Khamis, 18 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 10

BAB 10
“MAMA...”
“Hmm... baru nampak muka ya? Sibuk sangat dengarnya,” ucap Puan Sri Nur Ain selamba. Tangan tetap dihulur kepada anak ketiganya itu. Rauf menyengih sebelum tunduk mengucup tangan ibunya.
“Kan senang kalau Rauf berhenti kerja. Kerja dengan papa? Duduk sini dengan mama. Seminggu sekali susah nak nampak muka. Mama tak sukalah Rauf.”
“Ma, kita dah bincang pasal ni banyak kali. Rauf tak mahu, ma...” balas Rauf rendah.
Puan Sri Nur Ain mendengus sedikit. Degil!
“Dulu sibuk nak jadi askar. Sekarang sibuk nak kerja di syarikat orang. Kerja dengan papa atau dengan syarikat sekarang, apa bezanya?” bebel Puan Sri Nur Ain lagi.
“Ada bezanya...” sampuk satu suara dari tangga.
Kedua-dua manusia itu memandang ke arah tangga. Amanda sedang turun.
“Dengarnya... Cif komunikasi korporat Garuda tu cantik jelita. Kak Manda kenal dia,” ucap Amanda selamba.
Berubah wajah Rauf kala itu. “Kak Manda kenal?”
“Kami pernah jumpa di outlet. Dia tu famous. Semua lelaki bercakap pasal dia,” ucap Amanda lantas melabuhkan duduk di sofa.
“Siapa?” tanya Puan Sri Nur Ain mula tertanya.
“Diane Rose. Kenal, kan?” ujar Amanda sedikit sinis.
Rauf meneguk liur. Perlahan dia mengangguk.
“Ada orang kata dia perempuan simpanan Tan Sri Fattah.”
“That’s not true!” sanggah Rauf pantas.
How do you know? Semua orang tahu lelaki tu kaki perempuan. Masakan perempuan secantik itu sekadar jadi hiasan mata?” balas Amanda. Seterusnya Rauf terdiam.
See? Rauf pun suka dia, kan? Bukan main lagi membela dia.”
“Siapa yang Manda cakap ni?” tanya Puan Sri Nur Ain tidak mengerti.
“Suatu hari nanti mama akan kenal juga dia. Tak gitu, Rauf?” ujar Amanda sinis.
Wajah Puan Nur Ain berubah sedikit. Begitu juga Rauf. Amanda nampak macam tidak suka dengan wanita bernama Diane itu.
“Patutlah tak hairankan Tengku Marina. Sanggup biarkan Marina terkejar-kejar macam orang tak ada maruah. Rupanya kumbang dok sibuk sedut madu dari bunga yang dah ditebuk orang.”
“Jaga mulut tu sikit!” tegah Rauf mula mengeras nadanya.
“Apa? Ingat Kak Manda tak tahu ke apa yang Rauf buat di belakang keluarga ni?” cabar Amanda sedikit meninggi. Rauf terpempan dengan pandangan tepat ke arah Amanda.
“Apa semua ni? Jelaskan pada mama, Amanda.”
“Mama tahu kenapa Rauf tak hairankan Tengku Marina tu? dia dengan perempuan tak senonoh tu tengah sakan bercinta. Berdating sana sini!” ucap Amanda serius. Spontan Puan Sri Nur Ain memandang anak lelakinya.
“Betul ke, Rauf?”
“Mama, Diane tak seburuk yang diceritakan orang.”
“Apa yang tak buruk? Apa yang diceritakan orang sebenarnya?” ujar Puan Sri Nur Ain.
“Beberapa bulan dulu Manda terjumpa dia dengan suami Aunti Ina di Royal Buhler. Lelaki tu belikan dia barang kemas. Berpeluk-peluk sakan. Manda nampak sendiri. Ini bukan sekadar dengar cerita orang. Mama rasa... perempuan muda dan cantik begitu, apa yang dia nak dari lelaki macam Tan Sri Fattah tu? apa jenis perempuan yang senang sangat menghimpit suami orang??? Dia tu bekas secretary Tan Sri Fattah, kan?” ujar Amanda sebelum sempat Rauf menjawab.
“Dulu ya! tapi dia orang dah tak ada apa-apa hubungan, Kak Manda.”
Amanda ketawa sinis. “Berbanding Tengku Marina dia lebih sukakan sisa orang, mama.”
Wajah Puan Sri Nur Ain berubah. Pandangannya terus tertancap kepada Rauf.
“Betul ke apa yang Kak Manda cakap ni?”
Rauf segera merendahkan tubuhnya. Duduk di hadapan ibunya.
“Mama, memang benar dulu dia ada hubungan cinta dengan suami orang. Tapi dia dah berubah. Sisa orang, itu tak benar, mama...”
“Dengan sedozen gosip yang Tan Sri Fattah tu meniduri setiap perempuan yang dekat dengan dia. Hanya Diane seorang yang masih suci, tidak sempat disentuhnya. Oh... what a beautiful story, Rauf.” Amanda mengejek sinis.
Rauf sedikit resah mendengar bicara kakaknya itu. Amanda semacam dapat meneka apa yang ada dalam dirinya. Lampu merah sudah jelas kelihatan. Apa maksudnya? Maksudnya dia harus bersiap sedia untuk melupakan angan-angan untuk memiliki wanita yang dicintainya itu!
Mata Puan Sri Nur Ain masih tidak jemu meratah permukaan wajah anaknya. Berita ini tidaklah disukainya. Tidaklah dia peduli siapa Diane itu atau dengan suami orang yang mana gadis itu hendak berskandal. Tetapi dia benar-benar tidak suka anak lelaki kesayangannya ini pula yang tersangkut dengan perempuan persis itu!
“Mama, Rauf sayangkan Diane.”
“Tak boleh! Mama tak suka, Rauf!” tegah Puan Sri Nur Ain pantas. Wajah Rauf berubah serta merta.
“Kak Manda, apa yang Kak Manda andaikan tu tak benar. Dia hanya berkawan dengan suami auntie Ina. Dia bukan perempuan simpanan!” tegas Rauf mula kalut dengan reaksi mamanya.
“Really? Bercinta sampai perlu beri barang kemas yang harganya beratus-ratus ribu ya? Itu bunyinya macam perempuan simpanan. Orang kalau dah mabuk cinta, najis pun nampak macam bunga,” ejek Amanda.
Rauf menghela nafas perlahan. Sesak dadanya dengan perangai kakaknya ini. Sengaja mahu menyulitkan keadaan.
“Mama tak suka, Rauf. Mama tak restukan...”
“Mama, tolonglah. Rauf tak mahu kahwin dengan Marina.”
“Apa kurangnya Marina? Dia cantik! Baik budaknya. Elok keturunannya! Dan Marina juga sukakan Rauf. Apa lagi yang Rauf nak???” tekan Puan Sri Nur Ain meninggi.
“Kurangnya dia, perasaan Rauf tak ada pada dia. Macam mana Rauf nak terima dia?”
“Sebab tu selama ni mama suruh Rauf dekati Tengku Marina. Kenal hati budi dia! Tapi Rauf degil. Mama pun tak fahamlah dengan kamu ni. Belum pernah ada dalam sejarah keluarga ni berkawan dengan perempuan menjijikkan begitu. Kamulah orang pertama.”
“Mama, janganlah cakap begitu. Mama boleh paksa Rauf berhenti kerja dari IOI dulu. Rauf ikut cakap mama. Tapi kali ni lain, ma. Ini tentang masa depan Rauf. Rauf kena hidup dengan orang tu sampai mati nanti...”
“Sebab ini soal masa depanlah mama nak perempuan yang terbaik untuk lahirkan cucu-cucu mama! Bukannya perempuan persis itu! Apa dia nak jadi, nak jadi isteri kedua ke... nak berskandal dengan suami orang ke... itu hak dia! Tapi perempuan seperti itu tak boleh ada dalam keluarga ni!” sanggah Puan Sri Nur Ain sebelum sempat Rauf menghabiskan bicaranya. Rauf terdiam mendengar bicara mamanya.
“Tengku Muzaffar dan Tengku Umi Kalthom berharap kepada Rauf. Marina juga sukakan Rauf. Masih nak menolak?” ucap si ibu itu lagi.
Rauf menghela nafas perlahan sambil mengalihkan punggung di tempat lain. Duduk bersandar kepada sofa sambil memandang ke luar rumah melalui cermin pintu gelangsar.
“Abang Raid pilih isteri dari kalangan orang yang baik-baik. Begitu juga Firdaus...”
“Firdaus lain. Abang Raid lain. Rauf lain, ma. Mama boleh paksa Fir bertunang dengan anak kawan mama. Tapi Rauf tak mahu ikut jejak langkah yang sama. Tolonglah faham. Kalau ditakdirkan dalam hati Rauf ni tak ada sesiapa, mungkin Rauf boleh pertimbangkan kehendak mama. Tapi Rauf sayangkan orang lain. Marina sanggup terima bakal suami yang tak ada hati pada dia? Okay, kalau dia sanggup terima, Rauf terima dia. Tapi dengan syarat... Diane isteri pertama! Lepas tu jangan sesiapa komplen Rauf tak adil pada isteri Rauf!” tegas Rauf.
Terbeliak mata Puan Sri Nur Ain mendengar bicara anak lelakinya itu. Begitu juga Amanda.
“Jangan nak bermimpi di siang hari, Rauf!”
“Rauf tak peduli. Tak ada siapa boleh paksa hati Rauf untuk sayangkan sesiapa. Kalau mama tak sanggup nak cakap dengan Marina, biar Rauf yang berterus terang pada dia.”
Turun naik dada si ibu mendengar bicara anak lelakinya itu. Cukup berani melawan perintahnya!
“Mama tak akan restukan hubungan kamu dengan dia.”
Rauf terus bangun dari situ. Bimbang lebih lama dia berada di situ, lebih kasar suaranya kepada ibunya nanti.
“Rauf!” jerkah Puan Sri Nur Ain sambil dia bangun mengekori anaknya.
“Rauf balik dulu.”
“Rauf, mama belum habis bercakap ni!” Puan Sri Nur Ain terus mengekori anak lelakinya itu. Rauf menghentikan langkahnya. Kembali memandang ibunya itu.
“Rauf nak kahwin dengan Diane, ma. Rauf tak mahu Marina. Tolonglah faham. Jangan paksa Rauf buat apa yang Rauf tak mahu!” ucap Rauf bersungguh.
“Mati hidup semula pun tak mama tak akan terima perempuan itu di dalam keluarga ini. Mama tak boleh terima Rauf menolak Marina demi perempuan persis itu! Kalau Rauf nak juga dia, baiklah... jangan balik jumpa mama lagi!”
Terkejut mendengar bicara ibunya. Sampai begitu sekali. Sebegitu mudah dia dipalitkan dengan ketidakredaan ibunya. Rauf terdiam merenung tampang ibunya.
“Mama tak kasihankan Rauf ya?”
“Mama hanya nak yang terbaik untuk anak mama dan keluarga ni. Diane bukan perempuan yang sesuai untuk kamu. Putuskan hubungan kamu dengan dia atau mama yang akan putuskan untuk kamu. Majlis perkahwinan Firdaus nanti, juga akan jadi hari perkahwinan kamu dan Marina. Semakin lama kamu menunggu, semakin susah kamu nak lupakan perempuan tu nanti!” ucap Puan Sri Nur Ain serius.
Rauf menggeleng kesal. Tanpa kata dia berpaling semula meninggalkan ibunya di situ. Serabut otaknya. Emaknya sudah mula nekad, bermakna dia tidak punya banyak pilihan. Kereta terus dilarikan pergi. Namun Rauf tidak terus pulang ke rumah. Dia melepak di luar. Kusut fikirannya. Dalam keadaan begini, dia tidak suka berkurung di rumah.
Namun tatkala dia bersendirian menikmati teh di sebuah cafe, dia hanya terbayangkan Diane. Apa akan berlaku sekiranya Diane dapat tahu kepincangan yang sudah muncul ini.
Ya Allah... bantulah aku, desis hati lelaki muda itu sendiri. Seketika kemudian Rauf membelek telefonnya pula. Membaca mesej dari Diane. Bibirnya tersenyum sendiri saat membaca ayat yang diberikan Diane beberapa ketika dulu. Entah bagaimana kekusutannya terbang semula.
‘I love you and I’ll love you over and over. Without a doubt, in a heartbeat I’ll keep loving you. You, I habis jiwang ni. bangunlah cepat. Datanglah ambil I. I bosanlah kat rumah.’
Rauf ketawa kecil pula. Pandai memujuk. Mengajak dia menemankan gadis itu mencari kasut. Rauf sedar, Diane itu tidaklah sehebat Tengku Marina dari segi kedudukan dan keturunannya. Tetapi tidakkah hatinya juga penting? Memandang seraut wajah dan senyum tawanya, hati jadi sejuk dan lunak. Keadaan itu tidak mampu dilaluinya dengan wanita lain.
Namun kemudian senyum Rauf memudar. Musim cinta yang indah tidak lama. Kini dia diduga oleh satu kenyataan yang amat pahit. Emaknya tidak merestui cintanya.

“PAPA, tolonglah Rauf. jangan paksa Rauf buat apa yang tak mampu Rauf buat!”
Tan Sri Rafael menghela nafas sambil memandang anaknya.
“Kamu tahu mama tu macam mana, kan? Ikutlah cakap dia, Rauf. Mama hanya nak yang terbaik untuk kamu.”
“Macam mana Rauf nak terima perempuan lain dalam pada hati Rauf ada orang lain, pa? Macam mana Rauf nak lupakan Diane?”
Tan Sri Rafael menghela nafas rendah. Dia sudah mendengar angin-angin tentang siapa Diane itu. Agak menganggu memandangkan bekas teman lelaki Diane itu orang yang dekat dengan mereka. Menerima wanita itu, bermakna dia harus berhadapan dengan seribu macam cabaran di dalam keluarga dan di luar sana. Tetapi mana mungkin dia tidak mengerti hati seseorang yang jatuh cinta? Dia juga pernah merasainya.
“Kenapa dengan Rauf mama berkeras? Kenapa dengan Abang Raid dan Fir mama tak begitu?” luah Rauf rendah. Sedih hatinya. Semenjak dulu dia terpaksa akur dengan kehendak mamanya yang kadang kala bertentangan dengan kehendaknya. Dia akur demi sayangkan ibunya.
“Rauf, mama tu sayangkan Rauf. Apa yang dia pinta tu sebenarnya tak salah. Dan apa yang Rauf inginkan untuk diri Rauf pun tak salah. Tetapi apabila kena memilih, sudah tentu papa akan meminta Rauf utamakan mama berbanding wanita itu.”
“Pa, Rauf tak sanggup nak beritahu dia. Apa akan jadi pada dia nanti?”
Rauf tunduk meraup wajahnya. Namun dia terasa ada tangan mengusap bahunya.
“Ikutkan kehendak mama. Tapi dalam pada masa yang sama, papa mahu Rauf jangan berhenti berdoa kepada Allah agar Allah tunjukkan jalan yang terbaik.” Tan Sri Rafael memandang ke arah rumahnya seketika. Berharap isterinya tidak datang ke situ.
“Rauf, bertindaklah seperti seorang lelaki yang ada pendirian. Kadang kala bicara kita tidak mampu membuka mata sesiapa. Tetapi tindakan itu yang memberi kesan. Rauf pun tahu mama macam mana, kan? Hati dia dah bulat inginkan Marina. Papa mahu kamu jadi bijak. Menarik rambut dalam tepung, jangan sampai tepung berserakan,” pesan lelaki tua itu lembut.
“Apa maksud papa?”
“Dengar suara hati kamu yang paling dalam. Papa selalu doakan yang terbaik untuk anak-anak. Papa tak suka memaksa anak-anak membuat pilihan untuk masa depan mereka. Papa hanya manusia biasa. Papa hanya mampu memimpin. Selebihnya, papa bergantung kepada Allah untuk menentukan apa sebenarnya yang terbaik untuk anak-anak papa. Seperti mana Raid dulu, dia menikahi Fareena tanpa ada keluarga di sisinya. Papa tidak tahu adakah itu tindakan yang tepat. Tapi papa hanya mampu meminta Allah berikan restu-Nya,” ujar Tan Sri Rafael lembut.
Rauf memandang lama tampang sang ayah. Cuba mencerna apa yang tersirat di sebalik bicara itu.
“Kamu akan berkahwin. Kamu akan tahu betapa besarnya keupayaan orang perempuan untuk memeningkan kepala kamu.” Tan Sri Rafael ketawa di hujung bicaranya. Namun kemudian dia memegang pundak sang anak.
“Doa papa ada bersama kamu, nak. Janganlah kamu susah hati. Jadilah orang yang berani,” ucap Tan Sri Rafael lembut.
Terharu. Anak muda itu terus memeluk ayahnya erat. “Terima kasih, papa. Terima kasih banyak-banyak.”
Belakang Rauf ditepuk lembut oleh sang ayah. Di ruang matanya terbayangkan isterinya itu. mereka boleh meminta Amanda menikahi Tengku Nasimuddin, kerana Amanda rela. Begitu juga Firdaus, menerima Riana sebagai calon isteri. Kerana Firdaus rela menerima Riana. Sebaliknya dia tidak mampu memaksa Rauf menerima Tengku Marina. Kerana Rauf mencintai wanita lain.

Sayangnya, isterinya itu tidak mahu menerima wanita seperti Diane. Jadi bagaimana?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan