Rabu, 17 Ogos 2016

BAB 21 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 21
BBQ!
Cuti hujung minggu Rafael mengajak adik beradiknya berkumpul di rumah ibu dan ayah mereka bersempena hari ulang tahun perkahwinan Ariff dan Insyirah. Berkumpul sekali maka riuh rendahlah rumah itu dengan gelagat anak dan cucu. Awal pagi anak-anak membantu mengemas rumah. Petang hari mereka merancang untuk mengadakan aktivit BBQ di luar rumah.
Selepas asar, masing-masing sudah membawa diri ke halaman rumah.
“Kak Ain buat kek untuk mommy dengan daddy. Tapi rasanya kita yang sakan menyental ni nanti,” ucap Jannah.
“Sikit bolehlah. Mommy bukannya tak suka. Tapi dah tua-tua begini, kesihatan kena jaga,” ujar Insyirah lembut. Seronok rasanya dihargai oleh anak dan menantu. Dapat berkumpul bersama anak beranak. Hanya Umarul yang tidak dapat ikut serta dek kerana tugasnya sebagai pengajar.
Sementara kaum ibu sibuk membawa hidangan lain ke halaman rumah itu, anak masing-masing sudah bertaburan di halaman rumah. Ada yang berguling seronok. Tasnif mula memanjat paha Ariff. Lebih suka menjadikan datuknya sebagai kerusi. Rayland dan Fakhri sibuk menyediakan api untuk memanggang.
“Dah boleh ni,” ucap Fakhri. Ayam dan daging yang sudah siap diperap mula disusun atas pemanggang.
“Tepi. Tepi. Acu nak duduk.”
Rauf dan Raif berebut mahu duduk sekat dengan Farouqe. Seronok melihat bapa saudaranya datang membawa gitar.
“Acu nak buat apa?” tanya Raid.
“Acu nak nyanyi lagu untuk tok daddy dengan tok mummy.”
Masing-masing sudah tersengih-sengih melihat Farouqe.
“Acu yang nyanyi ke? Boleh ke?” ucap Raid hairan.
“Hish! Suara acu ni kalau masuk Akademi Fantasi mesti nanti ramai yang afundi acu.”
Meledak tawa Rafael dan Mikhael mendengar jawapan Farouqe. Poyo! Ariff sekadar tersenyum sendiri. Kali terakhir dia melihat Farouqe menyanyi dalam acara nyanyian ketika majlis makan malam anjuran syarikat, sakit telinganya.
“Emm.. tapi kita nak nyanyi lagu apa ni?” tanya Farouqe kepada anak saudaranya.
“Manalah Raid tahu.”
“Okay. Acu dah tahu. Lagi ni ditujukan untuk mommy dan daddy. Semoga panjang umur dan kekal loving sampai bila-bila.”
Spontan Rania menekup telinganya. Perbuatannya terlihat pula oleh Farouqe.
“Nia ni, kan? Saja ejek abanglah tu.”
“Abang Farouqe nyanyi tak sedaplah. Katak menyanyi pun tak macam tu,” ujar Rania selamba.
Bicara yang sungguh tidak bertapis itu disambut oleh ledakan tawa mereka semua. Terkedu Farouqe mendengar Rania menyamakan bakat seninya itu dengan katak.
“Nia, cubalah jaga hati abang ni sikit. Nia memalukan Abang Farouqe tahu tak!”
“Dulu abang Farouqe nyanyi depan orang. Semua orang gelak. Kan, mommy? Mommy ingat tak?” ujar Rania sambil memandang sang ibu.
“Bila tu, Nia? Kak Deline tak tahu pun,” sampuk Adeline sambil tersenyum-senyum.
“Eh! Apa kata kita tukar topik lain.” Farouqe tiba-tiba bersuara kuat.
“Deline, nak tahu tak bila kejadian yang memalukan tu. Sini.. abang ceritakan.” Rafael segera mencelah peluang untuk mengenakan adiknya.
“Fira pun boleh cerita. Sini cepat!”
“Kak Ain pun ingat lagi pasal tu.”
“Nia pun ingatlah! Nia nak cerita!!” jerit Rania teruja.
“Kak Ti yang paling ingat kisah tu. Sini Kak Ti bisik.”
Insyirah mengekek ketawa melihat wajah bengang Farouqe. Semua orang nak buka pekung dia!
“Abang Mika ada simpan video malam tu. Ada lagi ke, Abang Mika?” tanya Jannah sambil tersengih-sengih memandang Farouqe.
“Ada! siapa nak tengok? Dah lama tak tengok semula video tu. Nasib baik tak delete,” sambut Mikhael teruja. Telefonnya terus dikeluarkan dari poket seluar.
“Ah!! Merajuklah macam ni,” cebir Farouqe. Adeline ketawa gelihati melihat suaminya dikenakan oleh ipar-iparnya. Berlumba-lumba masing-masing mahu melihat semula video itu.
 “Macam manalah perangai Farouqe waktu kat rumah ya? Deline, ceritalah sikit.”
Adeline tersenyum lembut saat memandang lelaki itu. “Biasa aja. Dia suka buat kita ketawa,” jawab Adeline lembut. Farouqe tersenyum senang memandang isterinya.
“Cepatlah nyanyi, acu! Tadi kata nak nyanyi?” ucap Raid.
“Tak jadilah. Acu tak pandai nyanyi pun. Raidlah nyanyi. Acu main gitar ya?”
“Alah..” Raid tercebir kecewa. Dia sudah siap bersila menghadap bapa saudaranya. Tidak jadi pula.
“Eh! Cepatlah potong kek, mommy.” Teringatkan sesuatu yang amat penting itu belum lagi terlaksana, dia terus menegur.
Insyirah mengalihkan pandangan kepada suaminya. Lelaki itu tetap seperti tadi. Tersenyum lembut memerhatikan setiap ahli keluarganya.
Afyra bangkit bersama Imanina untuk mengambil kek. Kek itu dibawa kepada dua orang tua itu. Ariff memandang kek itu seketika. Kemudian dia kepada isterinya.
“36 tahun sudah berlalu. Saya hidup dengan awak selama itu. Rasanya macam baru semalam kita mendapat Rafael dan Mikhael sebagai anak,” ucap Ariff kepada sang isteri.
“Tak mudah untuk sebuah perkahwinan itu mampu kekal selama itu jika kita tak tetap pada pendirian,” jawab Insyirah.
“Ia.” Ariff menjawab lembut. Seketika kemudian dia tersenyum.
“Sepanjang hidup ni, banyak yang kita lalui. Ada yang teramat susah. Sebahagian dugaan yang kita lalui, anak-anak kita tidak pernah melihatnya. Saya rasa amat bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada saya selama ini. Saya memiliki seorang wanita yang baik, juga anak-anak yang baik. Kehadiran menantu-menantu dan cucu-cucu saya melengkapkan lagi kehidupan kita. Saya percaya.. jika bukan dengan bantuan dan panduan dari Allah, kita tidak akan mampu pergi sejauh ini,” ujar Ariff lagi. Insyirah tersenyum lembut kepada lelaki itu.
Kesemua mata yang memandang terdiam mendengar kata-kata Ariff. Ariff mengambil pisau. Kek itu dipotong sedikit lalu disuap ke mulut sang isteri.
“Wau.. romantiknya, daddy.” Afyra ketawa. Teruja melihat layanan sang ayah kepada ibunya.
Ariff ketawa kecil.
“Mommy pulak!” jerit Rania seronok.
Insyirah menggeleng perlahan. Kehendak anaknya itu tetap ditunaikannya. Malu untuk beromantika di hadapan anak-anak sebenarnya.
“Okay. Sekarang Nia pulak!” dengan muka selamba Rania mengangakan mulutnya.
“Mengada-adalah budak ni. Makanlah sendiri!” rengus Insyirah. Tetapi kemahuan anak manja itu tetap juga ditunaikan.
Ariff meminta Imanina memotong kek itu untuk dinikmati oleh semua orang. Afyra membawa sepotong kek itu kepada suaminya. Fakhri masih sibuk membakar ayam.
“Fira makanlah. Nanti abang makan.”
“Fira tak boleh makan. Abanglah makan,” jawab Afyra.
“Oh..” sudahnya mulutnya dingangakan apabila Afyra mendekatkan sudu ke mulutnya.
“Sedapnya kek ni..” puji Fakhri.
“Buat sendiri memanglah sedap,” jawab Afyra.
“Siapa buat?”
“Kak Ain.”
Fakhri mengangguk. Sempat dia memandang ke gazebo. Masing-masing sedang mengerjakan kek itu.
“Nak lagi?”
Fakhri terus mengangguk. dalam keadaan tangannya sibuk bekerja, mulutnya disuapkan oleh isterinya. Insyirah sempat mencuit suaminya. Ariff tergadah seketika memandang isterinya. Namun kemudian dia ikut memandang apa yang diperhatikan isterinya.
“Dah berbaik nampaknya tu,” ucap Insyirah puas hati.
Ariff terus memerhatikan gelagat anaknya itu seketika. Kemudian dia tersenyum.
“Awak pernah nampak mereka berdua bergaduh ke?”
“Tak pernah. Tapi saya tahu ada yang tak kena dengan mereka sebelum ni,” jawab Insyirah lembut.
“Saya dapat mengagak apa yang berlaku sebelum ini. Tapi saya menunggu dia memberitahu sendiri kepada saya. Alhamdulillah.. saya rasa mereka mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa mengadu apa-apa kepada kita.”
Insyirah mengangguk setuju.  
“Saya tahu Afyra mampu jadi isteri yang baik. Kerana dia anak awak. Dia akan memilih untuk mengikut apa yang baik tentang awak,” komen Ariff lembut. Isterinya seorang pemaaf. Dia percaya Afyra juga begitu.
Insyirah kembali memandang suaminya. Bibirnya mekar tersenyum. Sambutan ulangtahun perkahwinan yang amat bermakna buatnya. Melihat anak-anak gembira, dia sudah tentu lebih dari itu. Penat lelah mendidik anak-anak terasa amat bermakna saat ini.

 MEREKA pulang ke rumah ketika malam sudah pun berada di penghujungnya. Afyra tertidur di dalam kereta.
“Fira..” Fakhri menepuk lembut paha isterinya.
Afyra tersentak sedikit. Terkebil-kebil matanya memandang sekeliling. Dah sampai rupanya.
“Jom masuk,” ajak Fakhri lembut.
Longlai dek kerana masih terlalu mengantuk dan penat. Sebaik sahaja masuk dia terus naik ke atas. Di hadapan pintu, dia teraba-raba pintu yang masih tertutup. Fakhri yang baru muncul di belakang isterinya, terpaku seketika memerhatikan gelagat sang isteri.
“Kat mana bilik?” tanya Afyra lantas memandang ke arah kamar lain. Dia berjalan ke arah kamar itu pula.
“Ni, sayang. Betullah ni. Nak pergi mana pulak tu?” tegur Fakhri lantas menarik tangan isterinya. Mengigau ke apa?
Afyra menggaru kepalanya seketika. Tanpa memandang suaminya pintu kamar itu terus dibukanya.
“Oh.. betullah kat sini.”
Fakhri terus ketawa. Sahlah isterinya mamai tadi. Bilik sendiri pun tak kenal. Sebaik sahaja ternampak katil, Afyra terus menghumbankan tubuhnya ke situ. Sambung tidur!
Fakhri menggeleng semata. Tudung pun tak sempat ditanggalkan. Afyra dah terbongkang melayan mengantuk. Sudahnya dia pergi dekat kepada sang isteri. Stoking di kaki wanita itu ditanggalkan. Kemudian tudung pula. Tubuh wanita itu diangkat sehingga kepala Afyra terletak elok di atas bantal.
Perempuan itu langsung tidak membuka mata biarpun dia tersedar saat tubuhnya dikalihkan. Fakhri duduk di sebelah wanita itu. Raut yang sedang lena itu terus ditatapnya tanpa jemu.
Dia teringat kata-kata bapa mentuanya siang tadi.
“Seorang wanita yang sudah ditentukan buat kamu. Buruk atau baiknya, itulah milik kamu. Jika buruk, bentuklah dia sehingga menjadi elok. Kelebihan itu Allah berikan kepada setiap lelaki. Setiap sesuatu yang sudah Allah berikan kepada hamba-Nya itu ada kebaikannya. Tidak mungkin Allah akan memberikan sesuatu yang sempurna. Pasti ada cacat celanya supaya setiap manusia itu mahu berusaha dan belajar tentang sesuatu.”
Kau memang rugi, Naquib.. bisik hati Fakhri. Sedikit pun tidak pernah merasa kesal. Malah beruntung. Abangnya membuang wanita ini begitu saja. Akhirnya menjadi haknya.
Fakhri tunduk sedikit. Pelipis sang isteri dikucupnya berkali-kali. Seketika kemudian Fakhri bangkit semula. Pakaiannya ditanggalkan sebelum dia masuk ke kamar mandi. Ketika dia mengenakan pakaian tidur ke tubuhnya, Afyra bergerak di atas ranjang. Kemudian dia bangun lalu duduk.
“Yang..” sapa Fakhri lantas mendekat.
“Nak salin baju sekejap,” ucap Afyra sambil meraup wajahnya.
“Nak abang ambilkan?”
Afyra menggeleng sedikit. Dia terjaga kerana tidak selesa. Butang blausnya ditanggalkan satu persatu tanpa berganjak dari situ. Fakhri sekadar memerhatikan tindak tanduk sang isteri. Afyra mencabut blaus di tubuhnya lalu diletakkan di tepinya.
“Abang nak pergi kerja dah ke?” tanya Afyra saat terpandangkan Fakhri sedang merenungnya.
Fakhri ketawa kecil spontan. “Baru pukul 1 pagi, sayang. Dah nak suruh abang pergi kerja ke?”
“Oh ya..” Afyra melugu sambil mengetuk kepalanya.
“Tidurlah,” ucap Afyra perlahan.
“Tukar baju dulu. Abang nak tidur. Tapi abang risau, bini abang berjalan pergi rumah sebelah pulak,” jawab Fakhri lembut.
“Abang ni..” rungut Afyra rendah. Dia mengantuk. Otak pun rasa biol semacam saja. Lambat-lambat dia bangun lalu mencapai tuala.
Selesai mengganti pakaian tidur, Afyra terus memanjat katil. Melihat lelaki itu sedang terlentang memandang atas, terus dia mendekati lelaki itu. Lengan Fakhri ditariknya lalu kepalanya diletakkan di atas lengan itu.
“Jangan tolak abang sampai jatuh katil ya?”
“Ia..” jawab Afyra perlahan sambil tersenyum sendiri.
“Tidur. Abang peluk.”

Afyra tersenyum dalam mata yang terpejam. Saat lelaki itu mendakapnya, hati terasa amat nyaman. Di situlah tempat yang paling aman buat dirinya. Jauh dari segala kekusutan dunia. Dan dia mahu begitu saja sampai bila-bila!

Isnin, 15 Ogos 2016

BAB 20 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 20
MASAK apa ni? Belum sihat lagi, kan?” tanya Fakhri sebaik sahaja tiba di dapur.
“Nasi goreng aja,” jawab Afyra biasa.
Fakhri memandang nasi goreng di dalam kuali. Spontan liur ditelan. Sudah lama tidak menjamah nasi goreng hasil tangan isterinya.
“Duduklah. Air abang dah ada atas meja,” tegur Afyra dalam nada ceria. Mood baiklah tu maknanya.
“Mari abang bawakan mangkuk tu ke depan.” Mangkuk di tangan Afyra segera diambilnya. Fakhri terus ke ruangan makan. Di atas meja sudah siap beberapa hidangan lain. Semuanya membuka seleranya.
“Abang kerja hari ni?”
“Kerja.” Fakhri menoleh sekilas. Afyra mengambil tempat di sebelahnya.
“Jangan balik lambat ya? Boring duduk seorang,” rungut perempuan itu perlahan.
“Insya-Allah.. abang tak janji. Banyak kerja tertangguh sebelum ni,” jawab Fakhri lembut.
Afyra diam. Nasi goreng dicurahnya ke dalam pinggan sebelum disorong kepada Fakhri. Melihat Afyra tidak membalas Fakhri memalingkan tubuhnya ke arah wanita itu.
“Apa planning hari ni?” tanyanya lembut.
“Nothing in mind,” jawab Afyra biasa.
Really? Jangan angkat barang berat-berat ya? Abang ingat kedudukan setiap objek dalam rumah ni. Jangan nanti bila abang balik, peti ais dah berubah ke tempat lain. Tak mahu,” ucap Fakhri lagi.
Tanpa begitu kelihatan, Afyra menguntum senyuman sendiri. Seketika kemudian barulah dia memandang lelaki itu. Fakhri masih setia membaca reaksinya.
“Eat!” dengusnya sengaja dalam nada jengkel.
Fakhri tetap pegun memerhatikan setiap gerak geri isterinya.
“Ialah. Orang tak buat!” rengus Afyra akur akhirnya.
Good girl. Macam ni baru abang senang hati,” balas Fakhri lantas mendekatkan wajahnya kepada sang isteri.
 Dalam keadaan tidak sedar, Afyra terkedu apabila bibirnya disentuh lelaki itu sekilas. Terpegun dia memandang pinggan. Sesaat dua kemudian barulah wajah lelaki itu dicari dengan dua bola matanya. Fakhri masih menatapnya penuh minat.
What?” soal Afyra hairan dengan gelagat Fakhri.
Baru sahaja lelaki itu cuba mendekatkan wajahnya kepada wanita itu, Afyra lebih pantas mengangkat cawan ke bibir. Sengaja dihirup air itu dengan bunyi hirupan yang agak kuat.
“Ahhhh.. so hot!” Afyra mendesah dengan wajah selamba.
“Siapa? Abang ke?” ucap Fakhri dalam pada menahan senyum di bibir.
“Excuse me. Not you, okay! Breakfast ni lebih mengenyangkan berbanding bercium depan pinggan. Tak best langsung!” ucap Afyra sambil meletakkan semula cawan itu di atas meja.
Fakhri ketawa spontan. Nakal betul perempuan seorang ini. Sudahnya dia kembali memandang pinggannya. “My favourite,” ucapnya senang. Setelah sepotong doa dibaca, sudu terus dilarikan ke mulut.
“Emm.. sedap,” puji Fakhri jujur. Makin lama makin berselera menikmati hidangan yang ringkas itu.
Afyra menoleh sambil tersenyum. Suka memandang lelaki itu makan. Beruntunglah dia mendapat suami yang lidahnya tebal dengan selera Melayu.
“Tambah lagi?” pelawa Afyra sambil membawa dekat mangkuk nasi goreng kepada suaminya.
Fakhri terus mengangguk. “Kalau macam ni tengah hari nanti abang puasalah.”
“Kenapa pulak?” Afyra mengerut kening sedikit.
“Sarapan sampai dua pinggan. Rindu masa kita baru kahwin. Setiap hari sarapan nasi goreng,” ujar Fakhri lembut.
“Itu aja makanan yang senang dan mengenyangkan,” balas Afyra. Ikutkan dia, dia lebih sukakan nasi lemak. Masalahnya, dia bukannya pandai benar memasak nasi lemak di rumah. Tidak pernah cuba.
“Ini aja pun dah cukup. Janji ada alas perut dahlah.”
Afyra memandang suaminya sambil tersenyum. “Dulu waktu abang sendiri, abang masak apa di rumah?” tanya Afyra.
“Jarang memasak. Malas. Makan seorang, kos membeli lebih murah berbanding masak, sayang. Lainlah kalau berkeluarga.”
Betul juga, bisik hati Afyra. 
“Kalau Fira tanya satu soalan, boleh?”
Fakhri sekadar menoleh. Menanti apa yang hendak ditanyakan isterinya.
“Sebelum ni abang pernah ada girlfreind tak? Emm.. berapa ramai?” perlahan sahaja soalan itu teralun.
Kening Fakhri berkerut sedikit. “Lepas tu nak kenal orangnya. Nak tahu dia dah kahwin ke belum. Rumahnya di mana. Kerja apa,” teka Fakhri.
Berubah sedikit wajah Afyra. “Mana ada. Saja nak tahu ajalah. Tak ingin pun nak tahu siapa orangnya,” ujar Afyra lantas mencebikkan bibirnya.
“Abang tak ada girlfreind sebelum ni. Tak pernah ada.”
“Tipu.” Afyra peluk tubuh sambil bersandar memandang gelagat Fakhri.
“Kenapa abang nak tipu? Kalau pernah ada, abang jawab pernah ada. Kalau tak ada, abang cakap tak adalah,” jawab Fakhri selamba.
Afyra diam. Macam sukar dia hendak percaya yang Fakhri tidak pernah memiliki teman wanita sebelum ini. Nak kata orangnya tidak berupa langsung.. tidak juga. Tidaklah tampan benar seperti pelakon di kaca tv. Sederhana rupa parasnya. Sedap mata memandang. Masakan tiada wanita yang sudi menjadi teman? Atau Fakhri yang terlalu memilih?
“Kenapa tiba-tiba tanya soalan ni?” ucap Fakhri.
“Tak ada apa. Saja nak tahu.”
“Lepas abang berhijrah ke KL dulu, abang sibuk dengan diri dan hidup abang sendiri. Susah senang tak ada siapa yang tolong. Abang nak bangunkan kehidupan sendiri sebelum fikir soal perempuan,” luah Fakhri usai menghabiskan nasi di dalam pinggannya.
“Kemudian?”
Fakhri termenung seketika memandang ke hadapan.
“Abang habis diploma. Teringin nak merasai pengalaman di negara orang. Abang dapat tawaran sambung belajar di Australia. Walaupun waktu tu abang masih tak berapa yakin, beranikan diri aja melangkah keluar dari negara ni. Waktu tu abang tak ada biasiswa atau pinjaman. Abang nekad aja. Tapi mujurlah kawan-kawan senegara ada. Susah senang bersama.”
“Wow..” terpaku seketika Afyra memikirkan keadaan itu. Dalam bayangannya, sudah tentu keadaan selepas itu tidak semudah yang dibayangkan. Dia yakin itu.
“Abang kerja apa kat sana?” tanya Afyra lagi.
“Banyak. Kerja ladang buah selalunya. Tapi kerja ni hanya waktu cuti sem aja. Kebanyakan masa abang buat business online. Abang beli barang-barang di sana, jual melalui internet. Kemudian kerja di hypermarket pun ada. Waktu tu kami berempat. Abang, Haiqal, Fendi dan Syahib. So, memang tak terasa sangatlah susah walaupun dalam kebanyakan masa memang terpaksa berjimat cermat. Abang memang jenis menyimpan bila ada sesuatu yang abang mahukan.”
Terpaku Afyra memandang Fakhri. Sesusah-susah dia ketika di London dahulu, tidak pernah lagi terpaksa membuat kerja lebih masa untuk menampung kos kehidupan di sana. Hanya perlu berjimat cermat dengan wang belanja yang diberikan ayahnya. Dia berkerja secara part time di Royal Buhler ketika cuti musim panas secara sukarela. Tapi dia kagum dengan Fakhri. Panjang akal biarpun tercampak ke mana saja.
“Abang kata tadi, abang menyimpan duit bila ada sesuatu yang abang mahukan. Maksudnya?”
“Business. Bertahun-tahun hidup bergantung kepada hasil berniaga, abang tak betah hidup makan gaji. Abang nak tentukan sendiri kerja apa yang abang nak buat. Balik ke KL abang diambil bekerja di satu syarikat swasta. Tapi hanya lima bulan aja abang bekerja di situ. Kami berempat ambil masa yang singkat untuk buka perniagaan sendiri. Mula-mula syarikat printing. Kemudian kami explore bidang yang paling dekat dengan itu. Maju ke depan sikit. Kami buka syarikat penerbitan buku. Dua syarikat tu abang yang uruskan,” tambah Fakhri lagi.
“Kawan-kawan abang?” tanya Afyra.
“Haiqal masih berkerja. Fendi dan Syahib buka syarikat pelancongan. Mereka berdua lebih pakar dalam bidang pelancongan,” jawab Fakhri.
“Ialah.. banyak pergi luar negara, kan? Kalau Fira, of courselah Fira pilih untuk manage syarikat tu berbanding dua lagi tu,” sampuk Afyra.
Fakhri ketawa kecil. “Tapi semenjak setahun yang lepas, Fendi dan Syahib dah tak buat kerja di luar. Abang tak mampu nak uruskan semuanya sendiri dalam keadaan Haiqal jarang tunjuk muka. Mula-mula dulu susah juga. Bila dia orang tak ada, abang terpaksa uruskan semuanya sendiri. Mujur jugalah staff ada yang berpengalaman. Itu pun terpaksa kerja lebih masa sebab tak mampu nak gajikan ramai kakitangan. Semua kena buat sendiri.”
Afyra mengangguk perlahan tanda jelas dengan kedudukan sebenar. Fakhri tersenyum sambil meletakkan tangan di belakang Afyra.
“Abang tak pernah ada teman wanita. Inilah perempuan pertama yang ada dalam hati abang.” Fakhri mencuit manja pipi sang isteri.
“Agak aneh bila seseorang sanggup berkahwin dengan orang yang dia tak kenal melainkan ada sebab tertentu, kan?”
“Betul. Abang setuju.”
“So?”
“Apa?” Fakhri tercengang sedikit saat merenung tampang isterinya.
“Jangan cakap abang kahwin dengan Fira sebab cinta. Fira tak percaya,” ujar Afyra.
Lelaki itu menghela nafas perlahan. “Perlu ke kita selongkar semua tu lagi? Penting ke? Atau nanti akan jadi gaduh aja?”
Afyra terdiam pula. Pinggannya dipandang lama.
“Hakikatnya kita sama-sama tak berfikir panjang waktu itu, kan? Sama aja, Fira. Abang pun begitu.” Fakhri bersuara lagi.
Afyra masih berdiam namun kali ini pandangannya dihalakan kepada Fakhri.
“Jangan pandang abang macam tu. Macam tak puas hati. Boleh tak kalau kita lepaskan aja semua tu? Hari ini lebih penting, kan?” ucap Fakhri bersungguh.
“Saja nak tahu,” jawab Afyra rendah.
“Yang penting jangan ada di antara kita berdua yang merasa kesal dengan perkahwinan ni,” ujar Fakhri lagi.
Perlahan Afyra mengangguk. Benar. Untuk apa terus mengungkit kisah itu lagi?
“Naquib ada jumpa Fira sebelum ni?” tanya Fakhri.
“Ada. Beberapa hari sebelum Fira masuk wad hari tu.”
“Apa dia cakap?”
“Tentang abang atau tentang Fira dan dia?” balas Afyra sekadar bersahaja.
“Apa-apalah yang perlu abang tahu. Tentang abang, abang dah lama tahu apa tanggapan dia.” Fakhri menoleh semula sambil mencapai cawannya. Biarpun hati pedih, dia mahu tahu. Adakah Naquib cuba memikat isterinya lagi.
“Apa dah jadi dengan ex wife dia tu ya?” tanya Afyra tanpa terus menjawab kata-kata suaminya.
“Jadi apa?” tanya Fakhri hairan.
“Kenapa dia orang bercerai dulu?”
Fakhri diam seketika. Cuba memikirkan apa-apa yang penting tentang kisah Atikah dan Naquib.
“Abang ceraikan dia sebab mak cik. Kak Ika pernah bergaduh dengan mak mentua dia. Mak cik tu suka masuk campur hal dia orang berdua sampai dia tak tahan.”
“Ha-ha. Dah boleh agak. So atas reason yang sama juga dia putuskan hubungan dengan Fira dulu, kan? Anak mak,” komen Afyra perlahan.
Fakhri ketawa kecil. Istilah itu lebih sesuai untuk Naquib. Dia tahu, semenjak dulu lagi Naquib lebih rapat dengan ibunya berbanding ayah mereka. Ayahnya sekadar pak turut semata.
“So, kita ni kira serilah, kan?” ucap Afyra perlahan.
Fakhri menoleh semula kepada isterinya. Kemudian dia menggeleng.
“No. Abang nak kita bermula semula.”
“To be honest.. pertama kali abang jumpa Fira, abang rasa Fira ni cantik tak?” tanya Afyra sambil menyendengkan tubuhnya kepada Fakhri. Sambil itu dia buat-buat membetulkan rambut. Sisi paras suaminya ditatap tanpa jemu sehingga Fakhri mula membalas pandangannya.
“Perasannya mak cik seorang ni!” ucap Fakhri sambil menggeleng sendiri. Ada-ada aja perempuan seorang ini.
Usai menikmati sarapan, lelaki itu meminta untuk beredar. Afyra menghantarnya sehingga ke pintu.
“Call abang kalau ada apa-apa. Kunci pintu,” ucap Fakhri sambil tunduk sedikit mengucup dahi sang isteri.
“Sure,” jawab Afyra sambil mendakap lelaki itu. Hangat perasaannya di awal pagi begini.
“Abang tak mahu ingat lagi tentang dulu. Abang hanya nak ingat tentang hari ni,” ujar Fakhri lunak.
“Tak mahu rahsia-rahsia dah lepas ni,” balas Afyra lembut.
“No more.” Fakhri tersenyum lunak. Damai perasaan dengan keharmonian yang ada. Sekali lagi dia tunduk mengucup dahi sang isteri.
“Sayang sikit.”
Spontan Afyra membuat mimik muka lucu dengan bibir termuncung ke hadapan. Fakhri tergelak memandangnya.
“Ada-ada ajalah Fira ni,” gerutu Fakhri sambil menggeleng.
Di saat sang suami menyarung kasut di luar, Afyra sekadar memerhati di sebalik pintu.
“Bye, sayang.”
“Carefull please, my dear.” Afyra membalas dengan senyum manis.
“Okay.”
Setelah Fakhri berlalu, Afyra terus melabuhkan duduk di sofa.
“Dear abang.. jangan main mata kat luar ya? Ahhh.. seronoknya dapat bermalas-malasan di sofa. Tak payah buat kerja. Akukan sakit,” keluh Afyra seorang diri. Kemudian dia mengeliat.
“Abang kata kunci pintu, kan?” sergah satu suara.
“Arghh!!” spontan Afyra melompat dari sofa. Terkejut besar mendengar suara Fakhri semula. Pucat wajahnya memandang Fakhri di ambang pintu.
“Abang ni.. terkejut tahu tak!!” marah Afyra.
“Kunci pintu. Tak dengar ke abang cakap apa tadi? Sibuk tak bagi abang main mata,” ucap Fakhri lantas menanggalkan kasutnya. Terus dia masuk ke dalam lalu memanjat tangga. Afyra terkebil-kebil memandang. Boleh pulak dia sergah aku!
Sebaik sahaja turun, lelaki itu tercegat seketika memandang isterinya. Afyra membalas pandangannya dengan riak lugu.
“Kunci pintu. Nanti tertidur kat sofa tu. Kalau bini abang kena culik, siapa yang susah? Abang juga yang susah nak tidur nanti. Makan tak kenyang, mandi tak basah,” bebel Fakhri lantas meneruskan langkah ke pintu.
“Ialah. Nak kuncilah ni,” jawab Afyra sambil bangun membuntuti suaminya ke pintu. Saat lelaki itu mengenakan kasut, Afyra tersengih-sengih. Malu sendiri dengan perbuatannya tadi.
“Fira ada nak cakap apa-apa dengan abang ke?” tanya Fakhri sebelum dia berlalu.
“Emm.. tak ada apa.” Afyra menayang muka selamba.
“Betul?”
“Ialah. Jaga diri. Itu ajalah. Kan tadi dah cakap?” balas Afyra sambil tersengih.
Fakhri sekadar memandang isterinya melalui hujung mata. Tadi dia terdengar sesuatu yang berbunyi.. ‘jangan main mata di luar’.
“Okay, abang pergi dulu.”
“Jangan main cinta dengan perempuan lain kat luar ya?” dengan sekali nafas ayat itu meluncur dari mulut Afyra.
Fakhri menoleh semula. Sedikit senyum dihadiahkan kepada sang isteri. “Jangan nakal-nakal di rumah.”

Bukan main lebar lagi senyum Afyra. Lelaki itu dilambainya sehingga menghilang dari padangan. 

BAB 19 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 19
LEBIH seminggu ditahan di wad, kesihatan Afyra semakin baik. Setelah pihak doktor berpuas hati, dia diberikan kebenaran untuk pulang. Hanya itulah berita gembira yang dinantikan semenjak beberapa hari lalu.
“Tak mahu balik rumah mommy ke?” tanya Insyirah sambil membantu mengemas barang Afyra.
“Tak apalah. Fira tak apa-apa, mommy. Fira boleh jaga diri sendiri. Fira tak mahu susahkan mommy. Fira rasa kuat aja ni,” jawab Afyra bersungguh.
“Betul ke ni?” balas Insyirah lembut.
“Betul. Mommy dah beritahu apa yang perlu dibuat. Insya-Allah, kami tak apa-apa. Kalau ada apa-apa, Fira call mommy nanti,” ujar Afyra dengan sedikit senyuman.
“Doktor bagi cuti rehat, jangan fikir nak masuk kerja awal pulak. Pastikan diri tu sihat betul. Ingat apa yang mommy pesan sebelum ni. Makan jangan sembarangan,” balas Insyirah akur. Lagi pula dia lihat fizikal Afyra tidak lagi lemah. Sudah mampu berjalan sana sini.
Afyra sekadar mengangguk kepada ibunya. Selesai urusan pembayaran, Fakhri membawa beg pakaian isterinya ke bawah. Afyra masih di atas bersama ibunya.
“Ada masa mommy ajaklah Rania datang. Kadang-kadang Fakhri tak ada. Bosan juga duduk rumah seorang,” ucap Afyra sambil memegang tangan ibunya.
“Mommy bukan tak mahu. Tapi Rania tu faham-faham ajalah mulutnya. Cakap main ikut sedap dia aja. Nanti kecil hati Fakhri. Mommy pun tak suka sangat ganggu orang baru kahwin ni,” jawab Insyirah perlahan.
“Tak ada apalah. Dia memang macam tu, kan? Biar ajalah.” Afyra tersenyum sendiri mengenang adik bongsunya itu. Mulut banyak sama macam dia.
Setelah semua barang dibawa turun, barulah Fakhri mengajak isterinya keluar dari kamar itu. Walaupun sekadar baru lepas mengalami keguguran, rupa Afyra dah macam orang dalam pantang dengan baju sejuk dan stoking.
“Hati-hati.” Lelaki itu terus mencapai tangan Afyra saat mahu masuk ke lif. Mereka bertiga turun bersama ke lobi.
“Mommy tak ikut sekali? Saya boleh hantarkan terus ke rumah,” pelawa Fakhri.
“Tak apalah, Fakhri. Saad ada di depan tu,” jawab Insyirah.
Sebelum masuk ke dalam kereta, Afyra sempat mendakap ibunya. “Thank you so much, mommy.”
“Jangan gaduh-gaduh ya? Sabar banyak-banyak. Tengah sakit begini banyak pahala Allah beri kalau kita sabar. Jaga mulut. Jangan cakap bercakap kasar pada suami,” pesan Insyirah. Kedua-dua belah pipi anaknya itu dikucup bergilir. Kemudian berakhir di dahi.
“Kirimkan salam saya pada daddy ya?”
“Ialah. Jaga isteri kamu baik-baik,” pesan Insyirah kepada menantunya itu pula.
“Insya-Allah..” Fakhri tersenyum lembut kepada Insyirah.
Fakhri terus memandu pergi setelah melihat ibu mentuanya masuk ke dalam sebuah kereta tidak jauh dari situ.
Sepanjang perjalanan Afyra hanya memandang ke luar. Namun dia perasan, hala tuju kereta ini tidak lagi ke rumah mereka. Fakhri membelokkan kereta menuju ke lebuh raya persekutuan. Malah semakin jauh pula perginya.
“Kita ke mana?” akhirnya Afyra menoleh.
“Rumah kita,” jawab Fakhri dengan sedikit senyuman.
 Afyra tidak bertanya lagi. Sekadar bersandar di kerusi sambil memandang sekeliling.
“Aku dah bawa barang-barang kau ke sana. Kereta pun aku dah pindahkan ke sana,” ujar Fakhri sambil meletakkan tangannya di atas tangan Afyra.
“Okay..” jawab Afyra perlahan.
Fakhri menoleh semula kepada isterinya. Macam tidak berminat sahaja lagak Afyra.
“Lepas ni mungkin perjalanan untuk kau pergi kerja agak jauh. Aku boleh hantarkan. Aku biasa masuk kerja jam 10.”
“Okay.”
“Kita balik terus ya? Tak ada apa-apa nak bawak balik lagi, kan?” ujar Fakhri lembut.
“Okay.”
Okay lagi! Rungut hati Fakhri. Itu aja dialog Afyra sekarang. Namun dia hanya berdiam menahan sabar. Kalau dia marah pun apa guna jika isterinya dua kali ganda lebih marah kepadanya?
Pemanduan diteruskan sehingga mereka tiba di pesisir daerah Shah Alam. Kereta Fakhri mula memasuki satu kawasan perumahan berkembar dua Semi-D di kawasan Bukit Jelutong.
“Home sweet home,” ucap Fakhri setelah berhenti di hadapan rumah itu.
Afyra menoleh ke arah lelaki itu sekilas. Terus sahaja dia membuka pintu. Macam sudah tidak sabar mahu keluar.
“Slowly,” tegur Fakhri. Cepat sahaja dia keluar dari kereta untuk mendapatkan isterinya.
“I’m fine!” tegas Afyra enggan membiarkan dirinya dilayan macam orang kurang upaya.
“Jom masuk,” ajak Fakhri. Isterinya tetap dipimpin menuju ke pintu rumah.
“Kau masuk dulu. Aku ambil beg ya?” ucap Fakhri setelah membuka pintu.
Afyra terus masuk tanpa menjawab. Tubuhnya dibawa ke sofa dan dia terus duduk. Baju sejuknya ditanggalkan. Kemudian stoking yang membaluti kaki juga ikut ditanggalkan. Fakhri sempat memandang isterinya saat meletakkan beg di depan pintu. Melihat itu, Afyra bangun semula.
“Tak payah. Biarkan kat situ,” tegah Fakhri.
“It’s okay. Aku boleh angkat yang ringan ni.”
“Ada aku suruh angkat beg tu ke?” ucap Fakhri dengan pandangan tajam kepada si isteri.
“Bila aku kata tak payah. Maknanya tak payah. Biar aku buat,” tegas lelaki itu tidak senang.
“Yes. Of course!” Afyra mencebik sambil menjeling lelaki itu. Terus sahaja dia berpaling semula sofa dan duduk semula. Sudahnya dia sekadar memandang ruang tamu itu. Tv sebesar-besar tv! Sofa jenis kulit yang pastinya belas ribu-riban harganya! Cantik. Mewah. Nampaknya citarasa ‘suamiku bukan penganggur rupanya jutawan’ itu tidak alang-alang juga.
Kemudian dia bangun menuju ke dapur. Mencari apa yang dirasakan amat penting. Okay, peti ais ada. Mesin basuh ada juga. Afyra memandang sekeliling lagi. Dapur itu lengkap. Afyra terus mengitari dapur itu tanpa sedar Fakhri telah datang kepadanya.
“Cari apa?” bisik lelaki itu sambil memaut bahu Afyra. Belakang kepala isterinya dikucup sekilas. Afyra sekadar menoleh sedikit ke tepi.
“Aku rasa aku tahu kau cari apa,” ucap Fakhri lunak.
“Aku cuma nak tahu kau ada beli washing machine ke tidak.”
“Aku dah dapat agak tu.” Perlahan lelaki itu menurunkan tangan ke pinggang Afyra. Tubuh isterinya dipeluk dari belakang. Namun kemudian dia perasan yang Afyra masih kemas bertudung.
“Kenapa masih pakai tudung dalam rumah?”
Peluang yang sedang terbentang segera digunakan Afyra untuk menjauhkan diri. Tanpa kata dia ke hadapan semula. Beg-begnya masih bertaburan di hadapan pintu. Lambat-lambat Fakhri mengekori isterinya sehingga ke ruang tamu semula.
“Kita nak atas ya?” ajak Fakhri. Dua buah beg yang menghalang pintu itu dialihkan ke tepi. Pintu ditutupnya. Setelah pintu tertutup rapat barulah Afyra membuka tudungnya.
“Aku nak duduk kejap,” ucap Afyra sambil memegang perutnya. Waktu begini dia mesti makan sesuatu. Teringat pula kepada makanan yang diberi oleh emaknya tadi. Tidak jadi mahu duduk. Bekas tupperware yang terbiar di tepi longgokan beg itu diambilnya.
“Fira..” panggil Fakhri sewaktu belum jauh wanita itu berlalu.
Afyra sekadar menoleh dengan pandangan biasa.
“Boleh tak kalau kita jangan terus begini?”
“Aku nak makan dulu,” jawab Afyra tanpa memandang Fakhri.
Fakhri segera mendekati sang isteri. Kemudian dia duduk di hadapan isterinya. “Fira.. pandang sini.”
“Apa lagi yang kau nak?” balas Afyra sedikit tidak senang.
“Aku nak isteri aku yang dulu.” Fakhri membalas dengan tatapan tepat ke dalam mata sang isteri. Cuba membaca apa yang tersirat di sebalik kedinginan yang ada antara mereka. Apa sebenarnya yang Afyra mahukan darinya. Dia akan cuba memberikannya.
Afyra berdiam memandang sang suami.
“Aku suami kau. Aku sayangkan kau, Fira.”
“Apa yang ada depan mata kau selama ni tak cukup? Apa lagi yang kau nak aku beri pada kau, Fakhri?” balas Afyra keliru. Tatapan sang suami dibalas dengan kerutan di kening.
Fakhri diam pula. Dagu tirus isterinya diusik dengan dua jarinya. Namun fikirannya ligat bermain. Selama ini dia tidak tersedar akan sesuatu yang penting dalam hidupnya. Diberikan seorang wanita yang sangat mudah dan ringkas di samping cabaran hidup berumah tangga yang terasa susah bagi mereka yang tidak arif seperti mereka. Tetapi sikap suka mengambil mudah menyebabkan mereka jadi begini. Setiap pertanyaan Afyra dijawab mahu tidak mahu. Dalam diam ada ego yang dibelanya.
“Kau tahu.. daddy aku paksa aku kahwin dengan seseorang yang dirasakan bagus. Bukan sempurna. Tapi dia mampu jadi suami. Sayangnya, aku jadi macam ni. Jadi cakaplah.. apa lagi yang aku tak berikan pada kau sampai kau buat aku macam ni. Aku dah pikul semua kesalahan masa lalu aku. Apa lagi yang kurang?” ucap Afyra mula bergetar nadanya. Lekas air matanya bertakung.
“Bukan salah kau. Salah aku.”
“Tapi hukumannya aku yang terima, kan? Sebab Naquib. Aku tak mampu nak padamkan kisah lalu aku dengan dia! Kenapa kau nak simpan lagi bekas kekasih abang kau ni ha? Kau mampu hadap muka aku dengan rasa benci tu?” sanggah Afyra.
Fakhri diam semula. Berkali-kali dia menghela nafas agar dirinya tetap tenang.
“Tiga bulan, Fakhri. Baru dua minggu aku tak pedulikan kau, kau rasa apa? Seronok tak? Malam tu kita bergaduh, esoknya aku bangun pagi aku harap kau akan berubah. Tapi kau makin jauhkan diri. Kau balik lambat, kau tidur di luar. Macam dah jijik sangat dekat aku ni! Aku rasa aku ni memang perempuan tak tahu malulah. Orang dah tak mahu masih mahu berharap!”
“Bukan macam tu. Aku pun runsing. Aku tak tahu apa nak buat untuk pujuk kau. Aku tak pernah berniat nak buat keadaan sampai jadi begini. Percayalah,” ucap Fakhri bersungguh.
“Jadi kau hanya main-mainlah ya? Lepas kau dah puas barulah kau ambil aku jadi isteri kau yang sebenar-benarnya. Tak logik, Fakhri. Kau tak mahu mengaku tapi aku tahu itu memang betul, kan?”
“Fira, boleh tak kalau kau maafkan aku sekali ni. kita lupakan semua yang dulu tu. Aku ikhlas kali ni, Fira. Tolonglah beri aku peluang. Kau nak hidup macam orang lain, aku pun begitu, Fira. Apa terjadi antara aku dan Naquib sekali pun, kau tetap isteri aku,” ujar Fakhri lembut.
“Yang boleh kau layan seperti apa sahaja yang kau nak. Satu KL ni boleh kenal kau siapa. Tapi aku tak kenal kau. Aku orang luar. Setiap hari kau pandang aku sebagai bekas kekasih Naquib, kan? Bukan sebagai isteri kau,” sambung Afyra tanpa bertangguh.
“Itu dulu. Aku sanggup mengaku apa saja kalau itu boleh buatkan kau puas hati. Tapi boleh tak kalau kau maafkan aku lepas ni?”
Fakhri menghela keluhan perlahan sebelum meluahkan bicara. “Aku mengaku aku cemburu selama ni. Aku sakit hati bila lelaki macam dia menjadi keutamaan kau berbanding aku. Kenapa bukan aku? Waktu ayah beritahu yang Naquib tak mahu bernikah, aku setuju dengan permintaan ayah begitu saja. Aku tak fikir kesannya. Aku buat silap. Tapi sekarang aku dah menyesal. Berilah aku peluang untuk perbetulkan kesilapan aku.”
Afyra terus merenung tampang suaminya. Lama. Dia tahu masih ada yang Fakhri rahsiakan darinya. Penjelasan itu telah dipintas menjadi pendek oleh Fakhri.
“Aku betul-betul minta maaf, sayang. Aku tahu kau rasa terhina dengan apa yang aku buat sebelum ni. Sepanjang seminggu ni, baru aku sedar.. aku dah tersilap banyak dalam menilai siapa kau sebenarnya. Kau tak pernah malukan aku depan orang tua kau. Daddy sentiasa pandang aku. Aku tahu dia benar-benar nak tahu apa yang dah terjadi antara kita. Sikit pun kau tak buka mulut cerita masalah kita. Aku tahu kau terlalu berbeza berbanding apa yang aku bayangkan selama ni,” ucap Fakhri bersungguh.
Fakhri diam seketika sambil menjatuhkan pandangan. Dia tahu sukar mahu menepis kisah itu dari hidup mereka. Terlanjur cinta, mata jadi buta. Terlanjur kata hati jadi binasa.
“Aku yang ada depan kau sekarang itulah suami kau yang sebenar, Fira. Aku tak ada apa nak disembunyikan lagi. Ya, semua ni hak aku. Aku usahakan semenjak dulu. Aku bukan tak ada kerja. Cuma aku bekerja ikut masa aku sendiri. Aku uruskan tiga perniagaan yang dikongsi dengan kawan-kawan aku yang aku kenal waktu di Sydney dulu,” ujar Fakhri.
“Sekarang aku menyesal kerana bercinta dengan Naquib dulu. Kalau aku tahu kau lebih hebat dari dia, dah lama aku tinggalkan dia untuk kau. Sekarang ni, aku nak kau ambil pembantu rumah ramai sikit. Sebab aku penat buat kerja rumah waktu kita di rumah buruk tu. Dahlah buruk, sempit pulak tu. Kau tak tahu betapa bencinya aku duduk rumah begitu. Untuk apa ada suami kaya kalau aku juga yang kena basuh kain baju kau.” Afyra menjawab selamba. Bekas makanan di tepi Fakhri diambilnya dan dia terus ke dapur.
Bisa. Namun Fakhri hanya mampu menghela nafas perlahan. Sabar sajalah. Dia tahu dia yang memulakan keadaan ini. Sudahnya dia membawa naik beg isterinya ke atas. Sempat dia memandang kamar tidur mereka. Masih sama seperti ditinggalkan beberapa minggu lalu.
Usai menunaikan solat, Fakhri turun ke bawah semula mencari Afyra.
Konon tidak mahu buat kerja rumah, mahu orang gaji. Dia lihat Afyra sibuk menyelongkar dapur. Entah apa dicarinya. Orang dapur tetaplah orang dapur.
“Cari apa, sayang?” sapa Fakhri lunak.
Afyra menoleh. “Gula ada? Kopi? Teh?” ucapnya. Dari tadi mencari tidak jumpa. Yang ada hanya paket kopi segera 3 dalam 1.
“Tak ada. Aku hanya beli nescafe dalam paket tu aja,” ujar Fakhri sambil mendekati isterinya.
Mendengar itu Afyra terus sahaja mengambil sepaket nescafe itu lalu dibancuh di dalam mug. Kemudian dibiarkan saja mug itu di situ. Sambil berlalu dia menjeling Fakhri.
“Untuk siapa air tu?” tanya Fakhri sebelum isterinya menjauh.
“Untuk suamiku hantu!” jawab Afyra sekadar sambil lalu.
 Terkedu Fakhri serta merta. Dia kata aku hantu?? Namun tidak dipedulikan mug itu. Dia mengekori Afyra ke ruangan makan. Wanita itu sedang mencedok nasi.
“Dah ambil ke airnya? Jomlah makan cepat,” ucap Afyra.
“Janganlah marah lama-lama. Kesian aku ni. Kurang kasih sayang,” ucap Fakhri sambil memeluk wanita itu dari belakang. Erat.
“Biarlah aku nak marah berapa lama pun. Bukan guna hati kau pun. Sibuk aja nak kawal-kawal hati orang,” cebir Afyra selamba.
“Aku tak suka bergaduh dengan kau, Fira. Janganlah macam ni.”
“Aku suka. Kau tu jenis suami, bila aku cakap elok-elok, kau main-mainkan aku. Bila mulut aku ni dah jahat, baru kau nak merayu-rayu. Padan dengan muka kau!” balas Afyra pantas.
“Ialah. Aku tahu aku dah buat silap. Takkan tak ada maaf langsung,” ujar Fakhri mula merendahkan suara. Meminta simpati.
“Tak ada mood nak maafkan kau sekarang. Aku nak makan. Badan aku dah rasa lain macam,” jawab Afyra selamba.
“Okaylah. Jom kita makan,” sambut Fakhri akur. Kerusi terus ditarik lalu punggung dilabuhkan. Matanya terus memerhatikan isterinya menyenduk nasi ke dalam pinggannya.
Sepanjang duduk berdua di meja makan, dua manusia itu lebih banyak berdiam. Suapan Fakhri amat lambat. Sesekali dia memerhatikan sang isteri. Afyra nampak berselera. Mungkin sedang lapar.
Seketika kemudian lelaki itu termenung pula merenung nasi di dalam pinggan. Ralik berfikir sendiri. Sesungguhnya dia sedar. Ada sesuatu tentang mereka yang perlu diubah jika ingin hidup seperti orang lain.
 “Fira..” keheningan ruangan makan itu dicelahi oleh suara Fakhri.
Afyra sekadar memandang lelaki itu sekejap. Nasi yang masih bersisa di dalam pinggan kembali disuap ke mulut.
“Aku perasan sesuatu. Waktu kita di hadapan orang tua kau, kau tak pernah biarkan mommy dan daddy dengar kita membahasakan diri aku kau.”
“So?” jawab Afyra sekadar sepatah.
“Kita tak selamanya dapat berlakon di depan orang lain, kan? Lama kelamaan dia orang akan tahu juga ada yang tak kena dengan kita. Abang tak sanggup berhadapan dengan daddy tentang itu. Abang malu. Orang tua Fira terlalu baik pada abang selama ni.”
Wajah Afyra berubah sedikit saat menoleh kepada Fakhri. Lelaki itu masih merenung tampangnya tanpa jemu.
“Kita kena ubah sebelum ini jadi kebiasaan sehingga sebati dalam diri kita,” ujar Fakhri lembut.
Afyra memandang suaminya sekilas.
“Abang suami. Fira isteri. Kita perlu ada adab sopan dalam membahasakan diri masing-masing,” luah Fakhri lagi.
“Ialah. Abang tahu..” Afyra tersentak tiba-tiba. Tidak semena-mena apa yang hendak diucapkan lenyap dari mindanya. Kosong. Dia melugu memandang ke hadapan dengan kerutan di kening. Apa aku nak cakap tadi ya?
Fakhri tertunduk serta merta menahan rasa nak ketawa melihat gelagat isterinya.
“Gelaklah! Dah lupa apa nak cakap!” Afyra menjeling. Malu sendiri.
“Tak apa. Biar abang yang bercakap kali ni.”
“Ia.” Hanya itu yang mampu dijawab Afyra. Malu pula rasanya nak mengubah kebiasaan itu. Tadi itu agaknya dia tersasul.
“Boleh panggil abang? Jangan bahasakan diri aku lagi,” ucap Fakhri cukup lembut.
“Boleh aja,” jawab Afyra selamba. Janggal dan kekok. Tetapi sesungguhnya benarlah kata Fakhri. Masakan mereka mahu menjadi pasangan yang aneh? Membahasakan suami dengan panggilan engkau sedangkan berbicara dengan suami mestilah berlemah lembut.
Puas berdiam diri, seketika kemudian Afyra memberanikan diri membalas pandangan suaminya.
“Sepatutnya begitu. Tapi entahlah. Rasa janggal sebab dulu kita tak begitu kenal,” ujar wanita itu rendah.
“Tak apa. Yang dulu kita lupakan saja. Kita mulakan cerita yang baru. Abang ada buat salah. Abang harap dimaafkan dan diberikan peluang sekali lagi. Dengan begini, kita akan lebih dekat,” balas Fakhri dengan sedikit senyuman. Lapang hati mendengar nada akur sang isteri.
Afyra tidak menjawab. Baki nasi disuap ke mulutnya sambil memikirkan kata-kata Fakhri. Sejujurnya dia juga seperti wanita lain. Dia ingin merasa dibahagiakan. Juga membahagiakan.
“Abang tak mahu gaduh dengan Fira. Abang manusia biasa. Ada waktunya abang tersilap dan abang harap abang akan dimaafkan. Diberikan peluang sekali lagi. Dan abang takkan ulangi lagi kisah dulu. Abang janji. Cuma beri abang peluang sekali lagi. Itu aja,” ucap Fakhri bersungguh.
“Kalau peluang tu tak diberi, abang ingat kita akan ada di meja makan ni makan bersama?” balas Afyra pantas.
Fakhri terdiam seketika. Perlahan dia tersenyum. Sedar atau tidak memang Afyra sedang memberikan dia peluang.
“Kita takkan lalui keadaan seperti dulu. Abang lalai selama ini. Abang terlupa ada perasaan yang perlu dijaga.”
Afyra hanya diam mendengar kata-kata Fakhri. Sudikah dia memaafkan Fakhri begitu sahaja? Sejauh mana harapan itu mampu disandarkan? Tetapi hakikatnya, jika dibentangkan ruang, bagaimana bahagia itu akan hadir antara mereka?

WALAUPUN masih perlu menjaga kesihatan, tidak betah pula mahu melepak sahaja di atas ranjang. Petang tadi, setelah naik ke kamar barulah dia terlihat hampir kesemua pakaiannya rupanya sudah dipindahkan oleh Fakhri dari rumah sana semenjak sebelum itu. Kata Fakhri, hanya tinggal sedikit barang yang tinggal di rumah sana. Kebanyakannya tidak penting. Lega jugalah hatinya mendengar itu.
Namun setelah dikemaskan pakaiannya ke dalam ruangan pakaian, barulah dia perasan ada terkurang sesuatu. Sesuatu yang sangat penting langsung tidak kelihatan. Kain bajunya ada. Tudung, anak tudung, pin tudung semuanya ada. Tetapi ada dua persalinan yang amat penting tiada.
Afyra mula menggaru kepala. Mencari mana tahu ada beg lain yang tersorok tidak ditemuinya. Tiada pula. Semuanya beg yang ada sudah kosong. Fakhri yang baru masuk ke kamar itu, segera perasan gelagat aneh isterinya.
“Cari apa, sayang?” tanya Fakhri kehairanan.
“Semua baju Fira abang dah ambil ke?”
“Dah. Tak ada apa sangat dah kat rumah sana. Kenapa?” jawab Fakhri yakin dengan apa yang ada dalam ingatannya.
“Yang dalam kabinet bertingkat tu?”
“Kabinet mana pulak?” soal Fakhri sambil menggaru kepala. Berapa banyak kabinet pakaian yang mereka ada di rumah sana?
Afyra segera menghela nafas panjang. Sudah dapat mengagak Fakhri tidak ingat akan kabinet berlaci itu. Letaknya di belakang pintu kamar.
“Yang belakang pintu. Pakaian dalam Fira semua ada dalam tu. Mana ada kat dalam beg ni semua. Sehelai pun tak ada,” ujar Afyra sambil memandang beg pakaian yang terbiar di lantai.
“Ooo..” panjang lopongan Fakhri mendengar itu. Ia tak ia juga. Ada satu lagi kabinet di dalam kamar itu. Letaknya agar tersorok. Dia tidak perasan.
“Apa yang ooo?”
Fakhri ternganga pula. Cuba menutupi khilafnya. “Ooo tu bermaksud abang baru teringat tentang kabinet tu. Kabinet tu abang tak sentuh pun. Abang lupa langsung tentang kabinet tu,” jawab Fakhri perlahan.
“Habis tu macam mana sekarang? Pakaian dalam Fira yang bawak balik dari hospital semuanya baru masuk mesin basuh. Bogel ajalah untuk dua tiga hari?” ujar Afyra sambil mengerling lelaki itu.
“Yang bawah tu rasanya boleh pinjam abang punya. Tapi yang atas tu, nanti kejap. Bagi abang fikir dulu macam mana nak buat. Mesti ada jalan keluarnya.”
Afyra terus berlalu mendapatkan tuala. “Hmm.. Fikirlah sampai jumpa jalan,” desis Afyra selamba. Laju kakinya menuju ke kamar mandi.
Kemas. Lantai di dalam ruangan itu kering seperti kamar mandi hotel. Sambil berdiri di sinki dia membelek segala macam barangan peribadi milik Fakhri di dalam kabinet di sebalik cermin. Kemudian dia memandang sekeliling. Tab mandi sederhana besar. Kawasan pancuran hanya dilindungi oleh kaca jernih yang tembus oleh pandangan dari kedua-dua sisi. Motif?
Selesai menyegarkan wajah, Afyra keluar semula. Sebaik sahaja terlihat kelibat isterinya, Fakhri segera bersuara.
“Esok abang pergi ambil.”
“Nak ikut.”
“Tak payahlah. Nanti mulalah sibuk nak angkut barang sana sini. Mommy cakap apa sebelum ni? Jangan angkat barang berat, kan?” balas Fakhri sambil menggeleng tanda tidak senang dengan kehendak sang isteri.
Afyra diam pula. Benar. Bimbang dia lambat sembuh kalau terlalu aktif.
“Ambil mana yang penting dulu. Nanti kita pergi sana sama-sama. Clearkan mana yang ada,” ujar Afyra akur juga.
Fakhri mengangguk setuju. Esok dia masih tidak bekerja. Jadi eloklah dia ke rumah sana untuk menyudahkan kerja yang masih terbengkalai.
Nak apa-apa sebelum abang turun bawah?”
“Tak ada-apalah.” Afyra menjawab perlahan sambil mencapai baju sejuk miliknya di atas katil. Dia memandang Fakhri seketika sambil baju itu disarungkan ke tubuh. Stoking wajib dipakai! Kemudian Afyra terus membawa dirinya ke atas ranjang.
“Nak tidurlah. Penat. Good night.”
Fakhri sekadar membiarkan isterinya membaringkan tubuh tanpa membalas ucapan itu. Dia keluar dari kamar itu kemudiannya. Segelas air masak diambil di dapur. Kemudian dia naik semula bersama bungkusan ubat milik Afyra.
“Makan ubat dulu sebelum tidur,” ucap Fakhri sambil kampit ubat-ubatan itu dibuka satu persatu.
Terlihat apa yang dibawakan Fakhri, Afyra memaksa diri bangun semula. Lupa langsung tentang itu. Beberapa biji kapsul ditelan sekaligus sambil disulam dengan air.
“Dah?” tanya lelaki itu lembut.
Afyra mengangguk. “Thank’s a lot.”
Fakhri tersenyum memandang isterinya. Gelas itu diletakkan di atas meja di sisi katil. Buat seketika dia duduk menghadap Afyra sesudah wanita itu kembali berbaring. Selimut ditarik lembut menyelimuti separuh tubuh sang isteri.
“Like a baby,” usik Fakhri sambil mencuit dagu sang isteri. Afyra ketawa kecil.
“Ada kerja lagi ke?” tanya Afyra perlahan. Tidak penatkah lelaki ini?
“Ada. Fira tidurlah. Abang ada banyak kerja nak buat,” balas Fakhri sambil mengusap rambut isterinya.
“Cepat sembuh ya? Abang tahu Fira rasa tak selesa begini.”
Afyra hanya diam merenung tampang lelaki itu. Senyuman segera terukir di bibir. Seronok dibelai begitu. Sudahnya dia menarik Fakhri agar berbaring sama dengannya. Fakhri tersenyum senang. Nampak macam sudah terpujuk. Dia berbaring di belakang isterinya sambil mengusap belakang wanita itu berkali-kali. Disertakan dengan sedikit urutan di bahu. Mereka berdua berdiam buat seminit dua.
“I like that,” bisik Afyra separuh terlena.
Fakhri ralik berfikir sambil memerhatikan tindak tanduk isterinya. Tentang sikap dan tindak tanduk sang isteri yang mudah difahaminya.
Afyra tidak memerlukan kata-kata yang hebat untuk terpujuk. Dia akan terpujuk dengan sendirinya. Hanya berikan masa.
Fakhri menjengah, cuba memandang wajah isterinya dari belakang. Lama.
“I love you,” bisiknya perlahan. Kemudian dia tunduk mengucup pipi sang isteri. Afyra sudah tidak sedar. Perlahan dia turun dari katil. Kamar itu ditinggalkan senyap-senyap.
Di bawah Fakhri kembali duduk menghadap kerja. Telefon segera dicapai. Nombor seseorang dipanggil.
“Esok aku cuti lagi. Isteri aku baru keluar hospital,” ucap Fakhri. Buat seketika dia diam mendengar bicara orang di sana.
“Dia okay. Tak apalah. Kau email aja proposal tu. Aku semak. Tentang rancangan kita hari tu, kita bincang semula nanti. Aku bagitahu bila aku free. Tarikh tutup permohonan tender tu hujung bulan ni, kan?” ujar Fakhri kepada orang di sana.
Dia membisu lagi sambil memandang ke hadapan. Sesekali kepala diangguk.
“Okaylah kalau begitu. Kita bincang semula nanti. Bye,” ujar Fakhri lembut.
Panggilan dimatikan. Sebuah helaan nafas dilepaskan. Harap-harap permohonan untuk menjadi pengedar alat-alat tulis di beberapa buah pejabat berjaya. Kesunyian ruangan itu memudahkan dia untuk menghadap kerja yang masih belum sudah. Berpuluh email tidak sempat dibacanya sebelum ini. Kesemuanya perlu perhatian segera.
Setelah berjam-jam menghadap kerja, Fakhri naik semula ke atas. Sudah jam tiga pagi rupanya. Tubuhnya sudah letih benar. Namun sebelum naik ke katil dia terpaku melihat keadaan Afyra. Pakaian di tubuh Afyra sudah bertukar. Baju sejuk sudah terlempar ke lantai.
Dengan gerakan perlahan dia naik ke ranjang. Isterinya itu diselimutkannya. Namun Afyra terjaga. Pantas dia menolak selimut itu.
“Sejuk nanti,” ucap Fakhri lunak.
“Tak mahu. Panas ni.” Afyra merengek perlahan. Dalam badannya terasa bahang biarpun kamar itu dingin sekali dengan penghawa dingin. Apa tidak, dalam makanannya sentiasa ada lada hitam.
Fakhri hanya mampu memandang isterinya menyambung tidur. Afyra panas. Dia pun panas juga melihat isterinya berpakaian begitu terbuka. Dengan sekadar baju nipis bertali halus di bahu. Yang tidak tahannya, isterinya pakai boxer.

Siapa punya boxer? Sendiri mahu ingatlah!