sudah sedia menanti.
Thank you so much.” Hanya senyuman hambar mampu diberikan kepada lelaki itu.
Sehingga dia mengendalikan kenderaannya, fikiran Diane terus diasak oleh suara wanita itu. Dia mengagak itu adalah emak Rauf. Mahu menghubungi semula, dia tidak berani pula. Namun dadanya terus sesak dengan rasa ingin tahu.
Setelah tiba di rumah, Diane membelek semula telefonnya. Mencari mesej dari lelaki itu. Maghrib tadi Rauf berkata dia akan pulang ke rumah orang tuanya. Mungkin Rauf masih ada di sana.
Namun sedang dia termenung, satu mesej muncul di telefonnya.
‘You kat mana sekarang, sayang? Dah balik ke belum?’
Kening Diane berkerut. Tiada apa-apa yang aneh dengan mesej lelaki itu. apa sebenarnya yang berlaku. Diane segera membalas.
‘Call I sekarang, boleh?’
Tidak sampai seminit, telefonnya dihubungi oleh Rauf.
“Rauf, tadi I call. Mama you yang jawab.”
“Ha?” nada Rauf kedengaran terkejut.
“Mama you marah I. Ada apa sebenarnya, Rauf?” tanya Diane. Biarpun agak payah, dia tetap inginkan jawapan yang jujur.
“Mama... mama I cakap apa?” tergagap-gagap suara lelaki di hujung talian itu.
“Dia suruh I putuskan hubungan dengan you. Mama you tak suka I ya?” tanya Diane rendah.
“Ish! Salah tu. Mama tersalah orang sebenarnya,” ujar Rauf bersungguh.
Diane diam. Macam tidak percaya alasan itu.
“Bukan you sebenarnya. Tapi Marina. Marina ni selalu call I sampai I naik rimas. So, I mengadulah pada mama. Sebab tu mama marah,” ujar Rauf lagi.
“Siapa Marina?” tanya Diane lagi.
“Seseorang yang I kenal dah lama,” jawab Rauf perlahan. Entah kenapa hatinya pedih. Bukan dia suka berbohong. Tetapi sungguh dia tidak sanggup untuk kehilangan wanita ini.
“Betul ke?”
“Betul, sayang. Takkanlah mama tak suka you. Mama belum jumpa you lagi,” ucap Rauf bersungguh.
“Okaylah. I rasa macam nak pengsan tadi.” Diane menghela nafas panjang. Rasa dunianya kembali bercahaya biarpun tidak sepenuhnya.
“Dah sampai rumah ke ni?” tanya Rauf mesra.
“Dah. I call you, ingatkan nak ajak you pergi supper. Tiba-tiba kena marah. Terkejut I.”
Rauf ketawa kecil. “Esok kita breakfast sama ya?”
“Okay.” Diane menyambut akur.
“Diane, jangan takut. I tak akan biarkan sesiapa menyakiti you, sayang. Percaya pada I ya?” ujar Rauf bersungguh.
Diane terdiam pula. Seolah-olah bicara itu ada maknanya. Sungguh dia memerlukan seorang lelaki untuk berteduh kasih dan cinta. Kini dia diketemukan dengan lelaki ini. Hatinya sudah terpaut sayang. Tetapi apa yang berlaku tadi seperti sudah memberi klu tentang sesuatu yang dia takuti.
“I tak boleh lepaskan you,” ujar Rauf lagi.
“Apa maksud you, Rauf?” tanya Diane pantas.
“Tak ada apa-apa. I cuma nak you yakin dengan I. Apa terjadi sekalipun, I tetap akan pilih you. I pernah janjikan yang you tak akan menyesal. I akan kotakan apa yang I katakan, Diane.”
Diane terdiam. Sehingga Rauf tiba-tiba mematikan talian, dia terus berdiam. Hati menjadi walang semula. Diane duduk bersandar di sofa. Sempat mengambil sesuatu dari dalam dompetnya.
Hati tisu itu! Ditatapnya tanpa jemu. Berharap agar segala-gala yang bermain di dalam fikirannya ini hanyalah dusta semata-mata. Kerana dia tidak sanggup untuk kehilangan cinta yang ini.  

MARAH! Tetapi dia tidak mampu meluahkan kemarahannya kepada wanita itu. Kerana wanita itu adalah ibunya. Tatkala tetamu di rumah itu masih rancak bersembang, mata Rauf terpasak seketika kepada gadis itu. Marina menoleh kepadanya dengan kerlingan manja.
Rauf kembali memandang ke arah lain. Buat-buat membelek telefon. Sungguh dia merasa janggal dengan keadaan keluarganya ini. Tiba-tiba dia merasa mahu lari sejauh-jauhnya dari keadaan ini.
Rauf bangun. Tidak peduli kepada tetamu yang ada, dia keluar dari rumah. Mahu meredakan sesak fikirannya saat ini. Dia bergelap sendirian di gazebo. Kepalanya digaru lagi. Sungguh dia merasa amat buntu dengan keadaan ini.
“Abang...” panggil satu suara halus dan lunak. Rauf menoleh. Tengku Marina suda berada tidak jauh darinya.
“Ya...” Rauf sekadar menjawab hambar. Tengku Marina mendekati lelaki itu tanpa meminta izin. Bukan senang untuk merapati lelaki ini.
“Abang nampak macam tak happy aja,” ucap Tengku Marina perlahan.
“Mar nak kahwin dengan abang? Mar tahu tak... abang ada orang lain. Mama abang tak terima dia. Abang terpaksa kahwin dengan Mar.”
Tengku Marina terpaku mendengar bicara yang cukup berterus terang itu. Tetapi lelaki ini yang dikenalinya memang begitu. Sama ada dia berdiam atau dia cakap apa saja yang dia mahukan.
“Mar dah lama sukakan abang.”
Rauf menghela nafas panjang. Ini lagi seorang yang tidak mahu faham. Bukannya dia tidak tahu itu. Tetapi dia sengaja menjauhkan diri agar gadis ini berhenti berharap kepadanya.
“Mar akan sayangkan abang jika abang beri Mar peluang.”
“Mar, Mar tak faham ni. Abang buat semua ni sebab terpaksa. Kalau tidak mama tak mahu terima abang dalam keluarga ni lagi. Abang sayangkan orang lain, Mar. Abang tak mampu lupakan dia!” ujar Rauf bersungguh.
Tengku Marina berdiam pula. Adakah Rauf mahu dia mengalah? Bagaimana? Dia hanya inginkan lelaki ini dalam hidupnya. Cinta ini telah datang semenjak kali pertama dia mengenali Rauf pada hari pernikahan abangnya dan kakak iparnya, Amanda dahulu. Mereka pernah terpisah dan bertemu semula. Pertemuan itu menguatkan lagi rasa cintanya.
“Abang tak tahu macam mana nak terima Mar. Sanggup ke, Mar? Abang tak mungkin mampu jadi suami yang baik untuk Mar.”
“Mar tetap akan berusaha untuk jadi isteri yang baik kepada abang. Suatu hari nanti abang akan sayangkan Mar juga.”
Rauf menghela keluhan panjang sambil menggeleng. Ingatkan gadis ini akan mengalah. Rupanya tidak!
“Abang akan beritahu ayah Mar.”
“Jangan, abang!”
“Mar nak kahwin dengan lelaki yang tak cintakan Mar? Biar betul???” tekan Rauf bersungguh.
“Seluruh keluarga ni memberi restu. Kenapa abang tak lepaskan saja perempuan tu demi kebaikan semua orang?”
Spontan Rauf bangun. Tiba-tiba dia rasa mahu marah kepada gadis ini pula.
“Apa kata kalau abang minta Mar lupakan abang? Atau Mar terpaksa terima yang Mar akan jadi isteri kedua! Waktu tu jangan lagi menyesal!” tegas Rauf.
Tengku Marina terkedu mendengar bicara lelaki itu. Rauf segera berlalu dari situ. Ingatkan hendak bersendirian. Makin sesak fikirannya dengan kerenah gadis ini.
Selepas kepulangan keluarga Tengku Marina, Rauf dimarahi ibunya lagi. Biarpun marah, Rauf hanya membatu mendengar bebelan ibunya. Ikutkan hatinya, sekarang juga dia mahu mengangkat punggung.
“Dengar tak apa yang mama cakap tadi? Rauf!!!” bentak Puan Sri Nur Ain. Rauf langsung tidak menjawab kepada kata-katanya.
“Ain, cukuplah tu!” tegur Tan Sri Rafael.
“Saya tak suka dia terus berkerja di situ. Setiap hari pandang perempuan tu, macam mana dia nak lupa? Berkali-kali disuruh kerja dengan papa. Tak mahu! Inilah satu-satu anak yang suka buat kepala sendiri!” balas Puan Sri Nur Ain sedikit meninggi.
“Dia dah ikut cakap awak, apa lagi yang awak tak puas hati?”
“Saya nak dia berhenti jumpa perempuan tu. Berhenti kerja dari situ!”
“Okay...” balas Rauf tiba-tiba. Dia menoleh kepada ibunya.
“Mama nak Rauf berhenti kerja dari situ? Okay. Rauf buat. Mama nak apa lagi? Mama nak Rauf kahwin dengan Marina? Okay. Rauf buat. Tapi Rauf tak mampu janji yang Rauf akan lupakan dia. Kuasa bukan di tangan Rauf.”
“Sebab tu mama nak kamu jauhkan diri dari perempuan tu. Jangan call dia lagi! Jangan jumpa dia lagi. Selagi kamu melayan, selagi itulah kamu tak akan boleh lupakan dia!” ucap Puan Sri Nur Ain meninggi.
Tan Sri Rafael menggeleng perlahan dengan pertelagahan antara ibu dan anak itu.
“Ain, memaksa begini akan memburukan keadaan mereka.”
“Kalau dia dengar cakap saya semenjak awal lagi, keadaan takkan jadi beginilah!” balas Puan Sri Nur Ain.
“Tak apa, papa. Rauf ikut cakap mama. Rauf buat apa saja asalkan mama puas hati,” ujar Rauf pula. Dia tahu. Tiada guna memujuk ibunya jika wanita itu sudah bulat menolak kehendaknya.
“Rauf...” panggil Tan Sri Rafael kepada sang anak. Punggungnya diangkat untuk mendapatkan anak lelakinya itu. Dia tahu anak itu kecil hati.
“Papa, Rauf minta maaf. Rauf nak balik rumah sana. Fikiran ni serabut sangat, papa. Rauf tak tahu apa dah jadi dengan hidup Rauf sekarang,” luah anak muda itu perlahan.
“Rauf... dengar cakap papa ni,” ucap lelaki itu sambil memegang pundak anaknya.
“Jangan putus asa. Ikutkan saja apa yang mama suruh. Jangan buat mama bertambah marah. Siapa tahu dengan kebaikan sedikit ini hati mama akan berubah? Tak apa mengalah demi ibu, Rauf. Allah sedang lihat kita sekarang ini,” ucap Tan Sri Rafael lembut.
Rauf mengangguk sedikit. Tampang sang ayah dipandang sayu. Namun lelaki tua itu menarik anak itu ke dalam pelukannya.
“Papa besarkan kamu dengan harapan suatu hari nanti kamu akan ada kehidupan kamu sendiri dan kamu gembira dengan kehidupan kamu. Tetapi hidup kita tidak akan selalunya sama saja. Bersabarlah. Allah bersama dengan orang yang sabar,” ujar sang ayah lagi.
“Terima kasih, pa.”
“Datang ke pejabat papa esok,” ucap Tan Sri Rafael lembut.
Rauf hanya akur sebelum berlalu dari rumah itu. Tan Sri Rafael kembali mendapatkan isterinya. Masih mencuka wajahnya.
“Darjat dan keturunan ni hanya atas dunia saja, Ain. Tak semua orang mampu menjadikan darjat dan keturunan ni sebagai penolong ketika di akhirat nanti. Kebanyakannya, binasa!” ucap lelaki tua itu serius.

Puan Sri Nur Ain memandang sekilas ke arah suaminya. Namun kemudian dia mendengus sendiri. biar apa pun alasannya, dia tetap tidak sudi bermenantukan Diane Rose. Titik!

1 ulasan: