Rabu, 4 Februari 2015

CINTA TERLARANG.

Kisah cinta jauh namun dekat.
Pertemuan semula Kamarul Hisyam dan Dayang Marina di zaman pengajian tidak terduga oleh mereka berdua. Suatu masa dulu mereka pernah merasa dekat. Namun dekat seperti apa?
Permulaan perkenalan mereka bermula dari kisah ibu dan ayah. Kecurangan ayah Marina dan ibu Hisyam memulakan segalanya. Jatuh cinta itu sememang takdir. Begitu juga dengan mereka. Puas ditepis perasaan tetap tumbuh melata. Bukan Marina tidak sedar siapa lelaki itu. Mereka pernah menjadi adik beradik lain ibu lain ayah selama setahun. Setahun itu mencatat cerita yang amat panjang sementelah emak Hisyam dan Marina sempat bermadu. Namun setelah bercerai dua keluarga ini terpisah jauh.
Benar kata orang. Cinta bisa saja membuat manusia hilang pertimbangan. Begitu juga dengan Hisyam dan Marina. Berjauhan dari keluarga mereka bebas melakukan apa saja. Kerana mabuk asmara akhirnya mereka nekad bernikah secara rahsia.
Permulaannya semuanya memang indah. Tiada sekatan tiada halangan. Namun takdir menimpa. Ayah Marina meninggal dunia memaksa dia pulang ke tanah air. Sayangnya Hisyam tidak pernah menjangka Marina akan terus meninggalkan dia mengutip sisa kenangan mereka sendirian. Hanya sepucuk surat dikirimkan meminta Hisyam melepaskan dirinya.
Hisyam nanar dalam kepasrahan. Bertahun berlalu dia hidup mengenang cinta pertama yang cukup indah. Pintu hatinya tidak mampu ditutup. Marina masih berhutang janji setia kepadanya.
Namun tidak terduga akhirnya dia diketemukan lagi dengan Marina setelah 10 tahun berlalu. Dendam rindu di hatinya sudah tidak terucap. Sayangnya Marina sudah tidak seperti dulu. Memaksa hati yang luka itu menggaris dendam dalam cinta.
Hisyam tega meraih cinta hatinya dengan apa sahaja cara yang ada. Dia tahu Marina pasti kalah juga kepada perasaan.
Namun tidak mudah untuk mereka menakluki keadaan. sementelah ibu mereka ketat bermusuhan kerana seorang lelaki. Sudahnya mereka hidup dalam rahsia. Sampai bila?
Cinta itu tidak terlarang. Hanya manusia yang suka menyulitkan keadaan.